suria

Mural 3D atas jalan bawa kelainan, pelukis beri ‘gambaran’ Terengganu di masa depan... akui karya paling mencabar tapi puas!

Hatta (gambar kecil) menghasilkan mural gambaran pembangunan di Terengganu pada masa depan.

LUKISAN mural warna-warni dan kontemporari menghiasi dinding kosong mahupun atas jalan semakin menjadi trend masa kini.

Malah, ia turut memeriahkan seni jalanan yang mempamerkan kreativiti dan bakat anak tempatan.

Mural tiga dimensi (3D) yang menghimpunkan bangunan pencakar langit dari pemandangan atas, menampakkan jambatan angkat yang menjadi ikonik Terengganu, meraih perhatian.

ARTIKEL BERKAITAN: Air tangan Mural Man 'menjadi' lagi, kali ini bukan di dinding tapi secangkir kopi atas jalan! - "Cuaca panas terik, kena pasang khemah"

ARTIKEL BERKAITAN: Mural dipadam, bukan semangat! Tiga anak muda ‘kembalikan’ potret gergasi Dr Noor Hisham kepada orang ramai - "Harap dapat duduk semeja..."

Pelukis mural, Hatta Hashim berkata, lukisan itu dibuat di hadapan sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Pemuda berusia 37 tahun itu memberitahu, ia mengambil masa 10 hari untuk disiapkan dengan bantuan beberapa pelatih.

"Mural tersebut merupakan gambaran pembangunan di Terengganu pada masa depan. Sebab itu ada banyak bangunan-bangunan tinggi.

"Saya memasukkan imej jambatan angkat untuk menggambarkan Terengganu kerana ia merupakan mercu tanda ikonik negeri," katanya kepada mStar.

mural terengganu 6

Pembikinan mural di stesen minyak.

Mengenai lukisan mural atas jalan berukuran 16 kaki panjang dan 11 kaki lebar itu, Hatta berkata, ia merupakan karya yang paling mencabar kerana melibatkan lakaran bangunan.

"Bila buat mural 3D, lukisan berbentuk bulat lebih mudah, berbanding lakaran yang lurus. Apatah lagi nak bagi pemandangan dari atas untuk nampak bangunan dari jauh.

"Lakaran yang lurus memang kena betul-betul lurus seperti guna pembaris. Cabaran lain adalah pemilihan warna bagi menyerlahkan lagi gambaran masa depan di Terengganu," ujarnya yang berasal dari Kuala Terengganu.

mural terengganu 2

Mural 'Terengganu di masa depan' berjaya disempurnakan.

Hatta yang lebih dikenali sebagai Mural Man sebelum ini pernah tular dengan mural juga menggunakan teknik 3D di atas jalan menerusi lakaran secangkir kopi.

Menurut bapa kepada empat anak itu, lukisan mural dilakukannya sepenuh masa selama lapan tahun sejak 2014.

mural terengganu 7

Antara mural atas jalan dihasilkan Hatta.

"Karya seni mural saya bermula dengan lukisan di dinding, sebelum mendapat banyak permintaan melukis di atas jalan dan lantai.

"Sebenarnya lebih susah untuk melukis mural di atas jalan, berbanding dinding yang boleh dilihat secara straight di mana pandangan sama dengan saiz objek.

Saya mendapati bidang mural ini banyak permintaan, jadi saya berharap lebih banyak pelapis dalam lukisan mural dapat dibentuk

HATTA HASHIM

"Tapi saya menyukai cabaran dan mural atas jalan atau lantai merupakan satu kelainan yang memberi lebih kepuasan," tambahnya.

Berpengalaman dalam bidang minyak dan gas selama tujuh tahun, pelukis mural itu sedikit pun tidak menyesal meninggalkan kerjaya di pelantar minyak.

mural terengganu 9

Hatta turut menghasilkan mural dinding.

"Melukis adalah minat dan bakat saya. Apa yang saya buat adalah belajar dan belajar, kebanyakannya di YouTube. Saya belajar lukis mural juga di YouTube.

"Saya mendapati bidang mural ini banyak permintaan, jadi saya berharap lebih banyak pelapis dalam lukisan mural dapat dibentuk.

"Pada masa sama, saya juga mahu lebih mahir dalam pelbagai teknik lukisan mural. Jika sekarang buat mural 3D, akan datang saya mahu cuba mural 4D dan 5D pula,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain