suria

Riuh ‘acik-acik’ sembang, wanita ini digelar 1Malaysia boleh berbahasa Tamil, Kantonis tanpa masuk kelas... dengan anak pun cakap Tamil!

Fatimah menjadi perhatian selepas videonya bertutur bahasa Tamil dan Kantonis, tular di TikTok.

RIUH di kawasan kejiranan dengan suara seorang wanita Melayu yang bersembang ala 'makcik-makcik' dengan jirannya dari kejauhan.

Namun keriuhan itu bukanlah disebabkan kelantangan suara wanita itu, sebaliknya pertuturannya yang fasih berbahasa Tamil menjadi perhatian.

Berkongsi cerita dengan mStar, Fatimah Mat Kasar berkata, dia tidak mengikuti mana-mana kelas bahasa Tamil, malah belajar di sekolah kebangsaan (SK).

ARTIKEL BERKAITAN: Fasih cakap Tamil, Mandarin dan Melayu... apa identiti sebenar gadis ini? Siap kongsi insiden beli sari dan juadah iftar - "Orang punya raya dia pun sibuk nak beli"

ARTIKEL BERKAITAN: Cayalah! Remaja Cina ini belajar seni khat jawi, rakan sekelas Melayu diajar Mandarin, "Kami pernah nyanyi Alif Ba Ta beramai-ramai"

Wanita berusia 54 tahun itu menjelaskan bahawa dia mula bertutur dalam bahasa itu sejak kecil sewaktu keluarganya menetap di kawasan perumahan di Buntong, Ipoh.

"Masa tu majoriti penduduk di kawasan perumahan situ berbangsa India. Hanya keluarga saya dan sebuah keluarga lagi berbangsa Melayu, lain semua India

"Hari-hari jumpa depa (jiran India). Bermain dengan depa, berborak dengan depa. Lama-lama saya terikut cakap Tamil dengan depa... saya tak masuk mana-mana kelas belajar," katanya ketika dihubungi.

Fatimah berkata, bukan hanya dia seorang yang fasih bertutur dalam bahasa Tamil, tetapi sembilan lagi adik beradiknya menguasai bahasa itu.

"Tapi saya hanya boleh cakap dan faham apa yang dikatakan. Saya tak tahu tulis atau membaca dalam bahasa Tamil.

"Selama 22 tahun saya dibesarkan di kawasan kejiranan India, dari dengar-dengar terus dah boleh cakap bahasa mereka," katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.

mak cakap tamil cina 2

Fatimah (kanan) bersama anak bongsu, Sumaiyah.

Menurut ibu tunggal kepada empat anak itu, dia juga boleh bertutur dalam bahasa Kantonis tetapi tidak sefasih berbahasa Tamil.

"Saya mula belajar cakap Kantonis daripada kawan-kawan berbangsa Cina di tempat kerja masa umur 20-an jadi jurujual. Masa tu anak dara lagi, selalu berbual dengan mereka.

Hari-hari jumpa depa (jiran India). Bermain dengan depa, berborak dengan depa. Lama-lama saya terikut cakap Tamil dengan depa

FATIMAH

"Tapi saya cakap Melayu, mereka cakap Cina. Lama-lama kita pun dah tahu apa yang mereka cakap hari-hari, sembang-sembang... bolehlah cakap sikit-sikit.

"Kebetulan ada jiran Cina berusia 70-an di tempat tinggal saya sekarang di Taman Desa Pinji di Ipoh, jadi dengan dialah saya selalu cakap Cina," katanya yang digelar netizen sebagai '1Malaysia' gara-gara boleh bercakap Melayu, Tamil dan Kantonis.

mak cakap tamil cina 3

Fatimah (duduk, tengah) bersama anak-anak.

Fatimah yang turut dikenali sebagai Rahimah Burger kerana bisnes burgernya berkata, dia juga menonton drama serta filem Tamil pada masa lapang dan pelakon filem Tamil dari India yang diminatinya adalah Vijay atau nama sebenarnya Joseph Vijay Chandrasekhar.

"Saya sebenarnya bukan suka sangat tengok TV, tapi bolehlah layan drama dan filem Tamil. Tapi saya tak suka part nyanyi dan menari, masa tu saya tukar siaran kejap.

"Memang betul kata anak, saya tak perlu tengok sari kata bila pasang cerita Tamil. Boleh je masak kat dapur sambil dengar suara dari TV," ujarnya secara berseloroh.

mak cakap tamil cina 4

Fatimah menonton drama dan filem Tamil di masa lapang.

Dia yang mempunyai enam cucu turut cuba melatih anak bongsunya, Nur Sumaiyah Rahim yang berusia 18 tahun untuk membiasakan diri dengan bahasa Tamil.

"Abang dan kakak dia walaupun tak boleh cakap Tamil, tapi boleh juga faham sikit-sikit. Si Sumaiyah ni kena ajar dia, saya sengaja banyak cakap Tamil kat rumah bagi dia faham.

"Saya dan anak buka gerai burger depan rumah, saya kadang-kadang bantu saja. Kebanyakan pelanggan berbangsa India dan mereka tahu saya boleh cakap Tamil, jadi selalu juga mereka tersasul cakap Tamil dengan Sumaiyah.. jadi boleh dia belajar sikit-sikit.

"Sebenarnya bagus juga boleh cakap bahasa lain selain bahasa Melayu dan Inggeris, terutama apabila nak bantu orang-orang tua yang tidak fasih cakap Melayu atau Inggeris," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain