suria

Popular sebab pandai ‘kecek Kelate’, Akka Jeetha tak segan dedah makan budu sejak kecil... penangan video viral dah boleh berangan buka kedai

Jeetha gembira mendapat sokongan ramai selepas video miliknya tular.

ORANG Cina atau India yang fasih bertutur dalam dialek Kelantan bukanlah satu perkara yang pelik di negeri itu.

Namun, ia mungkin agak asing dalam kalangan penduduk luar yang jarang sekali melihat kaum-kaum lain bertutur dalam dialek berkenaan.

Terbaharu, video memaparkan seorang wanita India yang bertutur dalam dialek Kelantan turut menjadi perhatian ramai sehingga dirinya dihujani dengan pelbagai komen netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Sakat menyakat, gaduh manja... ramai suka tengok video dua beradik Cina ini ‘kecek Kelate’ - “Saya suka Kelantan sebab...”

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai terhibur tengok video bekas kru kabin Cina ini ‘kecek’ Kelantan, lebih suka ditanya bab makan berbanding ‘gewe’ - “Ada budu, habis dua pinggan nasi”

Ketika dihubungi mStar, Pavitthra Thandavarajan, 27, atau lebih mesra disapa Jeetha mengakui terkejut apabila dirinya tiba-tiba menjadi perhatian ramai.

Menurut wanita dari Kota Bharu itu, dia bukan sahaja dilahirkan di Kelantan, malah sudah membesar dan menetap di negeri itu sejak kecil lagi.

"Saya memang asal dari Kelantan. Di sini tak ramai orang berbangsa India, kebanyakan kawan kami orang Melayu. Sejak kecil sudah bergaul dengan orang Melayu, ia menyebabkan saya fasih bercakap Kelantan.

jeetha2

Jelas Jeetha, dia dilahirkan dan dibesarkan di Kelantan.

"Saya juga bersekolah di sekolah kebangsaan. Selain itu, sejak kecil saya dah bantu mak ayah berniaga kedai runcit. Kebanyakan pelanggan kami orang Melayu Kelantan, secara tak langsung saya belajar bercakap bahasa ini.

"Sebelum ini saya tak bercakap bahasa Kelantan dalam TikTok. Sekali saya cakap Kelantan, terus viral. Saya tak sangka sampai macam ni sokongan yang diterima. Ramai yang komen baik-baik dan cakap kita semua satu Malaysia," ujarnya lagi.

Menurut Jeetha, tidak lengkap menjadi anak jati Kelantan sekiranya dia tidak menggemari hidangan-hidangan yang sinonim dengan negeri itu.

Kalau kawan-kawan dari negeri lain datang ke Kelantan, sudah tentu saya akan bawa mereka merasai makanan negeri ini.

JEETHA

Sepertimana orang Melayu Kelantan, Jeetha menyifatkan budu merupakan salah satu makanan wajib yang perlu ada dalam setiap menu hariannya.

"Mestilah suka. Budu wajib ada di rumah. Saya suka makan budu dengan pelbagai jenis ulam. Semua ulam saya suka.

"Kalau kawan-kawan dari negeri lain datang ke Kelantan, sudah tentu saya akan bawa mereka merasai makanan negeri ini. Biasanya akan bawa mereka untuk makan nasi ulam, nasi kerabu dan macam-macam lagi," ujarnya.

jeetha4

Video Jeetha meraih perhatian ramai netizen di aplikasi TikTok.

Menurut Jeetha yang sudah enam tahun mendirikan rumah tangga, penangan video tular dia bertutur dalam dialek Kelantan menerusi aplikasi TikTok membolehkan dia meraih ramai pelanggan baharu.

Jelas Jeetha, dia melakukan bisnes produk kecantikan dan pakaian Bollywood secara dalam talian untuk mencari pendapatan sampingan, manakala suaminya berniaga besi buruk.

"Melalui TikTok saya dapat pelanggan baharu selepas video jadi viral. Ramai yang mesej saya, mereka tanya saya jual produk apa? Ada juga yang tanya untuk beli sari.

"Kalau kita tengok pun, sekarang jadi trend orang pakai sari dan lehenga. Orang kahwin pun buat tema Bollywood.

jeetha3

Jeetha kini berniaga secara atas talian untuk menyara kehidupan.

"Saya tengok di Kelantan belum ada kedai koleksi Bollywood. Sekarang saya berniaga online, tapi saya ada perancangan untuk buka kedai suatu hari nanti.

"Jika saya buka kedai, lebih senang untuk orang datang beli. Jika tidak, orang Kelantan akan pergi ke Kuala Lumpur atau Pulau Pinang untuk cari pakaian Bollywood," ujar anak sulung daripada dua beradik itu.

Untuk rekod, mStar sebelum ini pernah membuat liputan mengenai dua gadis Cina iaitu Wee Yun Nee serta Lai Mei San yang fasih bertutur dialek Kelantan sehingga menjadi sensasi internet pada tahun 2020 dan 2021.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain