suria

Pemuda ini pelik, anjing tersepit terus lesap setelah dilepaskan... fikir punya fikir baru sedar mungkin Allah mahu tunjukkan sesuatu

Fadzly membantu seekor anjing di kawasan kedai makannya pada Ahad lalu.

SIFAT belas terhadap haiwan yang ditunjukkan oleh peniaga kedai makan ini wajar mendapat pujian ramai.

Biarpun dirinya seorang Muslim, agama tak menghalang Muhammmad Fadzly Mohd Kamil, 28, untuk membantu seekor anjing yang tersepit kaki di pagar besi.

Menurut bapa kepada seorang cahaya mata itu, kejadian berlaku pada minggu lalu, berhampiran kedainya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Simpati atasi segala... gadis takut anjing beranikan diri demi Jantan! Bukan hanya beri makan, juga jadi ‘nurse’ balut kaki dengan halia

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda kongsi kisah anjing jalanan berubah manja selepas kaki dirawat, rupa-rupanya ada sebab suka rakam banyak video

"Kejadian berlaku pada hari Ahad minggu lepas. Ketika itu saya sedang mengemas kedai. Dalam 10 minit saya dengar bunyi anjing bising. Tapi saya biarkan, saya fikir anjing sedang bergaduh.

"Kemudian ketika dalam perjalanan nak balik rumah, baru saya perasan. Rupa-rupanya kaki anjing itu tersepit pada pagar. Saya tengok anjing tu sedang meraung. Saya cuba cari sarung tangan dalam kereta, tapi tiada.

"Jadi, saya gunakan plastik pembungkus makanan sebagai alas untuk membantu anjing. Malangnya gagal. Lama juga saya mencuba. Akhirnya, saya patah balik ke kedai dan ambil sarung tangan plastik dan kembali ke lokasi itu," ujarnya.

Senang disapa Fadzly, dia mengakui berdepan kesukaran untuk mengeluarkan kaki haiwan tersebut tetapi akhirnya mendapat idea untuk mengangkat tubuhnya.

fadzly3

Fadzly bersama isteri dan anaknya.

Sejurus diselamatkan, anjing itu terus berlalu pergi dan hilang dari pandangan matanya sehinggalah ke hari ini.

"Mula-mula saya cuba tarik tapi tak boleh. Kemudian saya cuba angkat, rupa-rupanya ia lebih mudah. Risau juga sekiranya digigit. Saya tak biasa dengan anjing. Dulu pernah tolong keluarkan anak anjing dalam longkang saja.

Saya fikir, ini mungkin tanggungjawab saya. Allah datangkan saya untuk tolong.

FADZLY

"Ini pertama kali saya berdepan dengan anjing besar. Selepas berjaya diselamatkan, ia terus pergi dan hilang. Sampai ke hari ini saya tak nampak. Anjing-anjing lain ada, tapi anjing yang diselamatkan tu saya memang tak nampak," ujarnya.

Menurut Fadzly lagi, tiada apa yang difikirkannya pada waktu itu selain untuk membantu haiwan berkenaan.

Malah katanya, dia cukup sensitif dengan apa jenis haiwan sekali pun dan menganggap kejadian itu sebagai aturan Allah buatnya.

"Ketika pertama kali lihat ia tersepit di situ, saya terus rasa kesian. Saya memang sensitif dengan haiwan. Saya tengok tiada sesiapa di sekeliling.

fadzly2

Anjing itu berlalu pergi selepas dibantu dan tidak kelihatan sehingga ke hari ini.

"Saya fikir, ini mungkin tanggungjawab saya. Allah datangkan saya untuk tolong. Pada saya, haiwan merupakan tanggungjawab kita semua. Ke mana kita pergi, mesti ada haiwan.

"Tak kisahlah apa situasi sekali pun. Tak kira haiwan atau manusia. Misal kata kalau kita nampak ada orang baru lepas kena ragut, jika kita ada di situ, kita bantulah semampu yang boleh," ujarnya yang sudah tiga tahun mengusahakan Cafe JPJ di Wangsa Maju.

Dalam pada itu, Fadzly juga tak sedar aksinya membantu haiwan berkenaan dirakam oleh isterinya, Farha Nadia dari dalam kereta.

Video itu kemudiannya dikongsi di Instagram sehingga meraih hampir 18,000 tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain