suria

Rutin harian terganggu kerana PKP, anak autisme berubah sikap... apa kata cuba 5 tip ini - "Ada menyorok dalam selimut..."

Naim Rafaie (baju merah) sukar untuk memahami situasi yang berlaku ketika ini.

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memasuki fasa kedua dan hanya akan berakhir 14 April ini dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Bagaimanapun bagi sesetengah daripada kita perintah ini sangat mencabar terutamanya kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga dengan keperluan khas.

Seperti Naim Rafaie Abdul Rahim, 24, yang juga seorang autism, tidak boleh melakukan rutin harian dan terpaksa duduk di dalam rumah adalah sesuatu di luar kebiasaannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Resah, sedih tak dapat keluar rumah... Dr Che Hafiz kongsi 7 tip jaga kesihatan mental ketika PKP

"Tiada penjelasan yang boleh membuatkan anak saya faham tentang situasi yang sedang berlaku ketika ini," kata ibu Naim, Felina Feisol, 54, yang juga Pengerusi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia.

Individu dengan Spektrum Gangguan Autisme (ASD) kebiasaannya mempunyai masalah deria selain pergerakan berulang kali serta patuh dengan rutin harian mereka.

Sukar bagi kanak-kanak autisme untuk menerima perubahan apabila mereka sudah terbiasa dengan rutin harian. 

Perubahan yang mereka alami secara tiba-tiba boleh menjadi sesuatu yang sukar dan gangguan terhadap rutin boleh menyebabkan masalah kerana rutin yang sama adalah salah satu cara mereka berdikari.

Seperti Naim, dia biasanya akan menghadiri kelas vokasional dan perubahan mendadak pada rutin harian membuatkan ia sukar diterima.

Oleh kerana itu, Naim sering menunjukkan tantrum ketika di rumah.

"Kami pernah mendengar pelbagai kisah daripada ibu bapa yang mempunyai anak autisme seperti merosakkan perabot, televisyen, Ipad dan ada pula makan semua makanan.

"Tahap kreativiti dan kesabaran ibu bapa juga ada hadnya. Seperti Naim, dia sering berasa gelisah di rumah dan sukar untuk menenangkannya," kata Felina.

Dalam pada itu, menerusi Facebook Malaysia Autisme, ibu bapa banyak berkongsi kisah anak istimewa mereka berhadapan dengan PKP ketika ini.

Cuba pelbagai aktiviti baharu bagi menarik minat anak autisme. 

Salah seorang pengikut laman itu memberitahu, anaknya sangat merindui membonceng motosikal manakala seorang lagi ibu memberitahu anaknya melukis gambar gurunya di sekolah kerana merinduinya.

Manakala ada pula berkongsi kisah anak mereka yang bimbang dengan Covid-19 dan sentiasa menyorok dalam selimut.

Namun terdapat juga kisah ibu bapa yang berkongsi pengalaman dan tip bagi menolong golongan istimewa ini seperti permainan dalam rumah atau senaman. Ada juga yang melakukan sesi terapi di rumah.

Sementara itu, Pengarah di Pusat Genius Kurnia, Profesor Madya Dr Hasnah Toran turut berkongsi pelbagai tip di laman Facebooknya bagi membantu ibu bapa mengendalikan anak autisme sepanjang PKP.

1. Galakkan anak menonton Papa Pipi: Kapten Kebenaran yang mengetengahkan mengenai Covid-19.

2. Reka sebuah kisah ringkas tentang Covid-19 dan fokus kepada bahaya dan kepentingan duduk di rumah ketika ini.

3. Libatkan mereka dengan pelbagai aktiviti di rumah serta senaman.

4. Buat jadual dalam bentuk visual bagi menjelaskan aktiviti harian mereka sepanjang PKP.

Dr. Hasnah mewujudkan laman Facebook bagi membantu ibu bapa mengendalikan anak autisme ketika PKP.

Jika tiada satu pun cara itu berhasil untuk menenangkan mereka. Dr. Hasnah memberitahu ibu bapa patut pertimbangkan untuk bawa mereka keluar dari rumah untuk menenangkan mereka.

"Bawa mereka keluar jika perlu. Sebagai contoh, jika anak mula mencederakan diri atau orang di sekeliling mereka," katanya yang juga mempunyai anak dengan autisme.

Dr. Hasnah turut mengingatkan agar membawa bersama kad perakuan OKU anak mereka untuk ditunjukkan kepada pihak polis dan jelaskan masalah yang mereka terpaksa hadapi.

Beliau turut menyarankan agar hanya salah seorang sama ada ibu atau bapa membawa anak mereka keluar bagi menjaga batasan sosial apabila berada di luar rumah.

"Jika situasi tidak dapat dikawal, bawalah anak ke tempat kegemaran mereka untuk bersenam atau sekadar bersiar-siar tetapi jangan terlalu lama. Pastikan batasan sosial dijaga.

"Bagaimanapun pihak polis mempunyai kuasa untuk meminta semua orang bersurai," katanya yang turut mengendalikan laman Facebook bagi mendidik dan memberi tip mengendalikan anak autisme ketika PKP.

Isnin lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu kelonggaran diberikan kepada golongan autisme dan OKU untuk mendapatkan terapi seperti dinasihatkan pakar dan ini tidak dibenarkan secara berkumpulan.

Artikel Lain