suria

Luar biasa! Budak 10 tahun mampu lukis logo ‘sebiji’ hanya dengan sekali tengok, mak ayah pernah keliru antara logo asli dan lukisan di TV

Encik Sharrel sangat menyokong minat anaknya dalam melukis logo.

KEBOLEHAN luar biasa dan keistimewaan anak-anak autisme kini lebih membuka mata masyarakat tentang kemahiran yang dikurniakan kepada mereka.

Telah diakui dunia bahawa golongan anak istimewa ini adakalanya lebih kreatif, bijak malah berbakat berbanding kanak-kanak normal lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Rutin harian terganggu kerana PKP, anak autisme berubah sikap... apa kata cuba 5 tip ini - "Ada menyorok dalam selimut..."

ARTIKEL BERKAITAN: Kagum! Pelajar autistik pertama bakal ikuti pengajian ijazah sarjana di UiTM... Keluhan ibu bapa miliki anak syurga buat wanita ini kongsi rahsia - “Masa kecil dia tak boleh cakap, tak boleh baca”

Menurut bapa kepada seorang anak autisme, Mohd Sharrel Fahmi Baharum, 40, anaknya Don Zayyad Amzar Mohd Sharrel, 10, mula menunjukkan minat melukis logo sejak berusia lima tahun.

"Dia mula tunjuk minat dengan conteng-conteng dinding dulu tapi saya marah la masa tu sebab belum tahu lagi. Lama-lama saya biar je lepas tu sebab fikir dia tak faham pun benda tu salah lagipun saya boleh cat balik dinding tu.

"Saya mula tengok dia lukis gambar kartun Doraemon, masa tu masih lagi buruk. Ada juga dia tulis huruf ABC dan tulisan jawi. Saya pelik mana dia tiru semua lukisan dan tulisan tu. Rupanya dia tengok dekat YouTube, TV dan buku-buku yang ada dalam rumah.

"Saya pun buat keputusan belikan sketch book dan marker pen bila nampak dia mula tunjuk minat dan nak elak dia conteng habis satu rumah.



Don mula menunjuk minat melukis sejak dia masih kecil lagi.

"Saya support minat dia dengan DIY (do it yourself) dinding dekat rumah khas untuk Don melukis. Dinding tu saya tampal satu papan bersaiz 10x10 kaki. Saya akan biar lukisan Don sepanjang hari sampai malam, bila dia dah tidur baru saya padam lukisan tu. Kalau tak, dia tahu saya padam lukisan tu dia akan marah," ujarnya.

Mesra disapa Sharrel, dia mula mengetahui anaknya mempunyai masalah ASD (Autism Spectrum Disorder) ini sejak kanak-kanak itu berusia satu tahun setengah.

Dulu masa pendedahan tentang anak-anak autisme masih kurang, saya sedih juga bila bawa Don keluar pergi jalan.

SHARREL

"Doktor check progress dia masa kecil dekat buku laporan tapi Don tak boleh buat lagi semua perkara yang sepatutnya macam bercakap, mendengar dan respons jadi saya bawa ke hospital pakar. Saya boleh tahu anak ada autisme lepas refer pakar dekat HKL (Hospital Kuala Lumpur) masa umur dia setahun lebih," ujarnya.

Jelas anak jati Jitra, Kedah ini, dia berkata tugas menjaga anak istimewa ini tidak mudah dan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

Namun selepas melihat sendiri perkembangan anaknya setelah berdepan dengan pelbagai cabaran, dia dan isteri, Noor Diana Zamilawati, 40, seolah-olah tidak percaya dengan kemajuan dan perkembangan positif yang ditunjukkan anak kedua mereka ini.

"Sejujurnya saya sangat bersyukur Don dapat sampai ke tahap ini kerana di awal usianya, tahap autisme Don boleh dikatakan agak teruk. Don tak boleh bina ayat. Jadi kalau dia nak minta atau suruh apa-apa dia akan cakap satu perkataan saja.



Don lebih cenderung minat melukis logo-logo.

"Dari segi lukisan pula, semuanya asal boleh je dulu tapi lama-kelamaan ada improvement dan semakin teliti. Kalau dia tengok YouTube atau Netflix, dia akan pergi ke bahagian kredit hujung cerita, dia 'scan' semua logo baru dia lukis. Don akan 'lukis angin' pakai jari dulu baru dia lukis dekat dinding atau buku lakarannya.

"Lukisan-lukisan logo Don pernah lukis adalah daripada apa dia tengok macam logo Walt Disney, 7-Eleven, Pizza Hut dan banyak lagi. Ada satu masa tu Don 'terbabas' lukis logo dekat skrin TV sampai kita confuse tu lukisan ke memang iklan," katanya



Sharrel ada juga menyediakan ruang khas untuk anaknya melukis setiap hari.

Bercerita mengenai keluarganya, Sharrel berkata dia mempunyai dua anak dan kakak Don, Damia Zulaikha Mohd Sharrel Fahmi, 16, tidak memiliki penyakit sepertinya.

Sharrel yang menetap di Setapak, Kuala Lumpur berkata dia juga tidak terlepas daripada berdepan pandangan serong masyarakat, malah isterinya turut berasa 'down' semasa mendapat berita mengenai penyakit autisme anaknya dahulu.



Kanak-kanak ini masih meminta bapa untuk mendukung dia di khalayak walaupun sudah berusia 10 tahun.

"Saya ada hantar Don ke sekolah khas kanak-kanak autisme, NASOM (The National Autism Society Of Malaysia) di Sentul. Sekolah tu bagi silibus tak ikut umur tapi tengok pada tahap penguasaan. Ada yang dah dewasa tapi guna silibus kanak-kanak. Contohnya macam Don pakai silibus budak darjah 1 walaupun dah berusia 10 tahun.

"Dulu masa pendedahan tentang anak-anak autisme masih kurang, saya sedih juga bila bawa Don keluar pergi jalan. Don ni walaupun dah 10 tahun tapi kadang-kadang dia nak suruh saya dukung dia tak kira depan khalayak atau dekat mana-mana pun. Jadi ada la mata-mata tengok saya lain macam je.

"Tapi sekarang ramai dah ada kesedaran jadi saya pun lega. Kadang-kadang kalau orang tengok saya tengah layan masa Don buat perangai, orang akan cakap dekat saya suruh kuat dan doakan murah rezeki bila jaga anak autisme ni.

"Bila tengok orang lain yang ada anak autisme lagi teruk daripada saya, saya bersyukur Don ni dikira masih ditahap OK lagi. Ini ujian Allah dekat saya dan isteri jadi saya reda saja," tambahnya.



Antara momen-momen Don melukis logo.

Mengenai posting di TikTok yang tular, Sharrel berharap lebih ramai akan sedar tentang kanak-kanak istimewa ini bahawa mereka bukan terencat akal.

"Tujuan saya tunjuk hasil karya anak saya di media sosial pun cuma nak orang ramai faham sememangnya anak autisme ini bukan cacat. Mereka macam orang biasa cumanya ditakdirkan ada simptom autisme dalam diri," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain