suria

Pramugara 2 tahun tak balik ‘over confident’ tenang jumpa keluarga, realitinya baru nampak muka mak dah berjurai air mata... adik buat ‘drama’ bertambah sedih

Azim akhirnya dapat berjumpa keluarganya selepas dua tahun terpisah.

MOMEN pertemuan seorang lelaki dengan keluarganya setelah dua tahun terpisah, benar-benar meruntun jiwa netizen.

"Mula-mula tak faham, tapi part adik dia berlari keluar dan peluk erat-erat, time tu dah banjir, semoga sentiasa bahagia bersama keluarga tersayang," tulis seorang warga maya.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas dibuang kerja, pemuda ini cuba servis akuarium... tak sangka rumahnya jadi persinggahan kanak-kanak menangis

ARTIKEL BERKAITAN: “Dari planet mana ni?” - Guru ada bakat luar biasa, lukis 4 potret serentak guna semua tangan, kaki

Video yang dikongsikan Hazim Razali, 30, itu turut memperlihatkan ibunya menangis teresak-esak sehingga merah padam wajahnya.

Bercakap mengenai kisah rakaman itu kepada mStar, jejaka yang mesra disapa Azim ini berkata, dia yang bertugas sebagai pramugara di Singapura sudah dua tahun tidak dapat pulang ke tanah air disebabkan penutupan sempadan antara dua negara.

Bagaimanapun, dia akhirnya mengambil peluang Laluan Perjalanan Vaksinasi Darat (VTL Land) yang dibenarkan pada pertengahan tahun lepas untuk pulang bertemu keluarganya.

"Saya dah empat tahun kerja di Singapura. Mula-mula dulu ingatkan akan susah nak dapat peluang balik tapi rupanya kalau cuti tiga hari pun masih boleh balik, sampai la pandemik Covid-19 melanda. Sejak tu saya tak dapat balik sehingga kerajaan umumkan VTL-Land pada penghujung November lepas.

"Masa tu saya terus ambil cuti untuk balik dari 5 Disember sampai 11 Disember, kiranya saya ni batch pertama VTL-Land benarkan... selepas tu mereka bekukan semula," katanya, sambil menambah dia bagaimanapun sedikit terkilan kerana jumlah baki cutinya tidak membenarkan dia pulang sehingga 12 Disember yang juga hari lahir ibunya.



Azim bekerja sebagai pramugara dengan Scoot Airlines.

Menurut Azim, dia membuat keputusan untuk tidak memberitahu keluarganya, sebaliknya merancang kejutan tersebut dengan rakan baiknya, Syahera Fuad, 30.

"Saya ada berborak dengan Syahera, dia tanya balik macam mana, jadi saya beritahu plan nak buat kejutan muncul je tiba-tiba depan pintu rumah. Syahera kemudian beritahu dia sedia bantu untuk pastikan rancangan kejutan berjaya.

"Jadi saya beritahu pada keluarga supaya tidak ke mana-mana pada 5 Disember sebab Syahera nak hantar barang di rumah," katanya sambil menambah, dia mengenali Syahera sejak sekolah menengah lagi.



Azim dengan sahabat karibnya Syahera.

Menceritakan detik dia tiba di rumahnya, Azim mengakui perasaannya seperti biasa saja pada mulanya sehinggalah dia melihat ahli keluarganya di depan mata.

"Sejujurnya sebelum sampai Flat Seri Johor, Cheras, saya cakap pada Syahera, macam tak ada perasaan nak naik rumah, masa tu Syahera cakap jangan yakin sangat, ko tak tengok muka mak ayah lagi.

"Jadi kami pun pegang phone sebab nak rakam momen tu sebab dah jadi kebiasaan suka rakam sesuatu untuk tengok balik nanti.

"Bila sampai depan rumah dan nampak mak, saya terus menangis, adik pula terus lari peluk saya," kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Menurut Azim, dia selalu berpesan kepada adiknya supaya tidak sesekali berasa segan menunjukkan kasih sayang kerana mereka sememangnya rapat sejak kecil dan peluk cium sememangnya cara adiknya yang berusia 17 tahun itu mengekspresi perasaannya kepada Azim.

Katanya, pengalaman terpisah disebabkan pandemik ini membuatkan dirinya lebih mengenali apa itu erti kasih sayang serta menghargai kebebasan yang selama ini dinikmati.

"Bila terjadinya Covid-19 ni baru la terbuka mata dan mula rasa lebih menghargai orang-orang sekeliling.

"Hargailah ibu bapa, ahli keluarga, sahabat-sahabat yang sentiasa ada di sisi selagi ada peluang dan waktu sebab sekarang bukan kematian sahaja yang boleh memisahkan kita, apa jua keadaan boleh berlaku.

"Jadi peluk dan ciumlah mereka selagi berpeluang dan beritahu betapa kita sayang pada mereka setiap hari," katanya.



Azim (dua dari kanan) sewaktu dihantar pulang keluarganya.

Sementara itu, berkongsi cabaran yang terpaksa dihadapinya ketika mengharungi pandemik Covid-19 seorang diri di negara asing, Azim berkata, dia juga kehilangan kerja seperti kebanyakan individu yang lain.

"Masa pandemik berlaku, syarikat buat keputusan untuk letakkan pekerja asing dalam Non Flight List, macam saya kena sejak Oktober 2020 sehingga Jun 2021, kira selama sembilan bulan tu saya tak ada pendapatan.

"Tapi syarikat masa tu baik sebab mereka benarkan kami bekerja di tempat lain tanpa perlu meletakkan jawatan, jadi kerajaan ubah visa kerja sementara ke syarikat lain, program tu namanya "temporary alternative work arrangements" jadi masa tu saya bekerja di cafe Love, Food Club," katanya.

Menurut Azim, tempoh bekerja yang panjang serta tugasan yang agak berat membuatkan dia hampir berputus asa.

"Dunia Food and Beverages ni kerja long hours, kadang-kadang tak ada rehat, cuti kita kena ganti orang, kena datang restoran, memang banyak kali saya menangis cakap dekat mak tak tahan, tak nak kerja di sini, kalau di Malaysia boleh saya letak jawatan, tapi di negara orang kita kena ikut peraturan mereka, memang saya selalu meroyan, mak dan ayah selalu pujuk minta bersabar.

"Lagi sedih bila datuk saya meninggal disebabkan minor strok, nenek sakit, kemudian bapa kena strok, masa tu memang nak balik tapi kos bila kira untuk satu perjalanan dalam RM10,000 jadi lepas bincang, mama dan ayah kata jangan balik.

"Memang banyak sangat benda yang saya ketinggalan, yang membuatkan saya dah tak nak kerja di Singapura tapi memikirkan saya adalah breadwinner keluarga jadi saya kuatkan semangat," katanya.



Azim bekerja sementara di sebuah cafe sementara menunggu panggilan semula syarikat penerbangan.

Namun berkat kesabaran dan doa orang tuanya, Azim kini dilimpahkan dengan rezeki.

"Tuhan maha berkuasa, lepas struggle dengan semua benda, Dia kurniakan satu benda yang saya sentiasa impikan.

"Saya memang suka menyanyi, jadi masa pandemik saya mula terlibat dengan TikTok, dari situ akaun mula berkembang dan orang nampak bakat saya sampaikan ada ada komposer Malaysia, dari Suara Production mesej minta demo lagu, dia kata kalau boleh bawa, lagu tu akan jadi milik saya.

"Jadi lagu itu memang jadi first single saya, Allah tu memang betul-betul adil, dia bagi saya kekuatan untuk berdepan dengan cabaran berjauhan dengan keluarga dan berusaha mencari pendapatan dan dalam masa sama beri peluang saya capai cita-cita," katanya.



Azim bersama komposer lagunya, Yuzai.

Single pertamanya berjudul Terpisah Waktu itu dijangka keluar pada penghujung Januari.

Lagu ciptaan Yuzai itu turut mendapat sentuhan komposer terkenal, Fauzi Marzuki.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Gempar bayi perempuan lahir ada ekor berbulu