suria

Kulit anak bertompok, bersisik sejak usia sebulan... ibu hilang kata-kata dapat tahu peluang sembuh cuma 70 peratus

Izzat menderita penyakit kulit sudah melebihi dua tahun.

TIADA kata dapat menggambarkan perasaan seorang ibu apabila mengenangkan nasib pilu yang menimpa anaknya.

Baru berusia dua tahun tiga bulan, Muhammad Izzat Rafael Zulnazmi kini terpaksa menanggung derita akibat penyakit kulit yang teruk.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis derita eczema hilang nikmat makan guna tangan! Jari mudah berdarah, kedut macam orang tua

ARTIKEL BERKAITAN: Psoriasis bukan sekadar penyakit kulit, tetapi usah bimbang ia tidak berjangkit!

Bercerita kepada mStar, ibunya, Fatin Suhana Mohd Zamberi, 26, mengakui sedih memikirkan nasib dan masa depan anaknya itu.

"Saya dah kering air mata menangis bila tengok keadaannya tapi saya kena kuat untuk dia. Ada juga masa saya down tapi ramai bagi kata-kata semangat dekat saya.

"Orang luar yang tengok keadaan Izzat pun turut simpati, apatah lagi saya yang hadap depan mata hari-hari anak sendiri sakit macam ni.

"Susah nak jelaskan perasaan saya. Saya harap dia boleh sihat suatu hari nanti," ujarnya yang mesra disapa Sue.

Bercerita mengenai penyakit anaknya, Sue berkata Izzat disahkan menghidap psoriasis sewaktu berusia satu bulan, pada tahun 2019.



Kanak-kanak ini telah menderita penyakit kulit ini sejak dari lahir.

Penyakit ini bermula apabila timbul tompok-tompok kulit berkerak merah dilitupi dengan sisik berwarna keperakan yang disebut plak di badan anak kecil ini.

"Masa mula kena tu memang saya risau tengok tompok-tompok merah dekat badan dia. Bila bawa pergi klinik doktor cakap peluang nak sembuh cuma 70 peratus saja.

"Penyakit ni tak ada ubat atau penawar boleh sembuhkan, cuma boleh dikawal. Sepanjang dua tahun, dah 21 kali kena serang penyakit ni.

Bila penyakit tu datang, anak saya memang tak tidur malam.

SUE

"Pernah dua kali juga Izzat ditahan dekat wad sebab penyakitnya makin serius. Tu pun sebulan saja sihat lepas tu jadi balik naik satu badan bila keluar hospital.

"Saya menyusu badan jadi saya pun terpaksa pantang makan sebab nak elak penyakit dia makin teruk," ujarnya.

Bercerita mengenai Izzat, Sue mengakui sedih melihat anak baru mahu mengenal dunia ini perlu menghadapi kesakitan yang tidak mampu digambarkan.

Menurut Sue yang merupakan suri rumah, dia telah banyak menghabiskan wang ringgit demi menanggung kos perubatan merawat anaknya.

"Macam mana sekali pun saya tetap tak putus asa cari penawar penyakit dia, saya belum jumpa tapi ada juga ikhtiar melalui perubatan Islam di Kuala Lumpur.



Sue tidak pernah berputus asa dalam usahanya merawat penyakit Izzat.

"Bila penyakit tu datang, anak saya memang tak tidur malam. Saya pun terpaksa berjaga sampai ke siang sebab dia akan menangis tahan sakit, kadang-kadang sampai demam.

"Bila demam dia datang menyerang, dia akan mula rasa sakit sendi dan otot pula. Ambil masa sebulan juga nak sembuh sampai boleh berjalan balik," ujarnya lagi.

Menurut Sue lagi, Izzat sebelum ini pernah dibawa berjumpa empat doktor pakar namun sekadar diberi ubat sapuan pada kulit serta antibiotik yang langsung tidak berkesan.

Menetap di Pokok Sena, Kedah, Sue dalam pada masa yang sama mengumpul dana untuk ujian darah secara berkala juga tabung untuk rawatan anaknya bersama suaminya, Zulnazmi Che Ismail, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kompleks Bersepadu Risda, Pokok Sena, Kedah.

Jelas pasangan yang memiliki dua cahaya mata ini, abang Izzat, Muhammad Izz Rayyan, berusia lima tahun tidak memiliki penyakit kulit.



Peluang untuk penyakit Izzat sembuh hanya 70 peratus menurut doktor.

Kisah mengenai Izzat ini menjadi tular di TikTok sehingga ramai netizen turut menzahirkan rasa sedih mereka dan mengharapkan anak kecil itu diberi kesembuhan segera.

Sesiapa yang berhasrat menghulurkan bantuan, Sue boleh dihubungi menerusi talian 013-7066858.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain