suria

Diuji saat kerjaya melonjak, wartawan terpaksa ketepikan minat kerana kanser... paling ngeri kena pilih antara koma atau paru-paru ditebuk!

Wanita ini tabah dalam mengharungi ujian besar dalam hidupnya.

HANCUR! Itulah sepatah perkataan yang dizahirkan oleh wanita ini sejurus mendapat tahu dirinya menghidap kanser limfoma.

Tidak dinafikan stigma bagi sesetengah pihak yang beranggapan jika disahkan menghidap penyakit yang boleh membawa maut itu sekaligus bermakna detik hitam dalam hidup mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: 5 tahun kahwin, 5 kali gugur dan wanita ini diuji lagi... keguguran bayi kembar 6 bulan, kanser rahim buat pasangan ini bawa diri balik kampung

ARTIKEL BERKAITAN: Terkejut disahkan kanser belum hilang, remaja ini tabah lalui satu lagi debaran tunggu result SPM di katil hospital - “Saya sihat saja sebelum ni”

Sudah pasti berita yang diterima itu membuatkan penghidap kanser tertekan, namun perjuangan Nur Izzatie Mohd Rizan, 33, melawan penyakit itu boleh disifatkan menakjubkan untuk dijadikan inspirasi.

Menurut wanita yang mesra disapa Zety, dia yang kini berstatus bekas pesakit kanser limfoma hanya mengetahui mengenai penyakit yang dihidapinya itu selepas pulang daripada menjalankan tugas.

“Kejadian ni berlaku selepas bertugas membuat liputan Pilihanraya Umum ke-14 di Pengerang, Johor. Kesibukan kerja menyebabkan saya ingatkan benjolan di sebelah kanan leher saya ni beguk.



Gambar Zety semasa ditahan di sebuah wad hospital.

“Saya pula jenis lasak dan sememangnya dari kecil susah nak dapat penyakit, jadi saya tak layan sakit badan dan rasa lesu macam nak demam tu. Tapi keadaan makin teruk pula selepas tu dan benjolan itu tak surut, sebaliknya makin besar.

“Saya ambil keputusan ke klinik berjumpa doktor. Doktor bagi antibiotik dan ubat sapu untuk jangkitan kuman tapi tidak nampak kesanya. Saya pun ambil keputusan ke hospital swasta di Seremban,” ujarnya kepada mStar ketika dihubungi.

Malahan, Zety yang sudah berkecimpung dalam dunia kewartawanan selama 13 tahun itu mengakui dirinya kurang pendedahan mengenai penyakit kanser sebelum ini.

Setelah mendapat keputusan buat kali kedua menerusi prosedur imbasan CT yang mengesahkan dia menghidap kanser limfoma pada tahun 2018, ahli keluarga Zety membawanya pulang ke kampungnya di Jelebu, Negeri Sembilan.

Saya rasa salah satu sebab saya boleh pulih cepat ni adalah dengan memaafkan orang.

ZETY

“Kesedaran tentang kanser memang kurang dan ia beri kesan pada diri hinggakan kurang tidur sebab stres. Asyik fikir apa nak buat dengan hidup.

“Lebih-lebih lagi apabila ramai yang menasihatkan supaya tidak teruskan rawatan kemoterapi," katanya sambil menambah kansernya dalam kategori tidak agresif.

Berkongsi pengalamannya, Zety berkata kesakitan yang dialami begitu perit dan sukar digambarkan sekitar pukul 5 pagi di mana dia akan alami batuk berterusan dan wajahnya akan membengkak.

Lebih menyeksakan apabila mengalami sakit pada tubuhnya hinggakan berat badannya turun mendadak dan menyebabkan Zety sukar untuk duduk.



Keadaan Zety semasa dia telah jalani rawatan kemoterapi.

Disebabkan keadaan semakin parah, pada tahun 2019 paru-paru wanita ini dipenuhi air membuatkan dirinya semakin lemah untuk bergerak.

“Masa tu saya dah tak larat. Nak tidur pun secara menelungkup di sofa, sebab dengan cara itu saja saya boleh bernafas.

“Disebabkan keadaan saya semakin lemah, emak bawa saya ke hospital dan rawatan yang dibuat menyebabkan air dikeluarkan dari paru-paru, semuanya lebih kurang 10 botol," katanya.

Bercerita lanjut, wartawan penyiaran stesen televidyen terkemuka di negara ini mengakui mencuba rawatan alternatif hingga berdepan masalah untuk mendapat rawatan susulan di hospital.

“Saya ingat lepas makan ubat alternatif, kesannya lebih baik sebaliknya keadaan semakin parah," luah wanita yang mendakwa ditinggalkan suami yang dikahwininya selama empat tahun ketika berdepan dugaan akibat penyakit itu.



Zety tetap kuat dalam menempuh dugaan walaupun terpaksa berehat daripada kerjayanya demi rawatan.

Walaupun banyak hospital telah menolak untuk merawatnya, namun Zety bersyukur ada sebuah hospital di Seremban bersedia membantunya.

“Saya diberi pilihan untuk koma atau paru-paru ditebuk tetapi saya tolak kedua-duanya dan saya memilih untuk ditebuk," ujarnya yang bersyukur kerana mempunyai ibu yang bersusah payah membantunya.

Ditanya mengenai tugasnya sebagai wartawan, graduan Ijazah Komunikasi Korporat Universiti Infrastruktur (IUKL) yang belum dikurniakan cahaya mata itu akui apabila terpaksa melepaskan kerjayanya bagi memberi tumpuan kepada kesihatan dirinya.

“Bila dah kena macam ni, banyak urusan dunia harus dilepaskan kerana fokus utama adalah rawatan untuk segera sembuh," katanya.



Zety telah kembali bertugas setelah sembuh daripada penyakit kanser.

Bagaimanapun, Zety tidak terpaksa menerima hakikat apabila terkena jangkitan virus sehingga lapisan pertama paru-paru sebelah kanannya bernanah dan terpaksa melakukan pembedahan untuk membuang lapisan tersebut.

Setelah segala ujian yang ditempuhi wanita ini, dia akhirnya pulih daripada penyakit kanser pada Jun 2020 dan sejak itu hanya perlu melakukan pemeriksaan secara berkala dan dapat kembali bertugas seperti biasa.

“Saya rasa salah satu sebab saya segera pulih kerana saya memaafkan orang. Bila kita maafkan orang ni, energy positif membantu saya cepat pulih.

“Jangan anggap penyakit yang Allah beri ini satu musibah, sebaliknya ia anugerah daripadaNya. Sebenarnya melalui dugaan ini jugalah kita boleh kenal orang di sekeliling kita. Siapa yang ada dan bantu kita ketika sakit sebab saya sendiri banyak hilang kawan masa sakit,” ujarnya.

Nasihatnya buat sesiapa yang didiagnosis menghidap kanser supaya tidak membuang masa mendengar cakap-cakap orang terutama yang gemar mencadangkan pelbagai rawatan alternatif, sebaliknya terus dapatkan dan jalani prosedur rawatan di hospital adalah tindakan terbaik.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain