suria

Adakah mangsa helikopter TLDM terhempas mati syahid? Fahami penjelasan UAI

Ustaz Azhar Idrus mengulas tentang kematian mangsa tragedi helikopter TLDM.

NEGARA kita menerima perkhabaran duka apabila 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilaporkan maut selepas terlibat dalam kejadian nahas dua helikopter bertembung.

Susulan itu, timbul persoalan sama ada kesemua mangsa yang beragama Islam mati syahid di jalan Allah SWT atau tidak.

Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) berkata semua yang terkorban disifatkan sebagai syahid akhirat.

"Syahid ada dua, syahid dunia dan syahid akhirat.

"Syahid dunia, mati ketika berperang dengan tentera kafir. Manakala syahid akhirat wajib dimandi, dikafan serta disolatkan," katanya dalam satu ceramah.

Wajah 10 mangsa yang terlibat dalam tragedi dua helikopter bertembung.

Tambah ahli agama itu lagi, berdasarkan hadis terdapat juga beberapa kematian yang dikategorikan sebagai syahid akhirat walaupun tidak meninggal dunia dalam perang.

“Dalam teks hadis ialah mati beranak, lemas, terbakar, mati akibat wabak atau penyakit dalam perut serta mati dihempap atau ditindih sesuatu yang berat.

“Kalau mati tertindih helikopter, maka ulama kiaskan dengan mati tertindih benda yang keras,” katanya.

Pada Selasa seramai 10 anggota dan pegawai tentera maut dalam nahas dua helikopter milik TLDM yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, di Perak.

Kedua-dua helikopter yang bertembung di udara dan terhempas itu dilaporkan sedang menjalani Latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain