suria

Hampir 2 tahun tak jumpa, isteri sebak suami tak cam wajahnya ketika buat kejutan di Singapura

Feena terharu apabila video kejutan yang dikongsi di TikTok meraih sehingga lebih 15 juta tontonan.

TERNYATA Pembukaan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) membuka ruang kepada individu mahupun pasangan yang terpisah antara sempadan dua negara untuk bertemu kembali orang tersayang.

Begitu juga dengan Feena Sakinah Abdul Latiff, 32, yang sudah hampir dua tahun tidak bersua dengan suaminya Mohd Iezzam Mohd Juaini, 33, disebabkan pandemik Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah boleh rentas negeri, anak pulang bawa kejutan hadiah untuk ‘seisi keluarga’ dalam kotak KFC... ayah sebak! - “Dua bulan saya simpan duit”

ARTIKEL BERKAITAN: Cinta jarak jauh, lelaki ini dapat ‘kejutan’ selepas 2 bulan menabung nak belikan awek iPhone - “Kerajaan suruh duduk rumah diam-diam, dia diam-diam cari laki lain”

Menurut wanita yang lebih mesra disapa Feena ini, suaminya bekerja di sebuah restoran makanan segera di Singapura dan kali terakhir pulang ke Malaysia pada September 2020.

Ketika dihubungi mStar, Feena bercerita bahawa dia telah membuat kejutan dengan melawat suaminya di Singapura pada 28 Januari setelah sekian lama memendam rindu.

"Suami saya kerja dekat McDonald's Singapura. Masa nak dekat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tu sempadan nak tutup, jadi suami saya cadang nak masuk kerja macam biasa. Mula-mula kerajaan cakap dua minggu je PKP, last-last nak dekat dua tahun dah.

"Lepas enam bulan pada bulan September 2020, suami saya ada balik Johor Bahru. Dia balik jumpa saya, anak-anak dan keluarga. Itu pun dapat balik seminggu saja.



Feena dan suaminya telah berkahwin melebihi lima tahun.

"Kemudian pada 2021 memang dia tak dapat balik sampai sekarang atas faktor kuota dan bagi peluang dekat orang yang belum pernah balik lagi. Sehinggalah baru-baru ni rasa nak masuk Singapura jumpa suami, sebab dah lama tak jumpa kan.

"Kebetulan tengok flight ticket dapat murah daripada orang lain yang selalu saya dengar, jadi saya pun on terus. Saya ikut semua prosedur VTL jadi tak payah kuarantin," jelasnya.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata ini, dia membuat kejutan terhadap suaminya yang sememangnya tidak tahu menahu langsung mengenai kehadirannya ke Singapura.

Tambah Feena, suaminya pada ketika itu baru sahaja masuk syif dan dia telah berpakat dengan salah seorang pekerja di restoran itu dalam menjayakan rancangannya.

Jelas wanita yang berasal dan menetap di Johor Bahru, Johor ini, suaminya langsung tidak menyedari kehadirannya kerana memakai pelitup muka dan mungkin juga kerana sudah lama tidak bertemu secara berhadapan.

"Saya masuk sorang-sorang dari Johor Bahru ke Singapura tak bawa anak-anak. Saya minta mak ayah tolong jaga. Lepas keputusan ujian PCR saya keluar, saya terus ke tempat kerja dia. Masa saya sampai tu dia baru masuk syif.



Pasangan ini memiliki dua cahaya mata sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

"Saya tak tahu nak buat surprise macam mana jadi saya minta tolong salah seorang GEL (Guest Experience Leader). Saya suruh GEL bagitahu dekat barista (suami) ada customer nak jumpa bagi feedback air dia buat.

"Saya pun duduk dekat meja 'dine-in' sambil tunggu untuk rakam momen reaksi dia sebab dia memang langsung tak tahu saya dah masuk Singapura. Sebelum tu, dia banyak kali video call, tapi saya tak angkat. Siap bagi alasan anak dah tidur, keluar dengan atuklah, macam-macam lagi alasan saya bagi nak cover line punya pasal," ujar Feena.

Berikutan video yang menjadi tular sehingga memperoleh lebih 15 juta tontonan di TikTok, Feena turut meluahkan rasa sebak kerana terpaksa menjadi pasangan jarak jauh (PJJ) setelah lima tahun berkahwin pada 25 Mac 2017.

Bercerita mengenai pengalaman sepanjang menjadi pasangan PJJ, Feena yang merupakan suri rumah mengakui bahawa ia bukan perkara mudah ditambah pula anak-anak masih kecil namun dia akur dengan ketentuan Allah terhadap keluarganya.

"Lepas dia letak air, saya pun speechless dan sebak juga mula-mula tu. Tak tahu nak bagi reaction macam mana sebab ni first time PJJ lama sampai macam ni. Tapi bila tengok respon dia, tak jadi sebak.

"Dia tengok saya, saya cakap hai je tapi suami tak cam lagi saya siap jawab ahaa... lepas tu dia tengok jam baru dia perasan tu saya. Nampak jam tali pink warna favourite saya baru dia perasan sebab kebetulan baru lepas share gambar tali jam baru dekat dia sebelum ni. Tu yang 'loading' lama sikit tu tak kenal saya.

"Sebelum kahwin, saya kerja dekat McDonald's Singapura dengan suami tapi bila ada anak saya berhenti untuk jaga anak-anak dekat rumah. Susah tu tak sangatlah, tapi taklah senang juga. Cuma saya anggap suami pergi kerja macam biasa, saya jaga anak dekat rumah.

"Saya tak fikir sangat atau anggap sebagai satu masalah walaupun semua benda kena buat sendirian. Saya suka cari benda untuk gembirakan diri saya sendiri dahulu. Pada saya, sebagai ibu dan isteri, saya kena jaga emosi sendiri dahulu baru kita boleh jaga anak dengan gembira. Happy mom, happy kids," tambah Feena.

Jelas Feena dugaan dalam rumah tangga akan sentiasa ada tapi jika terasa diri sudah penat, kita harus positif dan melihat sekeliling kerana ada yang hadapi dugaan lebih teruk daripada diri kita.



Wanita ini turut membuat panggilan melalui whatsapp call.

Tambah Feena, jumlah gaji lebih besar berbanding di Malaysia merupakan antara sebab kenapa suaminya bekerja di restoran makanan segera di sana.

"Lepas surprise tu husband tanya 'Eh mana anak? Mereka dengan siapa sekarang?'. Suami cakap dia terharu saya sanggup bersusah payah buat surprise macam tu," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain