suria

Peguam kongsi detik pertemuan dengan remaja curi tabung masjid, beri nasihat padu kepada masyarakat - “Semoga dia betul-betul insaf”

Peguam, Azman Abdullah (gambar kecil) mengulas mengenai kes membabitkan remaja yang cuba mencuri tabung masjid, Daniel Iskandar.

"WALAU apa pun, harap ada sinar untuknya dan semoga ada hidayah untuk dia."

Demikian mesej seorang individu yang bermurah hati mendermakan wang berjumlah RM4,000 bagi menjelaskan denda yang dikenakan terhadap Daniel Iskandar, remaja yang cuba mencuri tabung sebuah masjid baru-baru ini.

Mesej tersebut dikongsikan oleh peguam, Azman Abdullah, yang menjelaskan sendiri denda remaja tersebut menggunakan wang sumbangan individu dermawan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja curi tabung masjid dan dimandikan seperti jenazah, muncul kisah lain di sebalik alasan beli ubat datuk

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas mandikan ‘jenazah’ remaja curi tabung masjid, imam letak jawatan

"Ini adalah antara mesej-mesej yang dihantar oleh hamba Allah tersebut kepada saya. Saya yakin bahawa beliau ikhlas membantu adik Daniel dalam kes ini. Beliau telah meminta agar saya merahsiakan identitinya," kata Azman kepada mStar.

Berkongsi lebih lanjut, Azman berkata dia turut berkesempatan bertemu dengan remaja berusia 19 tahun itu pada pagi Jumaat (14 Januari) sebelum dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.

"Saya sempat berpesan kepadanya agar berubah menjadi insan dan Muslim yang baik. Tinggal semua perkara yang tidak baik.

"Anggap kejadian ini sebagai suatu pengajaran. Mulakan hidup baru. Masa tu, saya lihat dia menitiskan air mata. Semoga dia betul-betul insaf atas apa yang telah berlaku," kata Azman lagi.

azman 1

Azman membuat perkongsian di Facebook mengenai denda yang dijelaskan olehnya menggunakan wang yang disumbangkan seorang individu.

Kes membabitkan Daniel mendapat perhatian masyarakat baru-baru ini selepas video memaparkan remaja lelaki itu dimandikan seperti 'jenazah' kerana cubaan mencuri tabung sebuah masjid pada 8 Januari lalu, menjadi tular di media sosial.

Pada Khamis (13 Januari), Mahkamah Majsitret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja berkenaan kerana kesalahan tersebut.

Ketika perbicaraan, dia mendakwa terpaksa bertindak sedemikian bagi mendapatkan wang untuk membeli ubat ubatan datuknya yang menghidap kencing manis, sekali gus mengundang simpati netizen.

Namun dalam perkembangan terbaharu, datuk kepada remaja terbabit tampil menjelaskan situasi sebenar dan mendedahkan bahawa dia yang menyarankan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al Islahiah Kuang supaya membuat laporan polis ke atas cucunya itu.

Saya sempat berpesan kepadanya agar berubah menjadi insan dan Muslim yang baik. Tinggal semua perkara yang tidak baik.

AZMAN ABDULLAH

PEGUAM

Mengulas lanjut, Azman berpandangan kes tersebut menjadi perhatian dan mencetuskan reaksi yang pelbagai ekoran daripada tindakan individu yang tidak bertanggungjawab yang telah menyebarkan video berkenaan di media sosial.

"Tindakan sebegini adalah amat tidak bertanggungjawab dan telah menimbulkan ketegangan di dalam masyarakat. Saya memang berharap agar pelaku (yang telah menyebarkan klip video) dapat ditangkap dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

"Sekali pun adik Daniel disyaki telah melakukan sebarang kesalahan, orang awam tidak sepatutnya menghukumnya dengan cara sedemikian rupa.

"Sebaliknya, dia seharusnya diserahkan kepada pihak berkuasa dengan seberapa segera untuk membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan yang difikirkan wajar di sisi undang-undang," jelasnya.

azman 2

Resit sebagai bukti denda dikenakan terhadap Daniel Iskandar sudah dijelaskan.

Azman dalam masa yang sama turut menitipkan mesej kepada masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya berkongsi sesuatu perkara yang boleh memalukan pihak lain di media sosial.

"Janganlah sesekali berkongsi sesuatu yang boleh memalukan sesiapa sahaja di media sosial. Tambah-tambah lagi sesuatu yang boleh menimbulkan kekecohan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

"Seterusnya, jangan sesekali mengecam sesuatu atau sesiapa sahaja, sekali pun individu tersebut ada melakukan sebarang kesilapan atau kesalahan.

"Budaya kecam mengecam ni langsung tidak memberi manfaat kepada kita semua. Dan kalau kita tak tahu fakta sebenar, kita tak perlu komen. Diam adalah lebih baik," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain