suria

Psoriasis bukan sekadar penyakit kulit, tetapi usah bimbang ia tidak berjangkit!

Tompok merah, tebal dan bersisik dikenali sebagai plak psoriasis, muncul pada permukaan kulit pesakit psoriasis.

ANDA mungkin pernah terdengar mengenai psoriasis, melihat seseorang yang berkeadaan sedemikian, bahkan ada ahli keluarga yang mempunyai gejala psoriasis. Tetapi sejauh mana anda benar-benar berpengetahuan tentang penyakit ini?

Psoriasis adalah keadaan kulit yang menyebabkan tompok-tompok kulit berkerak merah ditutup dengan sisik berwarna keperakan yang disebut plak muncul di badan seseorang. Ia adalah sejenis keradangan kronik disebabkan oleh gangguan sistem imunisasi badan.

ARTIKEL BERKAITAN: Begitu kuat pengaruh rawatan alternatif, ramai enggan ke hospital... realitinya kes kanser libatkan anak muda makin meningkat!

Apabila sistem imunisasi menjadi terlalu aktif, ia mempercepatkan pertumbuhan sel-sel kulit. Untuk sel-sel kulit biasa, ia akan tumbuh dengan sepenuhnya dan mengelupas (shed) dalam sebulan, tetapi dengan psoriasis proses ini dipercepatkan dan hanya memerlukan tiga atau empat hari sahaja. Dan sel sel kulit ini tidak akan mengelupas tetapi sebaliknya ia akan berkumpul dan membentuk tompokan kulit.

Menurut Pakar Perunding Dermatologi Dr Peter Ch'ng, psoriasis adalah penyakit kronik berkaitan dengan sistem imunisasi.

"Saya selalu nasihati pesakit saya jika sistem imunisasi tubuh mula menyerang kulit, itu adalah sesuatu keadaan yang kronik atau berpanjangan. Ia bukan keadaan sementara yang anda boleh merawat dengan mudah.

“Malah ia juga menjejaskan bahagian badan anda yang lain. Keradangan ini boleh disalurkan melalui sistem pendarahan. Bayangkan ia umpama api yang sedang marak ke otak, melalui sistem kardiovaskular ke jantung, dan kawasan lain di tubuh anda," katanya.

Mengikut Dr Ch'ng, gejala ini bagaimanapun boleh didiagnosis dengan mudah.

"Psoriasis dikenal pasti menerusi diagnosis klinikal. Ini bermaksud doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal, dan kami dapat mendiagnosiskannya jika gejala klasik diperhatikan. Tiada ujian darah atau imbasan diperlukan untuk tujuan ini," ujarnya.



Dr Peter Ch’ng menjelaskan psoriasis bukan penyakit berjangkit.

Menurut Dr Ch’ng, ianya berbeza jika dibandingkan dengan bentuk ruam lain seperti ekzema. Warna dan sisik psoriasis adalah berbeza.

Pakar kulit menyatakan bahawa simptom klasik ini adalah ruam yang biasanya berwarna merah jambu salmon, dan tompok-tompok kulit yang telah menebal dan bersisik keperakan. Ia biasanya berlaku pada kulit kepala, siku, lutut, perut, kuku dan sendi.

Salah satu mitos yang sering muncul berkaitan penyakit ini adalah orang ramai beranggapan ia boleh berjangkit.

"Psoriasis boleh kelihatan menakutkan, dengan banyak sisik pada permukaan kulit. Oleh itu, mereka yang kurang berpengetahuan mengenai penyakit ini mungkin beranggapan ia boleh dijangkiti. Ada yang menyifatkan ia seperti penyakit kusta yang telah wujud pada zaman dahulu di mana penghidapnya sering disisihkan," katanya.

Namun, tidak seperti penyakit kusta, Dr Ch'ng menekankan bahawa psoriasis tidak boleh berjangkit dan memerlukan kesedaran yang lebih luas agar stigma yang berkaitan dengan penyakit ini dapat disingkirkan dari masyarakat.

Bagaimana sebenarnya seseorang mendapat psoriasis?

"Kita tahu ada beberapa komponen genetik di dalamnya, yang bermaksud jika salah satu atau kedua-dua ibu bapa anda memilikinya, berkemungkinan anda boleh menghidapnya juga. Kita percaya persekitaran juga memainkan peranan. Namun, belum ada bukti jelas mengenai jenis persekitaran yang boleh menyebabkan psoriasis, ” katanya.

Bukan sekadar penyakit kulit

Antara salah faham umum mengenai psoriasis adalah ia sering kali dikaitkan dengan keadaan kulit. Namun hakikatnya, ia mempunyai kaitan dengan pelbagai komorbiditi.



Keradangan disebabkan arthritis psoriatik sering menyebabkan perubahan anatomi yang mengakibatkan kecacatan.

Menurut Dr Ch’ng, pesakit juga berisiko tinggi untuk menghidap penyakit lain seperti diabetes, strok dan penyakit jantung dan ramai daripadanya juga mengalami gejala artritis psoriatik. Katanya, semua gejala itu boleh mengakibatkan perubahan yang tidak dapat dipulihkan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Artritis psoriatik adalah keradangan pada sendi. Selalunya keradangan ini menyebabkan perubahan anatomi dalam jangka masa panjang yang mengakibatkan kecacatan. Sekiranya anda sudah mengalami kecacatan kerana radang sendi, dan anda memulakan rawatan untuk psoriasis, rawatan tersebut tidak boleh memulihkan kecacatan tersebut, ” katanya.

Ruam juga boleh menyebabkan rasa gatal yang luar biasa, rasa terbakar, sakit bahkan pendarahan. Lebih teruk, ketika penyakit ini berterusan, ia juga dapat memberi kesan psikologi, termasuk kemurungan dan kegelisahan.

"Kajian menunjukkan bahawa psoriasis mempengaruhi kehidupan seharian. Sebagai contoh, seseorang mungkin ditatap ketika mereka berada di kolam renang, atau mereka mungkin tidak diendahkan oleh pendandan rambut, kehidupan seksual mereka boleh terjejas dan penyakit ini juga mempengaruhi cara mereka berpakaian dan menampil diri di khalayak ramai.

"Secara ringkasnya, psoriasis bukan hanya mengenai apa yang ada di permukaan tubuh, tetapi juga mempengaruhi kualiti hidup seseorang. Sejauh mana ia dapat mempengaruhi seseorang bergantung kepada profesion mereka dan bagaimana mereka terima hakikat penyakit ini. Sebagai contoh, jika anda seorang model, dan anda menghidap psoriasis, itu akan menyebabkan anda amat menderita dan hilang keyakinan diri, ” katanya.

Diet dan senaman

Dengan penyakit yang berkaitan dengan kulit, orang ramai mungkin berpendapat bahawa pantang larang pemakanan wujud.

Walaupun seseorang mungkin mendapat kelegaan dalam jangka pendek, kemungkinan ada kesan sampingan untuk jangka masa panjang, misalnya, kegemukan.

Dr Peter Ch'ng

Pakar Perunding Dermatologi

"Sebenarnya tidak ada pantang larang, kecuali pengambilan alkohol. Alkohol boleh bertindak sebagai pencetus. Dengan rawatan sebelum ini seperti penggunaan methotrexate dan acitretin, ia berpotensi menyebabkan hepatitis. Jadi jika anda minum alkohol secara berlebihan, kemungkinan hepatitis juga meningkat, ” kata Dr Ch'ng.

Namun beliau menegaskan psoriasis berkait rapat dengan sindrom metabolik yang merangkumi obesiti, kolesterol, diabetes dan hipertensi. Dan apabila terdapat peningkatan risiko penyakit ini, sudah tentu diet anda harus mempertimbangkan isu-isu ini.

"Sebagai contoh, pesakit diabetes harus menghindari gula," katanya.

Dr Ch'ng juga menyangkal mitos mengenai makanan laut atau daging lembu tidak elok untuk kulit dan sebaliknya menasihati orang ramai supaya mengamalkan pemakanan sihat.

Malahan beliau menggesa pesakit psoriasis untuk menjalani kehidupan normal termasuk melakukan aktiviti bersenam.

“Anda tidak perlu menyekat cara berpakaian, bersenam atau bekerja. Sebaik sahaja anda memulakan rawatan yang betul dan memulihkan kulit, anda dapat menjalani kehidupan seharian seperti dulu," jelasnya.

Jika bukan diet atau aktiviti, apa penyebab psoriasis?

Beliau berkata akrostik TIMES mungkin berguna ketika anda berusaha untuk cuba mengenal pasti punca gejala ini:



Psoriasis boleh terjadi di mana-mana bahagian badan termasuk kulit kepala. - Gambar sekadar hiasan.

T untuk trauma – kecederaan pada kulit seperti luka, kulit teriris, gigitan serangga atau kulit selaran matahari di mana ia juga dipanggil tindak balas Koebner.

I untuk infection – jangkitan.

M untuk medication – ubat-ubatan tertentu seperti penyekat beta.

E untuk endocrine – endokrin di mana tiroid tinggi atau rendah boleh memburukkan lagi psoriasis.

S untuk stress, smoke dan spirits – tekanan, merokok dan alkohol.

Rawatan

Walaupun belum ada penawar untuk psoriasis, penyakit ini boleh dikawal dengan baik menggunakan ubat-ubatan, dan diagnosis serta rawatan awal adalah mustahak.

Terdapat pelbagai jenis rawatan untuk psoriasis antaranya topikal, fototerapi, dan sistemik (oral atau melalui suntikan).

"Rawatan topikal adalah penggunaan krim. Sebagai contoh, pelembap sangat penting kerana pesakit psoriasis mempunyai kulit yang sangat kering.



Penggunaan krim membantu melembapkan kulit pesakit psoriasis.

"Sebab kedua menggunakan rawatan topikal adalah bagi mengatasi keradangan, dan krim steroid serta krim Vitamin D digunakan untuk tujuan ini," kata Dr Ch'ng.

Namun pada masa sama, beliau menegaskan steroid boleh menjadi sangat kuat dan menyebabkan penipisan kulit secara kekal. Justeru katanya, amat penting untuk mendapatkan nasihat pakar mengenai krim steroid yang mahu digunakan.

Fototerapi melibatkan pendedahan pesakit kepada sinar UV dos terkawal tetapi konsisten di bawah pemantauan ahli dermatologi.

Ini mungkin berkesan bagi sesetengah pesakit. Namun jika seseorang mempunyai psoriasis yang teruk, dia harus menggunakan "kabin". Pesakit harus memasuki kabin fototerapi seluruh badan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

"Dari segi logistik, ini mungkin tidak begitu mudah, kerana pesakit harus ke hospital atau klinik tiga kali seminggu. Sekiranya mereka tinggal jauh, ini akan menyusahkan dan memakan banyak masa.”

Dr Ch’ng berkata terdapat juga rawatan sistemik, di mana pengambilan steroid sama ada dalam bentuk tablet atau suntikan. Namun beliau memberi amaran terhadap penggunaan kaedah ini untuk pesakit psoriasis.

"Walaupun seseorang mungkin mendapat kelegaan dalam jangka pendek, kemungkinan ada kesan sampingan untuk jangka masa panjang, misalnya, kegemukan.

"Dengan ubat oral, seperti methotrexate yang digunakan pada masa lalu, kita harus memantau kemungkinan kesan sampingan, dengan melakukan ujian fungsi hati dan pemeriksaan untuk melihat sel-sel putih tidak menurun. Dengan cyclosporine, kita juga memeriksa ginjal dan memantau tekanan darah," katanya.



Psoriasis menyebabkan si pesakit hilang keyakinan diri dan malu untuk berada di khalayak ramai. - Gambar sekadar hiasan.

Salah satu rawatan baru berkaitan dengan penyakit psoriasis adalah biologik.

Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat, biologik boleh terdiri daripada gula, protein atau asid nukleik atau gabungan kompleks bahan-bahan ini, atau mungkin makhluk hidup seperti sel dan tisu.

Biologik diasingkan daripada pelbagai sumber semula jadi seperti manusia, haiwan, atau mikroorganisma - dan mungkin dihasilkan dengan kaedah bioteknologi dan teknologi terkini yang lain.

Menurut FDA, produk biologik sering dikaitkan dengan penyelidikan bioperubatan yang terkini dan mungkin menawarkan kaedah paling berkesan untuk merawat pelbagai penyakit dan keadaan yang tidak mempunyai rawatan lain pada ketika ini.

Dr Ch'ng berkata kaedah biologik yang pada ketika ini digunakan untuk mengubati psoriasis bertindak sebagai antibodi untuk menyekat sel-sel bermasalah, dan terdapat kajian jangka panjang yang menunjukkan keberkesanan dan keselamatan ubat-ubatan baru ini. Hakikatnya, rawatan untuk psoriasis ketika ini sangat baik, dan penyakit ini dapat dirawat dengan betul.

Menurut beliau, terdapat perbezaan yang sangat ketara berbanding rawatan dua dekad yang lalu, di mana ketika itu krim tar berbau pernah digunakan untuk merawat psoriasis.

Pada masa ini, krim lebih mudah ditoleransi, dan rawatan pesakit bertambah baik. Malah, Dr Ch'ng percaya bahawa hubungan doktor dengan pesakit juga amat penting. Lebih daripada sekadar merawat penyakit, beliau juga berempati pesakitnya dan menyesuaikan rawatan berdasarkan gaya hidup setiap pesakit.

“Kini, matlamat utama kami adalah untuk merawat gejala psoriasis pada kulit pesakit. Bukan sahaja rawatan berubah, tetapi matlamat dan sasaran kami juga telah berubah. Walaupun masih belum ada penawar, keadaan semakin baik. Semoga suatu hari nanti kami akan mendapat penawarnya," ujarnya.

Dr Ch'ng turut menggesa orang ramai supaya mengawal penyakit ini dengan baik.

“Sehingga itu, kita harus mengawal penyakit ini dengan baik. Masyarakat tidak boleh memandang ringan psoriasis hanya sebagai penyakit kulit. Ingat ada komorbiditi dengan kesan tidak dapat dipulihkan. Kuncinya adalah menghentikan penyakit merebak dengan mendapatkan rawatan awal," katanya.

Beliau turut menasihatkan bahawa rawatan itu boleh menelan belanja yang mahal, bergantung kepada tahap seriusnya keadaan penyakit tersebut.

Pada masa sama beliau juga mengingatkan masyarakat bahawa penyakit ini tidak berjangkit dan masyarakat juga boleh mengubah kehidupan pesakit psoriasis.

“Sekiranya anda mengenali seseorang yang menghidap psoriasis, cubalah berempati dengan mereka. Ingatlah bahawa kesejahteraan, harga diri dan kualiti kehidupan mereka semua telah terjejas disebabkan penyakit ini.

"Jadilah pendengar atau pendorong yang baik kepada rakan atau ahli keluarga anda. Mungkin anda harus mendekati mereka dengan cara yang berbeza. Akhirnya anda dapat mengubah bagaimana mereka melihat diri mereka dan mengatasi penyakit ini," jelasnya.

Artikel ini adalah mesej kemasyarakatan yang dibawakan kepada anda oleh Novartis Corporation Malaysia.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Wanita bingung kereta kemik angkara labu