suria

Umur 14 tahun dah belajar agama di Afrika Selatan, cikgu mengaji kongsi petua hafal al Quran... terkejut live TikTok boleh dapat 6,000 views

Qawiy kini aktif menganjurkan kelas mengaji secara dalam talian yang mana ia turut disertai pelajar dari luar negara.

PERJALANAN yang dilalui jejaka ini dalam mengejar impiannya tidaklah semudah yang disangka.

Malah, Abdul Qawiy Abd Rashid, 25, pernah berjauhan dengan keluarga selama bertahun-tahun demi kecintaannya terhadap agama.

Bercerita kepada mStar, guru mengaji itu sempat memperincikan semula kisahnya yang menyambung pengajian di Afrika Selatan seawal usia 14 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Ubah persepsi negatif, bakal arkitek ajar tajwid seminit guna TikTok - “Kalau tinggal al-Quran, masalah simple pun boleh stres”

ARTIKEL BERKAITAN: Main TikTok untuk kongsi pahala, bacaan surah al-Kahfi menusuk kalbu... siapa gerangan pemuda kacak bersuara merdu ini?

"Saya mula belajar di sebuah madrasah tahfiz di Shah Alam, Selangor masa umur 11 tahun. Ketika umur 13 tahun, saya dah khatam dan berjaya hafal al-Quran.

"Ketika umur 14 tahun, saya sambung belajar ke Afrika Selatan dalam bidang Pengajian Islam. Saya duduk di sana selama lapan tahun sebelum balik ke tanah air pada 2018," ujarnya.

Menurut jejaka yang senang disapa Qawiy itu, dia mula bekerja sebagai guru mengaji menerusi aplikasi Islam Pro sejurus pulang ke Malaysia.

Selain pekerjaan itu, Qawiy juga mula melibatkan diri dalam perniagaan kosmetik sehinggalah ia dihentikan pada tahun lalu.

qawiy2

Qawiy pernah menuntut di Afrika Selatan selama lapan tahun.

"Ketika balik ke Malaysia, saya ajar orang mengaji melalui aplikasi Islam Pro. Sesiapa yang nak mengaji, mereka boleh cari dalam aplikasi itu dan saya akan datang ajar dari rumah ke rumah.

"Kemudian saya join bisnes dan jual kosmetik. Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19, bisnes pun mula menurun. Jadi saya pun dah hentikannya pada April tahun lepas," ujar Qawiy lagi.

Kena ingat, al-Quran merupakan cahaya. Nak hafal cahaya, tak boleh sekalikan dengan dosa dan maksiat.

QAWIY

Ketika pandemik masih meruncing pada tahun lalu, Qawiy mula menyertai TiKTok dan banyak membuat perkongsian video serta siaran langsung berkaitan pengajian al-Quran.

Siapa sangka, tuah menyebelahi jejaka itu sehingga dia meraih lebih 227,000 pengikut di platform video berkenaan.

Malah, Qawiy kini kembali aktif menganjurkan kelas mengaji secara dalam talian yang mana ia turut disertai pelajar dari luar negara.

qawiy4

Video berkaitan bacaan al-Quran yang dikongsinya meraih perhatian ramai di TikTok.

"Saya tak ada apa-apa niat, tiada niat nak berdakwah pun pada waktu itu. Cuma memang setiap pagi saya akan baca Yassin dan baca surah al-Waqiah. Jadi saya terfikir untuk buat live di TikTok dalam jam 6.40 pagi, setiap hari.

"Awalnya, kadang-kadang ada lapan orang saja yang masuk tengok live. Tapi lama-kelamaan sambutan makin menggalakkan. Sampai satu masa, sekali live ada 6,000 orang yang menonton.

"Selepas itu, ramai pula yang minta saya ajar mengaji secara online. Sekarang saya ada dalam 40 orang pelajar, merangkumi orang dari Malaysia, Singapura, Belgium dan Kyrgyzstan," ujar anak ketiga daripada empat beradik itu.

Kata Qawiy, dia bersyukur dengan sambutan yang diterima dan merancang memperluaskan lagi kelas mengaji secara dalam talian yang diusahakannya.

qawiy3

Qawiy memiliki lebih 200,000 pengikut di TikTok.

Selain kelas mengaji, Qawiy juga mula berjinak-jinak dalam perniagaan kurta.

Bercerita mengenai pengalamannya yang mendalami al-Quran sejak usia muda, Qawiy beranggapan minat itu tidak boleh dipaksa, namun wajar dibiasakan sejak kecil lagi.

"Ia sebenarnya bergantung kepada bimbingan mak ayah. Mereka yang memainkan peranan, kena perdengarkan al-Quran kepada anak-anak ketika mereka masih kecil.

"Tak elok paksa anak, sebaiknya kita biasakan mereka sejak awal, InsyaAllah bila dah besar, mereka sendiri yang nak belajar.

"Bab petua menghafal dan jaga pemakanan, saya tiada ambil apa-apa makanan khusus. Bagi saya, soal makanan tidak begitu penting. Yang penting, ketika belajar dan hafal al-Quran, kita kena jaga diri, jaga mata, jaga mulut dan jaga telinga.

"Kena ingat, al-Quran merupakan cahaya. Nak hafal cahaya, tak boleh sekalikan dengan dosa dan maksiat. Dalam hafalan, kena jaga diri daripada maksiat," ujarnya mengakhiri bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain