Cayalah! Remaja Cina ini belajar seni khat jawi, rakan sekelas Melayu diajar Mandarin, “Kami pernah nyanyi Alif Ba Ta beramai-ramai” - Viral | mStar

Cayalah! Remaja Cina ini belajar seni khat jawi, rakan sekelas Melayu diajar Mandarin, “Kami pernah nyanyi Alif Ba Ta beramai-ramai”

Tulisan jawi yang dihasilkan oleh Yenyen menarik perhatian netizen.

PENULISAN khat dan jawi menjadi bualan hangat netizen baru-baru ini berhubung pelaksanaannya di sekolah-sekolah vernakular.

Namun, ia bukanlah penghalang buat gadis berbangsa Cina ini untuk terus belajar mengenal dan menulis seni khat.

Dikenali sebagai Ng Yen Yen atau mesra disapa Yenyen, gadis berusia 17 tahun ini mempunyai minat mendalam terhadap penulisan khat sejak di tingkatan tiga lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia agih sampai habis semua” - Feri rosak, coklat mahal penumpang Cina jadi 'korban' iftar, lelaki ini buktikan rasis sikap individu!

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak mau ada yang mati” - Uncle Cina gigih angkut tar, disangka buang tabiat cangkung tengah jalan

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita Cina lancar gerakan kumpul dana, terharu tengok pemuda kurang duit gigih beri makan haiwan jalanan

"Ia bermula sejak saya lihat ramai kawan Melayu yang belajar kelas agama dan apabila saya cuba nak baca buku teks subjek Pendidikan Islam milik kawan, saya tidak faham... daripada situ saya mula nak belajar mengenali tulisan jawi dan menulis khat. 

"Ikutkan saya dah mula menulis tulisan khat sejak usia 15 tahun, namun selepas kira-kira setahun saya berhenti belajar seketika sebab kawan yang mengajar tulisan khat itu dah tak sama kelas.

"Namun baru-baru ini, saya mula belajar menulisnya semula.

"Saya minta kawan-kawan beri tunjuk ajar untuk menulis khat dan mereka sangat membantu, terutamanya kawan baik saya, Nurin yang sering ajar bila kami ada masa lapang bersama,"ujarnya ketika dihubungi mStar, Selasa.

Yenyen bersama rakan-rakan kelasnya ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Setiap kali Yenyen mempunyai masa lapang di sekolah, dia sering meluangkan masa menulis khat dengan bantuan rakan-rakan.

Kini, Yenyen masih berada di fasa belajar menulis kesemua huruf dalam jawi. 

Bukan itu sahaja, pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini turut membantu rakan-rakannya bertutur dalam bahasa Cina. 

Sementara itu, Yenyen akui hubungannya bersama rakan-rakan berbangsa Melayu sangat rapat dan tidak pernah kekok berkawan bersama mereka.

Yenyen (tengah) bersama Nurin (dua, kanan) yang sering membantunya menulis tulisan khat.

Baginya, sifat rakan-rakannya yang ramah dan sering menghulurkan bantuan membuatkan dia selesa berkawan dengan mereka. 

"Kawan-kawan selalu bantu dan tidak pernah ketepikan saya walaupun berlainan bangsa.

"Pernah sekali, saya menyanyi lagu 'Alif Ba Ta' dengan mereka beramai-ramai di dalam kelas.

"Mereka banyak mengajar saya tentang budaya Islam dan sering ajak saya beraya bersama-sama ketika musim perayaan Aidilfitri," katanya yang merupakan anak sulung daripada dua beradik.

Bagi saya, penulisan khat ini sesuai untuk dipelajari semua kaum.

YENYEN

Selain itu,Yenyen yang belajar di Sekolah Tinggi Kluang, Johor akui seni penulisan khat sungguh cantik dan mempunyai keunikannya yang tersendiri.

"Saya lihat tulisan khat ini sungguh unik dan hampir sama tulisannya dengan karakter tulisan Cina. 

"Bagi saya, penulisan khat ini sesuai untuk dipelajari semua kaum.

"Ibu saya pun beri sokongan kepada saya untuk belajar seni khat," ujar Yenyen yang kini menetap di Kluang, Johor.

Sikap ramah dan tolong menolong rakan-rakan Melayu membuatkan Yenyen tidak kekok dan mudah bergaul bersama mereka.

Dalam pada itu, komen yang dimuat naik Yenyen menerusi sebuah posting di laman Twitter berkenaan isu penulisan khat menjadi perhatian netizen sehingga meraih hampir 11,900 ulang kicau dan 10,800 tanda suka.

Rata-rata netizen mengagumi semangat dan usaha remaja ini untuk belajar menulis tulisan khat.

"Saya terkejut bila saya komen itu jadi viral dan ramai yang memberi sokongan kepada saya.

"Saya jadi lebih bersemangat untuk terus belajar menulis dan harapnya selepas ini boleh menulis khat dalam bentuk ayat pula," katanya.

khat , jawi