suria

Muka suami doktor ini macam Melayu, meriah rumah sebab boleh cakap 6 bahasa... sambut Tahun Baru Cina macam ‘Keluarga Malaysia’

Kiri Dr Siti Hajar (kiri) bersama ibu bapa mentua, kanan Dr Siti Hajar bersama suami dan anak-anak.

MENONTON satu video yang tular di media sosial, ia boleh digambarkan sebagai Keluarga Malaysia.

Pasangan adik beradik lelaki ini memiliki wajah mirip orang Melayu tetapi fasih berbahasa Tamil.

Siapa sangka mereka sebenarnya berbangsa Cina, malah boleh bertutur dalam enam bahasa!

ARTIKEL BERKAITAN: "Selepas masjid, dia mimpi jumpa lelaki berjubah putih" - Doktor dedah suami mualaf alami dua mimpi aneh sebelum mengucap syahadah

ARTIKEL BERKAITAN: Riuh 'acik-acik' sembang, wanita ini digelar 1Malaysia boleh berbahasa Tamil, Kantonis tanpa masuk kelas... dengan anak pun cakap Tamil!

Dr Siti Hajar Md Hanif yang berkongsi video tersebut berkata, suaminya merupakan mualaf selepas memeluk Islam pada 2014 dan kini bernama Iskandar Chai Yoong Sang.

Wanita berusia 36 tahun itu memberitahu, bapa mentuanya berbangsa Cina dan beragama Kristian, manakala ibu mentuanya berbangsa India dan beragama Hindu.

cina cakap 6 bahasa 2

Dr Siti Hajar (kiri) dan suami (dua, kiri) bersama adik-adik ipar.

"Suami merupakan anak sulung daripada tiga beradik. Adik-beradik suami pula berbangsa Cina dan menganut Kristian.

"Benar, suami dan adik-beradiknya boleh bertutur dalam enam bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Hakka, Mandarin, Kantonis dan Tamil.

"Bahasa yang sering digunakan di rumah saya adalah Bahasa Melayu, Hakka dan Bahasa Inggeris. Saya dan anak-anak masih belajar bahasa Hakka, perkataan yang basic dan simple kami boleh faham dan cakap.

"Kalau keluarga suami pula cakap Hakka, Tamil dan Bahasa Melayu. Maksudnya macam dalam satu rumah semua boleh cakap Melayu, Cina dan India," katanya kepada mStar.

cina cakap 6 bahasa 6

Dr Siti Hajar (kanan) bersama ibu bapanya serta keluarga mentua semasa Tahun Baharu Cina pada 2019.

Dr Siti Hajar berkata, suaminya yang merupakan penolong pegawai perubatan berusia 32 tahun itu sudah lali dengan sangkaan dia berbangsa Melayu gara-gara wajahnya.

"Suami dah biasa. Kalau dengan pesakit biasanya dia akan berbahasa Melayu melainkan pesakit memang ada masalah bahasa, baru dia bertutur dalam bahasa ibunda mereka.

Setiap tahun untuk sambutan Tahun Baharu Cina, pasti ada reunion dinner. Ziarah pula semasa Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali

DR SITI HAJAR MD HANIF

"Bila ramai ingat suami Melayu kerana rupanya jadi sesetengah orang anggap dia tidak faham apa yang mereka 'gossip', mengumpat atau senang cerita 'membawang'," katanya sambil menambah kelebihan mahi banyak bahasa itu juga membuatkan suaminya tidak mudah ditipu.

Mengimbas kembali lawatan ke China pada 2017, Dr Siti Hajar berkata, dia dan suami 'terpisah' seketika ketika turun di salah sebuah stesen kereta api.

cina cakap 6 bahasa 7

Dr Siti Hajar (kiri) dan suami (kanan) bersama ibu bapa mentua serta anak-anak sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.

"Saya dah keluar tren, tapi suami tak sempat keluar sebab pintu dah tutup kerana ramai sangat orang. Suami cuma lambai tangan dari dalam tren bagi isyarat supaya tunggu.

"Untungnya suami faham bahasa dan tulisan Mandarin, jadi tidak sukar bagi dia untuk datang semula ke tempat saya menunggu," tambahnya.

cina cakap 6 bahasa 8

Dr Siti Hajar dan suami serta anak-anak ketika sambutan Tahun Baharu Cina. Turut kelihatan ibu mentua (berdiri, kiri).

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, keluarga mentuanya menyambut Tahun Baru Cina dan Deepavali di Kampar, Perak, manakala Hari Raya disambut di rumah keluarganya di Kuala Lumpur.

Walaupun terdapat perbezaan agama dalam kalangan keluarga, kata Dr Siti Hajar, sambutan tetap meriah saban tahun.

Namun kata Dr Siti Hajar, kedua-dua adik iparnya tidak dapat turut bersama menyambut Tahun Baharu Cina tahun ini berikutan masing-masing bertugas di Singapura dan Australia.

cina cakap 6 bahasa 5

Dr Siti Hajar (kanan) dan suami (dua, kanan) bersama keluarga ketika sambutan Aidilfitri pada 2021.

"Makanan hampir sama kerana selain masakan Melayu, saya juga dibesarkan dengan masakan Cina dan India. Jadi selepas kahwin, makanan di rumah tidak menjadi masalah.

"Keluarga mentua saya tidak masak atau makan makanan yang tidak halal di rumah, jadi tiada masalah apabila saya pulang ke rumah mereka.

"Setiap tahun untuk sambutan Tahun Baru Cina, pasti ada reunion dinner. Ziarah pula semasa Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain