suria

Ibu dah 7 hari meninggal tapi masih ditahan dalam peti mayat, anak ikhtiar cari wang selesai bil hospital RM19,000 sampai ke Indonesia

Jenazah seorang ibu disimpan dalam peti mayat selama tujuh hari sebelum dikebumikan.

SAYU apabila jenazah seorang ibu tidak dapat dikebumikan segera gara-gara kos perubatan semasa hayat arwah di hospital belum dilangsaikan.

Kos perubatan arwah bukannya bukannya sedikit, tetapi mencecah puluhan ribu ringgit.

Kisah menyayat hati itu dikongsikan seorang pengasas badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan khidmat pengurusan jenazah secara percuma atas sumbangan masyarakat, di laman Facebook Mr Wan Cai Official.

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu! Anak salah faham panggilan doktor, sangka disuruh datang ambil ibu dah boleh discaj, tiba di hospital baru tahu diminta hadir bawa pulang jenazah

ARTIKEL BERKAITAN: Awas prosedur pelik di bilik mayat! Demi 'job tepi' staf, waris diperdaya tak boleh tuntut jenazah selagi tak dimandikan, kafan - "Ada yang sanggup terima RM5"

Bercakap kepada mStar, Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang hanya mahu dikenali sebagai Wan Chai berkata, arwah merupakan warga Indonesia berusia 53 tahun, dimasukkan ke sebuah hospital di Selangor sejak lebih sebulan lalu kerana dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, arwah yang juga ibu kepada dua anak perempuan itu meninggal dunia lebih seminggu lalu akibat komplikasi selepas sembuh daripada Covid-19.

"Bil perubatan arwah yang perlu dibayar berjumlah hampir RM19,000 untuk kos rawatan lebih sebulan di hospital.

"Jenazah dah tujuh hari berada dalam peti beku mayat kerana dua anak arwah iaitu pasangan kembar berusia 18 tahun tidak mampu bayar bil perubatan," katanya ketika dihubungi.

"Suami arwah merupakan pemastautin tetap meninggal dunia pada 2016, tinggal arwah dan anak-anak di Malaysia dan tiada saudara-mara lain kecuali di Indonesia," katanya ketika dihubungi.

jenazah 7 hari 5

UKVJ membantu menguruskan jenazah. -gambar hiasan

Menurut Wan Chai, arwah sebelum ini merupakan suri rumah sebelum berniaga barangan runcit secara kecil-kecilan, sambil menambah kedua-dua anak arwah dilahirkan di Selangor.

Beliau berkata, pihaknya dihubungi anak arwah bagi mendapatkan bantuan dan mereka berusaha untuk mempermudahkan urusan pengebumian jenazah.

Sama ada mereka pinjam sana sini dengan saudara-mara atau sebaliknya... saya yakin urusan jenazah telah dipermudahkan Allah

WAN CHAI

"Dengan kerjasama rakan-rakan UKVJ mencari jalan penyelesaian melalui beberapa proses, akhirnya bil perubatan yang perlu dibayar dapat dikurangkan dari RM19,000 kepada RM10,000.

"Saya kemudian minta anak sulung arwah menghubungi ahli keluarga ibunya di kampung di Indonesia berikhtiar cari duit tanpa meletakkan jumlah yang perlu dikumpulkan.

"Yang penting sama-sama usaha. Jika baki yang dikumpul masih tidak mencukupi, pihak kami akan cuba cari jalan dengan membuat kutipan derma kilat," katanya.

jenazah 7 hari 3

Jenazah dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di Klang.

Namun kata Wan Chai, anak arwah menghubunginya semula beberapa jam kemudian dan memaklumkan sebanyak RM10,000 berjaya dikumpulkan.

"Keluarga arwah di Indonesia berjaya mengumpul duit yang diperlukan dalam masa yang dikira singkat.

"Saya tak pasti sama ada mereka pinjam sana sini dengan saudara-mara atau sebaliknya. Cuma saya yakin urusan jenazah telah dipermudahkan Allah, Alhamdulillah," katanya.

Wan Chai berkata, jenazah akhirnya disempurnakan pada hari kelapan meninggal dunia, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di Klang.

"Kasihan jenazah terpaksa diletakkan lama dalam peti mayat. Mujur Allah aturkan anak-anak arwah bertemu kami.

"Bayangkan dah seminggu jenazah ibu mereka belum dikebumikan... jika tidak, entah berapa lama lagi. Alhamdulillah, pengebumian jenazah telah disempurnakan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain