suria

Usia muda, cita-cita besar! Perunding takaful kejar impian bergelar pengadil ragbi peringkat antarabangsa

Biarpun baru berusia 21 tahun, Aiman komited dalam mengejar dua bidang yang diminatinya itu.

MENGEJAR dua impian serentak bukanlah satu perkara mudah, namun anak muda ini ada sasaran tersendiri yang mahu dicapai suatu hari nanti.

Menurut Muhammad Aiman Adeeb Afandy, 21, dia pernah bergelar pemain ragbi sehinggalah melangkah setapak menjadi pengadil sukan itu selepas menamatkan pengajian di sekolah menengah.

Pada masa sama, dia turut berkecimpung sebagai perunding takaful sejak berusia 19 tahun dan tidak pernah menjadikan kekangan masa sebagai halangan untuk mengejar kedua-dua minatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemalu orangnya, atlet taekwando buat video tutorial sukan lain tular di TikTok... tak sabar nak test skill selepas pandemik - “Saya tak pandai buat content”

ARTIKEL BERKAITAN: Gigih berlatih... atlet berbasikal nak tak nak terpaksa redah banjir, kalau patah balik makin jauh kayuh - “Ada sampai lutut, paras dada”

"Ini merupakan tahun ketiga saya bekerja sebagai perunding takaful. Kalau ditanya, saya memang minat berniaga sejak zaman sekolah. Saya pilih bidang ini kerana modalnya tak besar, saya hanya bayar RM85 untuk ambil peperiksaan.

"Mula-mula sekadar nak cuba, tapi bila dah buat dan dapat berurusan dengan pelanggan, saya rasa kena dengan bidang ini. Bermula pada usia 19 tahun merupakan cabaran besar untuk saya.

"Pada waktu itu, saya tiada circle yang besar dan tiada networking yang bagus. Itu merupakan kelemahan, tapi saya pandang sebagai cabaran," ujarnya yang senang disapa Aiman.

Menurut anak jati Selayang, Selangor itu, penglibatannya dalam bidang takaful membolehkan dia berjumpa dengan pelbagai ragam manusia daripada latar belakang berbeza.

aiman2

Aiman berjinak-jinak sebagai perunding takaful ketika berusia 19 tahun.

Biarpun berhadapan cabaran, Aiman komited untuk memberikan khidmat terbaik dan memasang impian membuka agensi sendiri suatu hari nanti, sekali gus dapat mengukuhkan tapaknya dalam bidang itu.

"Bulan pertama saya jadi perunding takaful, saya berjaya dapat orang asing sebagai pelanggan, bukan keluarga atau rakan. Bukan mudah nak dapatkan kepercayaan orang.

Memang rindu nak jadi pemain ragbi, tapi saya juga puas dapat jadi pengadil.

AIMAN

"Kita nampak macam budak-budak. Macam mana orang nak yakin? Jadi saya perlu jaga cara penampilan dan cara bercakap, bagi nampak ada karakter kerana ia merupakan cerminan diri kita.

"Dalam bidang ini, saya juga berpeluang jumpa macam-macam orang daripada pelbagai latar belakang. Jadi saya kena ada ilmu untuk bercakap. Setiap pelanggan juga ada ragam berbeza, setiap masa saya akan belajar sesuatu yang baharu.

"Saya berharap dapat buka agensi sendiri suatu hari nanti pada usia yang muda dan dapat jadi pengurus agensi dalam bidang ini" ujar anak bongsu daripada empat beradik itu.

aiman3

Jejaka kelahiran Selayang ini mula bermain ragbi sejak di sekolah rendah lagi.

Mengenai penglibatannya dalam dunia sukan, Aiman berkata dia mula berjinak-jinak dengan sukan ragbi ketika darjah dua.

Minat Aiman semakin bercambah apabila dia menyambung pengajian di sebuah sekolah sukan di Johor ketika tingkatan tiga.

"Saya mula pegang bola ragbi sejak kecil, sejak darjah dua. Tapi sekolah rendah tak banyak ada sukan ragbi. Saya mula serius di sekolah menengah sehinggalah saya masuk sekolah sukan masa tingkatan tiga.

"Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya dihantar mengikuti kursus pengadil. Saya ambil suka-suka saja, tak ada rancangan pun nak jadi pengadil kerana belum puas main ragbi.

aiman4

Aiman tak menolak rezeki seandainya dia dapat bergelar pengadil ragbi di peringkat antarabangsa suatu hari nanti.

"Tapi bila orang tahu saya ada lesen, mereka minta saya jadi pengadil dan yakinkan saya untuk jadi pengadil sepenuh masa. Memang rindu nak jadi pemain ragbi, tapi saya juga puas dapat jadi pengadil.

"Dua-dua seronok, tapi ia berbeza. Kalau main ragbi, kita puas dapat pegang bola dan score. Bila jadi pengadil, saya juga puas bila perlawanan dapat diadili sebaiknya.

"Pengadil ragbi dan bola sepak sangat berbeza. Pengadil ragbi merupakan king dalam padang dan menjadi orang yang kawal permainan," jelasnya panjang lebar.

Menurut Aiman, dia juga mahu mendalami lagi ilmu berkenaan dan berhasrat bergelar pengadil ragbi di peringkat Asia dan antarabangsa suatu hari nanti.

aiman5

Aiman akui kekangan masa tak menjadi penghalang untuk dia mengejar dua impian berbeza pada masa yang sama.

"Saya ada sasaran untuk jadi pengadil ragbi di peringkat Asia dan antarabangsa. Ia merupakan kayu ukur yang saya tetapkan untuk diri sendiri.

"Dari segi pembahagian masa dengan kerjaya sebagai perunding takaful, saya tiada masalah. Dalam bidang insurans, masa saya lebih fleksibel. Saya sendiri yang tetapkan temu janji dengan pelanggan," ujarnya lagi.

Kisah Aiman mendapat perhatian selepas dia berkongsi video-video mengenai dirinya di aplikasi TikTok.

Selain berkongsi mengenai kerjaya sebagai perunding takaful, Aiman juga banyak berkongsi foto dan video ketika dia bertugas mengadili permainan di padang.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain