suria

Pemuda usia 22 tahun terkesan teruk ditinggalkan bibik, masih terpanggil-panggil Kak Ana walau dah tiada di rumah

Razmie sangat rapat dengan pembantu rumahnya berbanding adik beradik yang lain sejak kecil.

SETELAH 16 tahun bersama, kini semuanya tinggal kenangan.

Terasa begitu berat hati keluarga ini untuk menerima kenyataan bahawa pembantu rumah kesayangan mereka yang berasal dari Madura, Indonesia telah meninggalkan negara ini buat selamanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Esok nak ‘terbang’ balik kampung, bibik kantoi nak angkut sekali barang majikan... selepas minta maaf sempat ‘rembat’ jam sebelum ke airport

ARTIKEL BERKAITAN: Bibik hantu! Wanita trauma maid baru kerja seminggu buat hal... kebas barang lebih RM30,000 sebelum lari - “Tak akan lupa muka anak 12 bulan terlentok dalam walker”

Menurut Muhammad Razmie Mohd Razak, 22, dia dan adik beradik yang lain cukup rapat dengan Ana Darwati, 41, yang lebih mesra disapa Kak Ana dan selama bersama dengan keluarga mereka, wanita dari negara seberang itu dilayan seperti saudara sendiri.

Ketika dihubungi mStar, dia yang mesra disapa Razmie sempat mengimbas semula kisah pembantu rumah itu yang telah berbakti membantu menguruskan kerja rumah sepanjang 16 tahun bersama keluarga mereka.



Kak Ana dianggap sebagai ibu kedua Razmie kerana telah menjaganya sejak dari kecil.

"Dia seorang bibik yang baik dan rajin. Sebelum ni kami tak pernah ada bibik pun. Bibik ni sangat banyak berjasa dan sudah dianggap macam ahli keluarga sendiri.

"Dari umur saya lima tahun lagi Kak Ana yang jaga. Mandi, basuhkan berak masa kecil, cuci pakaian, kemas rumah sampai makan pun bibik yang masak untuk keluarga. Kak Ana selalu masak udang masak tempoyak sebab tu makanan kegemaran saya.

"Kalau saya malas pergi sekolah pun masa dulu, Kak Ana akan marah paksa juga suruh pergi. Dia akan siapkan saya daripada mandikan sampai naik van pergi sekolah semua dia uruskan," ujarnya yang menetap di Rawang, Selangor ini.

Namun bibiknya telah membuat keputusan untuk pulang ke Indonesia pada Oktober 2021 bagi menjaga bapanya yang sakit tua pada ketika ini.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik ini, dia antara individu yang paling sedih dengan keputusan Kak Ana itu.

Imbas Razmie yang membantu ibu dan bapanya berniaga, terlalu banyak kenangan antara mereka sehingga sukar untuk menggambarkan rasa sedih yang terbuku di hati.

Saya dah anggap bibik tu macam ibu kedua.

RAZMIE

"Saya sangat akrab dengan bibik berbanding abang-abang dan kakak . Saya selalu tidur dengan bibik sambil bercerita tentang masalah dengan dia. Kadang-kadang bibik ada juga bercerita tentang masalah di kampung. Kakak dia baru saja meninggal dunia tahun lepas jadi bibik selalu bercerita yang dia rindukan arwah.

"Saya tak percaya bila dimaklumkan bibik terpaksa balik semula ke negara asal. Saya memang tak pernah tinggalkan bibik, bercuti atau balik beraya di kampung pun akan bawa balik bibik.

"Lepas ni susah sikitlah bila Kak Ana dah tak ada. Saya dah terbiasa buat apa-apa mesti akan cari dia. Walaupun dia dah tak ada dalam rumah sekarang, kadang-kadang tu terlupa jadi saya terpanggil nama dia," ujarnya.



Jejaka ini mahu ke Indonesia untuk melawat bibik jika ada peluang suatu hari nanti.

Dalam pada itu, Razmie turut berkongsi rakaman video penuh kenangan dengan emosi bersama pembantu rumahnya.

Video itu menjadi tular di TikTok dan turut dihujani komen-komen netizen yang menzahirkan rasa sedih dan turut berkongsi pengalaman akrab dengan bibik masing-masing.

"Saya dah anggap bibik tu macam ibu kedua. Mak ayah memang sibuk berniaga ada bisnes nak diuruskan, jadi saya memang banyak luangkan masa dengan bibik dekat rumah.



Ibu Razmie (kiri) bersama bibik yang membantunya dalam menguruskan rumahtangga.

"Ibu ada juga tanya saya nak cari bibik baru atau tidak, tapi saya cakap tak perlu. Bagi saya Kak Ana adalah pembantu rumah yang tiada ganti.

"Saya ada je hubungi Kak Ana melalui video call walaupun dia dah balik Indonesia. Kalau ada rezeki dan umur panjang, saya bercadang untuk pergi ke kampung bibik suatu hari nanti," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain