suria

Tak sempat habis puasa 6 dalam Syawal, boleh ke sambung di bulan Zulkaedah? Maklum la banyak rumah terbuka musim raya

Kita hendaklah sentiasa istiqamah dalam beribadah kepada Allah. -Gambar hiasan

AMALAN sunat yang menjadi rebutan umat Islam di bulan Syawal ialah puasa enam.

Fadilat yang mengatakan ia seumpama berpuasa sepanjang tahun adalah bersandarkan kepada hadis Nabi Muhammad SAW di mana ia menyebut bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda.

Bagaimanapun, ada kalanya kekangan daripada segi masa dan situasi membuatkan kita tidak sempat atau terlepas untuk menunaikan ibadah sunat ini.

Ramai umat Islam yang mengejar ganjaran pahala puasa enam.

Seperti seorang individu ini, dia ingin mendapatkan kepastian sama ada dibolehkan ibadat puasa enam diganti pada bulan Zulkaedah sekiranya tidak dapat menyempurnakan enam hari dalam bulan Syawal disebabkan faktor keuzuran dan kesihatan.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, menggantikan atau mengqada puasa enam Syawal dalam bulan lain seperti Zulkaedah adalah sunat.

Walau bagaimanapun umat Islam seharusnya berusaha untuk melengkapkan enam hari puasa tersebut dalam bulan Syawal kerana ia merupakan ibadat khusus dalam bulan berkenaan.

Menjelaskan lebih lanjut, puasa enam di bulan Syawal merupakan ibadat sunat yang muakad (dituntut) di sisi Mazhab Syafie setelah selesai menunaikan puasa Ramadan.

Umat Islam perlu berusaha untuk menyempurnakan puasa enam dalam bulan Syawal.

Rasulullah SAW juga bersabda dalam Riwayat Muslim: 1164 yang bermaksud:

Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diiringinya dengan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, maka ia adalah seperti berpuasa selama setahun.

Kesimpulannya, selaku umat islam yang bertakwa seharusnya berusaha untuk melengkapkan enam hari puasa tersebut dalam bulan Syawal kerana ia merupakan ibadat yang khusus dalam bulan tersebut.

Bahkan nilai pahala dikerjakan dalam bulan tersebut adalah berbeza berbanding di bulan yang lain.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain