suria

Kalau la semua perempuan macam dia... Netizen terkejut jumpa gadis Kelantan jenis setia, ikhlas terima pasangan sakit jadi calon suami

Qasrina menerima bakal suaminya seadanya meskipun lelaki itu baharu ditimpa kecelakaan jalan raya.

MUNGKIN terdapat sesetengah wanita yang tidak sanggup menerima seseorang untuk dijadikan pasangan lebih-lebih lagi ketika saat kejatuhan lelaki tersebut.

Namun tidak bagi gadis ini yang sanggup menerima bakal suaminya meskipun lelaki tersebut sedang pulih daripada kecederaan selepas ditimpa kemalangan jalan raya.

Lebih membuatkan ramai kagum, dia hanya mengenali lelaki berkenaan selama kira-kira dua bulan sebelum mengambil keputusan untuk menerima lamaran si jejaka.

ARTIKEL BERKAITAN: Inai masih merah, pengantin baru pengsan di hospital selepas tengok keadaan suami kemalangan - “Pihak sana seolah tak hirau keadaan kami”

ARTIKEL BERKAITAN: Ditakdir temui pengganti tak bermakna lupa saat suami pergi selamanya... wanita ini syukur jodoh baru selalu ingatkan selit doa buat arwah, tak macam bapa tiri!

Berkongsi kisahnya dengan mStar, gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Qasrina berkata, dia dan bakal suaminya berkenalan menerusi media sosial pada Mac lalu.

"Ketika itu bakal suami, Ku Rizal baharu sebulan ditimpa kemalangan. Daripada chat di media sosial, dia taaruf dengan saya terlebih dahulu.

"Dia suarakan keinginan untuk berkenalan lebih rapat dan saya minta ke rumah bertemu mama. Dalam masa sama juga dia ceritakan keadaannya yang sedang sakit dan baru pulih daripada kemalangan.

"Saya terdetik juga nak menziarahinya. Saya melawat dia sebagai orang sakit, tak ada niat apa-apa. Selepas dua hari menziarahinya, dia beritahu bahawa ibunya berkenan dengan saya. Maka daripada situlah bermula segala-galanya," cerita gadis berusia 19 tahun ini.

Menurut Qasrina yang berasal dari Tumpat, Kelantan, tunangnya mengalami kecederaan parah pada bahagian paha akibat kemalangan tersebut dan mengakibatkan pergerakannya terbatas.

setia 1

Kurizal perlu menjalani fisioterapi selepas kakinya cedera teruk akibat kemalangan jalan raya.

"Sepanjang bersahabat, pernah juga saya menemaninya menjalani rawatan susulan di hospital. Tapi tak pernah berdua sebaliknya ditemani rakan.

"Dia anak bongsu dan tinggal berdua dengan ibunya. Ibunya masih belum habis edah selepas kematian bapanya, manakala adik-beradiknya yang lain sudah berkeluarga dan tinggal berjauhan.

"Jadi saya membantunya setakat mana yang boleh di samping beri kata-kata motivasi. Alhamdulillah, dia kuat semangat. Tak sangka daripada pertama kali jumpa dia pakai tongkat besi kaki empat, sekarang dah boleh jalan perlahan-lahan tanpa tongkat.

setia 2

Keluarga Qasrina begitu menyenangi Kurizal (tiga, kanan).

"Perkembangan yang ditunjukkannya sangat pantas... dalam masa dua bulan saja. Doktor pun terkejut," kata Qasrina yang membantu keluarganya menjalankan bisnes serunding.

Dua bulan mengenali hati budi dan keluarga masing-masing, Qasrina selamat mengikat tali pertunangan dengan jejaka berusia 23 tahun itu yang juga berasal dari daerah sama, pada 4 Syawal lalu.

"Walaupun perkenalan kami singkat, namun Alhamdulillah semuanya dipermudahkan oleh Allah. Saya rasa salah satunya kerana reda kedua-dua orang tua.

Saya ingat mama pernah cakap, carikan dia menantu yang boleh mandikan jenazah, boleh jadi imam solat. Biar tak kaya, tapi tinggi pengetahuan agama.

QASRINA

"Apa yang membuatkan saya menerimanya adalah kerana ciri yang ada padanya menyerupai arwah papa saya. Dia soft spoken, pandai ambil hati orang tua, hormat famili. Semua ahli keluarga saya suka dia.

"Saya ingat mama pernah cakap, carikan dia menantu yang boleh mandikan jenazah, boleh jadi imam solat. Biar tak kaya, tapi tinggi pengetahuan agama," ujarnya sambil menambah, bakal suaminya merupakan seorang guru Al-Quran selain menjalankan bisnes sendiri.

Tidak menyangka perkongsiannya di aplikasi TikTok menjadi tular, Qasrina melahirkan rasa terharu dengan komen positif netizen yang turut mendoakan hubungan mereka.

WhatsApp Image 2022-05-21 at 2.52.24 AM

Antara komen netizen di TikTok.

"InsyaAllah, kami bakal disatukan sebagai suami isteri awal Jun nanti.

"Apa yang boleh saya kongsikan, kepada yang mencari pasangan, usahlah tengok pada kekurangan... kalau ada, sama-sama baiki. Tiada manusia yang sempurna.

"Saya sendiri bukanlah insan sempurna namun saya bersyukur kerana Allah hantar orang yang baik sebagai pasangan saya, InsyaAllah," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain