suria

Ratu Elizabeth cari puding tersedap, graduan UiTM sahut cabaran! Sentuhan magis cuma guna satu bahan dalam peti ais raih jutaan tontonan

Puding buah naga hasil air tangan Iman menerima pujian ramai di media sosial.

MISI mencari pembuat puding tersedap di United Kingdom (UK) oleh Ratu Elizabeth sempena The Big Jubilee turut mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Selepas mStar melaporkan kisah pencarian itu pada Jumaat lalu, seorang graduan diploma Kulinari dari Pulau Pinang turut mengambil bahagian secara tidak rasmi sehingga dirinya tular di media sosial.

Menurut Muhammad Iman Siddiqin Abdul Rashid, 22, dia mendapat idea untuk menghasilkan hidangan puding sejurus membaca laporan mStar dan tidak menyangka hasil tangannya bakal menerima pujian ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Ratu Elizabeth cari pembuat puding paling sedap

ARTIKEL BERKAITAN:“Betik goreng rasa macam sotong celup tepung” - Lelaki ini bangga kongsi menu pelik, siapa berani nak cuba sila tengok video tutorial

"Pada hari Jumaat memang saya dah rancang untuk buat video masakan. Tapi saya buntu dan tak ada idea. Saya pun buka Instagram dan terlihat posting berita mStar mengenai pencarian puding oleh Ratu Elizabeth.

"Dari situ saya dapat idea, saya terus cari bahan dalam peti dan memulakan proses membuat puding. Ketika itu, saya hanya jumpa buah naga. Berdasarkan resipi dalam internet, saya cuba olah dan buat puding buah naga versi sendiri.

"Prosesnya agak ringkas dan mudah. Dalam 20 minit pun dah boleh siap. Dalam jam 3 petang hari sama, saya kongsikan video penghasilan puding itu. Tak sangka dapat dalam lebih sejuta tontonan dalam tempoh kurang 24 jam," ujar graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Senang disapa Iman, dia mendedahkan pengikutnya di TikTok bertambah 10,000 dalam tempoh dua hari gara-gara video puding berkenaan, sekali gus membuka ruang untuk dia terus berkongsi resepi dan menunjukkan lagi bakatnya kepada orang ramai.

iman4

Antara menu yang dihasilkan jejaka itu.

Kata Iman, dia bersyukur dengan penerimaan ramai biarpun melalui proses yang sukar sepanjang menghasilkan video masakan untuk media sosial sejak Julai tahun lalu.

"Saya mula hasilkan video sejak Julai tahun lepas, selepas habis diploma. Agak susah sebenarnya sebab saya buat sendirian. Kadang-kadang tak menjadi, kena rakam video lagi sekali. Kadang-kadang ada lalat terbang, pun kena rakam semula.

Kalau dah minat, teruskan saja. Jangan fikir yang memasak ini hanya untuk perempuan.

IMAN

"Tapi disebabkan video puding itu, followers saya naik 10,000 orang dalam dua hari. Sekarang dah ada 34,500 followers di TikTok. Saya bersyukur, ramai yang komen kata masakan saya boleh pergi jauh, sampai boleh jumpa Ratu Elizabeth," ujarnya berseloroh.

Mengenai perjalanannya dalam dunia masakan, Iman berkata ia sudah bermula sejak di bangku sekolah lagi.

Malah katanya, dia sanggup meninggalkan persekolahan tingkatan enam demi menyambung pengajian dalam bidang yang diminatinya itu.

"Saya pernah mohon untuk belajar bidang Kulinari selepas tingkatan lima, tapi tak lepas. Jadi saya sambung tingkatan enam. Tapi saya tak putus asa, saya cuba mohon sehinggalah dapat tawaran ke UiTM.

iman3

Iman memasang impian untuk bergelar cef suatu hari nanti.

"Akhirnya saya berhenti tingkatan enam, saya masuk UiTM. Alhamdulillah, keluarga pun beri sokongan. Mereka tahu minat saya. Sejak kecil saya minat bidang ini kerana kerap tengok rancangan memasak.

"Pada masa sama, saya juga ada belajar memasak dengan mak. Selain itu, saya juga belajar melalui YouTube," ujarnya yang memasang impian untuk bergelar cef suatu hari nanti.

Dalam pada itu, Iman sempat menitipkan pesan kepada anak muda di luar sana yang mempunyai minat sama agar tidak putus asa mengejar impian mereka.

"Kalau dah minat, teruskan saja. Jangan fikir yang memasak ini hanya untuk perempuan. Kat tempat belajar saya, kebanyakan tenaga pengajar adalah lelaki. Di hotel pun ramai cef lelaki. Tolak ke tepi persepsi itu," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain