suria

Penyewa tak guna! Rosakkan perabot, rumah hancing bersepah tahi kucing... gara-gara terlalu percaya, pemilik tanggung rugi lebih RM15,000

Kerosakan yang dialami seorang pemilik kondominium akibat perbuatan khianat penyewanya.

PENYEWA dari berperangai tak guna itu memang wujud!

Itu pesanan yang ingin disampaikan seorang agen hartanah melalui sebuah video yang memperlihatkan keadaan ngeri sebuah rumah yang dipercayai menjadi mangsa khianat penyewa.

ARTIKEL BERKENAAN: Selamba main ‘piano pameran’ di mall, jejaka ini terkejut dapat ramai penonton... habiskan 3 lagu walau berdebar - “Saya buat silap, mereka tetap tunggu”

ARTIKEL BERKENAAN: Wanita ini bersedekah, doa sambil nangis gara-gara hilang kucing... terharu jiran baru kenal tolong cari sampai jam 3 pagi, tapi akhirnya Mango yang dapat ganjaran!

Video yang dikongsikan pada akhir Ogos lalu ini menunjukkan keadaan perabot yang dipecahkan termasuk katil dan pintu bilik.

Bercakap kepada mStar, ejen yang hanya ingin dikenali sebagai Wanie itu berkata, dia pada mulanya dihubungi pemilik asal rumah tersebut yang ingin mendapatkan bantuan untuk mencari penyewa baharu.

Wanita berusia 29 tahun ini berkata, pemilik tersebut memaklumkan bahawa penyewa terdahulu melarikan diri selepas lima bulan duduk dirumah tersebut tanpa menjelaskan bayaran sewa.

“Mula-mula pemilik minta saya iklankan rumah, dia cari penyewa baharu jadi saya iklankan la dan ada beberapa orang yang berminat.

“Satu hari tu pemilik call saya, dia cerita apa sebenarnya yang berlaku, katanya tenant sebelum ni lari, dia duduk setahun mula-mula bayar sewa tapi lepas setahun tu sambung kontrak tapi tak ada hitam putih, sebab atas dasar kepercayaan owner pada tenant.

“Bila dah sambung tu, tenant tak bayar sewa, owner faham sebab masa tu Perintah Kawalan Pergerakan, jadi dia pun lebih kurang je, tapi dalam lima bulan langsung tak ada duit masuk dalam akaun,” katanya.

Katanya, kondominium tersebut terletak di Bangi, Selangor, namun pemilik rumah tersebut tinggal di Pulau Pinang.

“Dia buntu tak tahu nak buat macam mana sebab tak ada sesiapa yang boleh tolong dia, jadi dia call management untuk tutup air unit dia.

“Kemudian dia minta saya uruskan unit dia,” katanya.

Menurut Wanie, penyewa tersebut, seorang lelaki bujang turut melarikan kunci kondominium terbabit.

“Dia tinggalkan kunci mailbox je jadi owner pos set kunci yang ada dekat dia, tapi masalahnya akses kad pula tak ada jadi saya minta owner call management untuk buat akses kad yang baharu.

“Masa sampai unit tu pagar dia lock dengan mangga tapi husband saya memang dah standby bawak gergaji jadi terpaksalah potong,” katanya.

Untitled

Mereka terpaksa memecahkan mangga untuk masuk ke rumah ini.

Mengakui tidak sedap hati apabila tiba di unit terbabit, Wanie bagaimanapun sudah boleh menjangka keadaan rumah tersebut.

“Unit tu awalnya owner bagi fully furnished tapi tenant bela kucing sebab ada pasir kucing dalam tu, sofa habis rosak kena cakar, taik kucing merata, bau hancing.

“Lepas tu meja makan tinggal meja je, kerusi M.I.A (hilang), makanan busuk berulat, tilam yang owner sediakan rosak, ada satu bilik tu atas tilam ada tahi kucing.

“Tiga pintu pecah, pintu almari pun pecah, sinki tercabut masuk dalam kabinet, bekas makanan merata yang dah busuk semuanya, eh banyaklah,” katanya.



Barangan dalam rumah yang dirosakkan.

Menurut Wanie, dia dan suaminya mengambil masa seharian suntuk untuk mengemas dan membuang semua sampah termasuk perabot yang rosak.

“Suami saya buat service aircond, jadi dia service aircond unit tu memang kotor gila sebab tak tahu la pernah service ke tak plus bela kucing aircond memang mudah kotor.

“Kemudian saya arrange kontraktor untuk tukar pintu dan technician untuk tukar lampu,” katanya.

Untitled8

Tilam dan katil yang dirosakkan penyewa terbabit.

Menurut Wanie, pemilik rumah tersebut terpaksa menanggung kerugian lebih kurang RM15,000.

“Bila beritahu dekat pemilik pasal keadaan rumah dia memang boleh dengar dia sedih sangat, dia mintak tolong saya tenangkan dia.

“Bil elektrik sampai RM2,500 tertunggak tak bayar, owner pun pelik kenapa TNB tak potong elektrik,” katanya.



Penyewa turut meninggalkan bekas makanan sehingga berulat dan berbau busuk.

Walaupun sedih dengan nasib yang menimpa dirinya, pemilik rumah tersebut yang berusia dalam lingkungan 40an membuat keputusan untuk tidak melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.

“Sambil-sambil uruskan unit dia saya iklankan juga tapi kali ni partial furnished je sebab yang tinggal peti ais, mesin basuh dengan kitchen cabinet dan perabot yang ada pun tak ada la dalam good condition sangat tapi masih boleh pakai.

“Alhamdulillah tak lama lepas kita orang buat unit tu, ada tenant yang berminat dan terus booking, dan dia pun memang jaga unit tu siap ambil gambar dengan video.

“Kadang-kadang bila jadi macam ni, ada owner yang akan trauma nak bagi sewa, tapi Alhamdulillah owner ni ok je, tak marah pun, tak nak buat report polis pun, dia kata tak nak sebab dia cuma nak move forward dan sekurang-kurangnya dia dah dapat penyewa baharu,” katanya.



Keadaan rumah selepas dibersihkan.

Wanie turut menitipkan pesanan kepada masyarakat untuk sentiasa jujur dan menjaga harta benda orang lain.

“Kena ada I la, jaga harta milik orang lain, kita pun tahu bukan senang nak beli rumah,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain