suria

Ramai terhibur tengok video bekas kru kabin Cina ini ‘kecek’ Kelantan, lebih suka ditanya bab makan berbanding ‘gewe’ - “Ada budu, habis dua pinggan nasi”

San dihujani pelbagai soalan berkaitan negeri kelahirannya di TikTok.

SESIAPA yang menonton video gadis berbangsa Cina ini pastinya akan tersenyum dengan aksinya yang comel dan bersahaja.

Siapa sangka, video-video memaparkan Lai Mei San, 23, yang bertutur dalam dialek Kelantan meraih sehingga puluhan ribu tontonan di TikTok.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa San mengakui agak terkejut selepas video yang dikongsinya meraih sambutan dalam kalangan netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Sakat menyakat, gaduh manja... ramai suka tengok video dua beradik Cina ini ‘kecek Kelate’

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan video ‘ajar ABC’, pengikut bertambah 6,000 dalam masa satu malam... siapa wanita pandai bertutur banyak bahasa ini?

"Pada awalnya saya hanya kongsi video throwback ketika zaman bekerja dulu. Kemudian ada orang tanya saya berasal dari mana? Jadi saya cuba 'kecek' (cakap) Kelantan dalam video seterusnya.

"Memang agak terkejut bila viral. Tapi saya seronok layan soalan-soalan mereka yang melucukan. Pada masa sama, ia membantu saya untuk lebih fasih bercakap bahasa Kelantan.

"Kalau orang bercakap bahasa Kelantan, saya boleh faham. Tapi untuk saya sendiri bercakap bahasa Kelantan, saya kurang fasih. Banyak lagi kena belajar.

"Zaman sekolah dulu pun, ramai kawan Melayu saya bercakap bahasa Cina sebab kami bersekolah di sekolah Cina," ujarnya berseloroh.

san2

San berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Dilahirkan dan membesar di Kota Bharu, San yang juga anak bongsu daripada empat beradik turut menerima pelbagai soalan yang bertanyakan tentang juadah negeri itu.

Kata San, dia cukup menggemari budu dan turut berkongsi video 'mukbang' menikmati sos pati bilis itu menerusi TikTok miliknya.

Saya rasa saya akan kembali bekerja sebagai kru kabin lagi. Cuma tak tahu bila nak comeback.

SAN

"Saya memang suka makan budu. Biasanya saya makan budu dengan nasi dan telur. Boleh makan sampai dua pinggan.

"Selain itu, saya juga suka makan nasi ulam, nasi dagang dan pulut pagi. Banyak soalan mengenai Kelantan yang saya terima di TikTok.

"Ada juga yang tanya sekiranya saya dah ada gewe (kekasih). Tapi saya anggap mereka bergurau saja. Ramai yang minta saya perbanyakkan content video cakap Kelantan, saya akan cuba kongsikan lagi nanti," ujarnya.

Pada masa sama, San turut menitipkan ucapan terima kasih buat lebih 16,000 pengikut baharunya di TikTok yang tak jemu memberi sokongan terhadap video yang dikongsi.

san4

San pernah berkhidmat sebagai kru kabin dengan sebuah syarikat penerbangan.

Mengenai dirinya, San mendedahkan dia bekerja sebagai kru kabin dengan sebuah syarikat penerbangan, namun ditamatkan perkhidmatan ketika pandemik Covid-19 melanda tahun lalu.

Kini, San sedang membantu menguruskan studio kecantikan milik kakaknya di Kota Bharu.

Jelas San, dia sejujurnya rindu untuk kembali terbang di awan biru dan berhasrat menceburi bidang itu semula, suatu hari nanti.

"Saya menyertai bidang penerbangan pada tahun 2017. Ada retrenchment masa Covid-19 dan saya last kerja pada Mac 2020. Memang rindu dengan kerjaya lama saya.

san3

San tak sangka video di TikTok miliknya akan viral.

"Paling rindu, mungkin makanan-makanan dalam penerbangan. Seronok juga dapat jumpa ramai penumpang dengan personaliti berbeza-beza.

"Sebelum ini saya berkhidmat untuk penerbangan antarabangsa. Antara negara yang saya dah kunjungi termasuklah Hawaii, Korea, Jepun dan Cina. Tapi dalam wishlist, saya teringin nak ke Taipei suatu hari nanti.

"Saya rasa saya akan kembali bekerja sebagai kru kabin lagi. Cuma tak tahu bila nak comeback," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain