suria

Risau tak boleh survive, doktor kata jangan terlalu berharap... bayangkan dugaan ibu berpantang ini tanpa bayi di sisi, yang pasti tidak mengalah!

Bayi comel itu kini berusia setahun lapan bulan.

PASANGAN mana yang tidak gembira untuk menyambut kelahiran cahaya mata sulung mereka?

Namun, lain pula ceritanya melibatkan pasangan Nur Azlin Farina Mohamad Azam, 27, dan Muhammad Adam Mac Duri, 34, apabila puteri kesayangan lahir dengan masalah kesihatan kronik.

Menurut si ibu yang senang disapa Nina, anaknya Aaira Mishall yang kini berusia setahun lapan bulan dilahirkan pada tanggal 15 Ogos 2020.

ARTIKEL BERKAITAN: “Elaina sama seperti kembarnya, cuma perlu diberi perhatian lebih” - Ibu bayi Hydrocephalus

ARTIKEL BERKAITAN: Pilih tema putih tanpa sebab, enggan basuh baju kotor jadi petunjuk bayi usia 5 bulan dinanti selama 7 tahun akan ‘pergi’ - “Saya macam dah boleh rasa”

Jelas wanita itu, dia dan suami sudah bersedia dengan apa jua kemungkinan, memandangkan sudah dimaklumkan mengenai masalah kesihatan anaknya ketika sedang hamil.

"Kami dapat tahu mengenai masalah kesihatan masa saya hamil. Saya buat scan detail sebanyak tiga kali. Dua imbasan pertama, tiada apa-apa. Imbasan ketiga baru dapat kesan masalah kesihatan.

"Akhirnya dia dilahirkan ketika usia kandungan lapan bulan. Mengikut doktor, anak kami ada masalah pada salur kencing. Air kencing turun kemudian patah balik naik ke buah pinggang. Salur kencingnya bermasalah sejak dilahirkan.

"Selepas lahir, dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sungai Buloh selama dua bulan. Selepas itu, dia dipindahkan pula ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan, dimasukkan tiub dan tebuk buah pinggang kiri serta kanan.

"Masa tu air kencing dah berkumpul jadi nanah di buah pinggang. Dia jalani pembedahan pertama ketika usia dua bulan. Alhamdulillah, semua OK lepas tu. Cuma minggu lepas dia masuk hospital lagi sebab alami kencing kotor. Sekarang dah discaj dan pulang ke rumah," ujarnya.

aaira2

Bayi ini berada di NICU selama dua bulan selepas dilahirkan.

Menurut kerani yang menetap di Kuala Selangor itu, proses berpantang yang dilaluinya juga amat mencabar memandangkan si kecil tiada di sisi.

Namun katanya, hanya kehadiran suami, ibu serta sokongan ahli keluarga menjadi kekuatan untuk dia terus menghadapi hari-hari mendatang.

"Dia punya struggle tu, memang lain. Biasa orang bersalin, anak ada depan mata. Kes ini pula, anak dua bulan dalam hospital, saya berpantang sendiri.

"Walaupun masa hamil dulu doktor penah pesan supaya saya jangan terlalu berharap, doktor risau dia tak boleh survive. Tapi sekarang dia pun dah besar. Itu pentingnya kita ada semangat dan sentiasa fikir positif.

Kepada mak ayah di luar sana yang ada anak sakit, jangan pernah mengalah.

NINA

"Saya kuat kerana ada suami di sisi, ada ibu dan keluarga. Masa anak dalam hospital, saya akan berbisik setiap kali pergi melawat. Sekarang dia sangat sihat.

"Bila saya pergi ke hospital untuk check up, orang tanya dia sakit apa? Sebab dia tak nampak sakit pun. Nampak macam bayi biasa saja. Cuma sekarang dia delay sikit untuk berjalan," ujar Nina lagi.

Kini sedikit lega selepas badai melanda, Nina dan suami tetap berlinangan air mata setiap kali menonton video-video lama anak mereka.

aaira4

Nina bersama suami dan anaknya.

Nina juga banyak berkongsi kisah perjalanan getir itu menerusi bingkisan video di media sosial, dengan harapan untuk memberi kekuatan kepada insan senasib di luar sana.

"Video tu untuk kenangan. Pada masa sama, saya nak bagi awarenes kepada orang ramai mengenai penyakit buah pinggang dalam dalam kalangan kanak-kanak. Ada yang dapat kerana genetik, ada juga kena sebab pemakanan mak ayah. Macam kes saya, doktor tak dapat kesan, mungkin Allah nak uji kami.

aaira5

Nina berharap ibu bapa yang senasib dengannya agar terus kuat dan cekal.

"Kepada mak ayah di luar sana yang ada anak sakit, jangan pernah mengalah. Kalau tengok balik video tu, memang kami mengalir air mata. Sebab hanya kita yang tahu dan rasa, apa yang kami lalui.

"Bila berhadapan ujian macam ni, kita kena ada minda positif. InsyaAllah ada manisnya di sebalik pahit yang melanda," ujarnya yang mendirikan rumah tangga pada 2019.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain