suria

Begitu kuat pengaruh rawatan alternatif, ramai enggan ke hospital... realitinya kes kanser libatkan anak muda makin meningkat!

Masih ramai yang percaya rawatan alternatif mampu mengubati kanser.

PADA 2018, kanser merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di dunia dan Malaysia sahaja mencatatkan 16,000 kematian pada tahun tersebut akibat penyakit itu.

Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCRR) 2012-2016 pula menunjukkan terdapat peningkatan bilangan kes baru yang dikesan dalam tempoh berkenaan iaitu 115,238 kes berbanding 103,507 bagi tempoh 2007-2011.

Dalam tempoh sama juga, 10 jenis kanser tertinggi yang dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia ialah kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasopharynx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim (serviks) dan ovari.

ARTIKEL BERKAITAN: Satu dalam 2 rakyat Malaysia alami obesiti... Ketahui 4 petanda anda menghidap sakit jantung! - “Ia bukan lagi penyakit orang tua”

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita seringkali mendengar tentang golongan muda yang menghidap kanser.

Pakar Onkologi Pusat Perubatan Sunway, Dr. Aqilah Othman turut mengakui ini amat membimbangkan lebih lebih lagi kebanyakan kes yang dikesan di dalam golongan muda sudah berada di peringkat lewat.



Pakar Onkologi Pusat Perubatan Sunway, Dr. Aqilah Othman.

Katanya, individu berusia 50 tahun ke bawah boleh dikategorikan sebagai golongan muda dan punca sebenar kepada peningkatan angka itu tidak dapat dipastikan, namun ia boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor.

Ini termasuklah kata Dr. Aqilah, faktor genetik yang diwarisi daripada ibu bapa dan juga gaya hidup yang tidak sihat seperti kurang bersenam, pengambilan makanan tidak sihat, merokok dan sebagainya.

Bagaimanapun katanya, kanser dalam kalangan orang muda bukan semata-mata disebabkan oleh faktor genetik.

"Perkara pertama yang doktor akan semak adalah sejarah keluarga dan kebarangkalian faktor genetik menjadi penyebab kanser lebih lebih lagi jika di bawah umur 40 tahun, tetapi hakikatnya kurang dari 10 peratus kes kanser disebabkan oleh mutasi genetik yang diwarisi daripada ibu bapa.

"Kita masih tidak tahu penyebab utama kanser semakin menular dalam kalangan orang muda selain daripada faktor genetik tetapi gaya hidup berkemungkinan besar memainkan peranan penting," katanya kepada mStar.



Pemakanan tidak sihat dan gaya hidup turut menyumbang kepada peningkatan kes kanser dalam kalangan orang muda.

Kurang kesedaran, ambil mudah

Dalam pada itu, Dr. Aqilah memberitahu kesedaran tentang kepentingan pemeriksaan awal bagi mencegah kanser masih berada di tahap rendah dalam kalangan rakyat Malaysia antara punca kes meningkat saban tahun.

Sikap ambil mudah dan menganggap kanser tidak akan menyerang pada usia muda serta tunggu dan lihat harus dikikis kerana kanser boleh menyerang tanpa mengira usia.

"Ada juga segolongan yang menangguh untuk menadapatkan pemeriksaan dan rawatan di hospital kerana mengharapkan gejala yang dialami akan reda dengan sendirinya atau kaedah alternatif.

"Di sini sebenarnya sangat penting untuk mengenali badan sendiri. Jika rasa ada sesuatu tidak kena seperti demam berterusan dan timbul benjolan yang tidak sepatutnya melebihi empat minggu, sebaik-baiknya segeralah ke hospital.

"Masalah akan jadi lebih serius jika kita mengabaikan tanda-tanda yang ditunjukkan oleh badan dan sebab itu kesedaran mengenai kanser sejak awal sangat penting," katanya.

Ada juga segolongan yang menangguh untuk menadapatkan pemeriksaan dan rawatan di hospital kerana mengharapkan gejala yang dialami akan reda dengan sendirinya atau kaedah alternatif.

DR. AQILAH OTHMAN

PAKAR ONKOLOGI, PUSAT PERUBATAN SUNWAY

Kurang kesedaran itu juga disebabkan kehidupan masyarakat pada hari ini terlalu sibuk dengan pelbagai tugasan sehingga mengabaikan diri sendiri.

Ini termasuklah faktor pemakanan yang tidak sihat malah semakin ramai menggunakan perkhidmatan penghantaran kerana ia lebih cepat dan mudah.

"Hendak berjalan kaki atau naik tangga pun ramai yang tidak mahu apatah lagi melakukan senaman dengan kerap. Pada saya kesedaran tentang gaya hidup sihat adalah antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian.

"Ia bukan sahaja boleh mengurangkan risiko kanser tetapi juga pelbagai penyakit kronik lain seperti penyakit darah tinggi dan diabetes yang boleh membahayakan kesihatan dan nyawa seseorang," ujarnya.

Percaya rawatan alternatif

Sementara itu, Dr. Aqilah memberitahu ada segelintir pesakit yang disahkan menghidap kanser tahap awal yang lebih mempercayai rawatan alternatif berbanding perubatan moden juga boleh membuatkan keadaan pesakit bertambah teruk.



Ramai masih takut untuk berjumpa dengan doktor meskipun tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan diri mereka.

Ini kerana katanya, apabila perubatan alternatif yang dilakukan tidak berhasil kebiasaannya pesakit akan kembali ke hospital dalam keadaan kritikal kerana kanser sudah membesar atau merebak ke bahagian lain dalam badan.

Pesakit ini juga mungkin mengalami gangguan fungsi hati dan buah pinggang akibat pengambilan ubat alternatif lalu menghadkan rawatan yang boleh diberi untuk memulihkan keadaan pesakit.

Apabila keadaan ini berlaku kata Dr. Aqilah, peluang pesakit untuk kembali sembuh dan bebas daripada kanser juga menjadi sukar dan sebab itu rawatan awal sangat penting selepas seseorang pesakit disahkan menghidap penyakit itu.

"Apabila mengetahui mereka menghidap kanser, ada yang tidak mahu segera menjalani rawatan dan cukup takut mendengar perkataan pembedahan, kimoterapi atau radioterapi dan ingin mencuba rawatan alternatif dahulu.

"Sebenarnya tindakan itu sangat berbahaya dan memudaratkan kerana kanser boleh merebak dengan pantas apalagi jika tidak dipantau.



Rawatan penyakit kanser sudah bertambah baik berbanding dahulu.

"Kebiasaannya, pesakit-pesakit ini akan kemudiannya hadir ke hospital di dalam keadaan ekstremis dan nyawa nyawa ikan. Paling menyedihkan apabila kematian awal mereka sebenarnya boleh dicegah.

"Rawatan awal kanser sangat penting bagi mengelak ia merebak di mana peratus untuk sembuh sepenunya sangat tinggi bagi peringkat awal kanser dan di peringkat lewat, rawatan optimum awal boleh meningkatkan kualiti dan kelangsungan hidup" jelasnya.

Apabila diagnosis kanser diberi, ada yang mungkin begitu terdesak sehingga senang terpedaya dengan perangkap peniaga yang tidak bertanggungjawab yang lebih mengutamakan untung daripada nyawa pesakit dan kelangsungan hidup waris-waris mereka.

“Cuba eksperimen ini di mana mereka yang sebenarnya sihat memberitahu orang di sekeliling yang mereka menghidap kanser. Perhatikan reaksi dan nasihat orang sekeliling tentang pelbagai pantang larang dan rawatan alternatif yang perlu dicuba.

“Orang sihat yang membuat eksperimen ini akan sedar bahawa sebahagian besar komen-komen ini tidak berasas dan mereka yang memberikan nasihat ini sebenarnya langsung tiada kepakaran dalam merawat penyakit kanser kerana mereka boleh membuat pertimbangan secara rasional.



Selain mengambil pemakanan sihat, kita juga disarankan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali.

"Bayangkan nasib pesakit kanser dalam situasi ini di mana mereka berada dalam keadaan takut dan inginkan jalan yang disangka mudah tanpa menyedari rawatan alternatif tidak berkesan dan akan mengorbankan nyawa mereka secara pramatang.

“Masyarakat memainkan peranan penting dalam hal ini. Lebih baik berdiam diri jika tidak tahu. Berikan sokongan moral yang sepatutnya. Jangan membebankan pesakit dan keluarga pesakit. Jangan sesekali menjadi penyumbang atau penyebab kematian orang lain," katanya.

Tambah Dr. Aqilah, pesakit tidak sepatutnya takut dengan rawatan di hospital kerana dunia perubatan onkologi atau rawatan kanser mempunyai pelbagai kaedah bagi merawat pesakit khusus untuk penyakit mereka. Kehendak pesakit dan keluarga mereka juga diambil kira.

"Biologi kanser seseorang itu berbeza-beza meskipun mereka menghidap kanser yang sama. Faktor usia, penyakit kronik, gaya hidup, genetik dan sebagainya juga memainkan peranan dalam memilih rawatan yang terbaik untuk seseorang individu.

"Perjalanan setiap pesakit dalam sesuatu rawatan tidak akan sama. Kebanyakan kesan sampingan yang sungguh ditakuti dan digembar gemburkan masyarakat tidak semestinya akan berlaku dan sebenarnya jika berlaku pun adalah kesan sementara bergantung kepada jenis rawatan.



Ramai masih percayakan rawatan alternatif yang dipercayai dapat mengubati kanser.

"Atas sebab itu juga, jangan terlalu mudah percaya dengan apa yang dibaca di Internet atau diwar warkan oleh mereka yang tidak bertauliah. Jika ada keraguan, bincanglah secara jujur dengan pakar onkologi anda. Buat keputusan setelah mendapat maklumat sahih yang mencukupi" katanya.

Kata Dr. Aqilah, kaedah berkesan untuk meningkatkan kadar sembuh adalah mengenali tanda-tanda kanser, mengurangkan risiko, menjalani ujian saringan secara berkala dan mendapatkan rawatan awal jika sudah dikesan mempunyai penyakit kanser.

Bagi mencegah kanser pada usia muda, Dr. Aqilah menyarankan agar kita menjalani gaya hidup sihat termasuklah memperbanyakkan senaman, mengekalkan berat badan ideal serta meninggalkan tabiat buruk seperti mengambil makanan segera dan merokok.

Paling penting katanya, setiap daripada kita perlu mengambil tahu tentang sebarang perubahan yang terdapat pada diri sendiri.

Pemeriksaan saringan secara berkala boleh mengesan kes kanser pada peringkat awal atau sebelum sel tidak normal bertukar menjadi kanser walaupun kebanyakan mereka di dalam situasi ini sihat dan tidak mempunyai gejala. Kabarangkalian untuk sembuh sepenuhnya lebih tinggi jika kanser dikesan dan dirawat pada peringkat awal.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain