suria

Wanita ini bersedekah, doa sambil nangis gara-gara hilang kucing... terharu jiran baru kenal tolong cari sampai jam 3 pagi, tapi akhirnya Mango yang dapat ganjaran!

Loki (kucing) akhirnya berjaya ditemui selepas enam hari hilang hasil bantuan banyak pihak.

'SAKIT' kehilangan kucing yang dibelai manja sejak kecil hanya peminat si bulus sahaja yang faham.

Perasaan risaukan sang kucing ini membuatkan hati pemilik pasti tak keruan.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri hamil bahagia, suami pula derita alahan teruk sampaikan buat ujian Covid-19... tapi sebenarnya ada kisah sedih dilalui pasangan ini

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir setahun tak jumpa, ibu tak kenal disapa anak sendiri di KLIA2 sebab ada ‘perubahan besar’ - “Suara abang pun mak tak cam”

Begitulah keadaan Nur Zaheera Ahmad Hamidi, 32, apabila kucing kesayangannya, Loki, keluar dari rumah yang baru didiami mereka sekeluarga.

Menurut Zaheera, dia baru berpindah ke Kampar, Perak kerana mengikut suaminya, seorang pegawai bank, yang berpindah tempat kerja di Ipoh.

Katanya, pada 9 Oktober lalu mereka membawa Loki ke rumah baharu, namun kucing kesayangannya itu terlepas keluar selepas sekitar 20 minit tiba di rumah tersebut.

"Kami memang tak ada pengalaman pindah dengan kucing ke tempat baru.

"Ingatkan dia terlepas tu boleh balik sendiri, suami pun ingat macam tu jadi kami tunggu sampai malam tapi tak balik-balik.

"Ternyata kami silap!" ujarnya.



Zaheera bersama keluarga kecilnya.

Pemilik Warong Nasi Vanggey Nona Manes ini berkata, dia mula rasa tak keruan memikirkan keadaan Loki yang dibelanya sejak kecil lagi.

"Saya bela Loki dari baby lagi, ibu Loki nama Pasta saya beli kat pet shop.

"Dalam empat ekor anak Pasta hanya Loki je hidup, sekarang dah masuk dua tahun.

"Jadi bila dia hilang tu memang saya tak boleh tidur, rasa tak gembira, sepanjang hari tu tertanya-tanya mana dia hilang lepas tu kejap-kejap menangis bila teringat," katanya.



Loki hilang selama enam hari.

Enggan berputus asa, Zaheera dan keluarganya melakukan pelbagai ikhtiar demi mencari semula Loki.

Malah, dia tidak menyangka bahawa usahanya mencari Loki turut disertai jiran-jiran yang sanggup membantunya dengan ikhlas, malah sehingga awal pagi!

"Pada 11 Oktober saya ronda lagi dengan bawa anak berusia empat bulan, saya tak tahu lorong apa yang saya lalu dan terjumpa seorang adik jual burger. Dia kemudiannya kenalkan saya dengan kawannya yang kebetulan viral di grup Kampar sebab berjaya jumpa kucing jadi saya tinggalkan nombor telefon dan petang tu dia call saya, nama dia Pang.

"Pang yang tolong tampal poster Loki, bantu cari Loki waktu tengah panas terik sampai tiga hari, ada hari yang sampai pukul 3 pagi tapi dia tak putus asa mencari.

"Kakak dia, Wawa pun tolong sekali, dia kerja dekat Speedmart tapi lepas habis kerja pukul 10 malam tu dia akan ronda dengan kami tolong cari," katanya.



Pang dan Wawa yang tidak putus asa mencari Loki sehingga awal pagi.

Zaheera tidak putus-putus berdoa, mengadakan solat hajat serta bersedekah dengan harapan semoga Allah permudahkan urusannya.

"Saya sedekah dekat food rider yang hantar makanan tak banyak pun RM1 je tapi saya minta mereka call kalau nampak Loki, kemudian kalau beli barang saya tak ambil baki dengan niat Allah mudahkan urusan saya jumpa Loki.

"Saya sentiasa berdoa doa sungguh-sungguh dari Asar nak ke Maghrib, doa sampai menangis," katanya.



Zaheera menghebahkan mengenai kehilangan Loki di kawasan kejiranannya.

Usahanya akhirnya membuahkan hasil apabila Loki ditemui sekitar tiga kilometer dari kawasan perumahannya selepas enam hari hilang.

Menceritakan mengenai penemuan Loki, Zaheera berkata, dia menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang tidak dikenali memaklumkan bahawa anjingnya, Mango telah berjaya menemukan Loki.

Menurut Zaheera, Mango dikatakan sedang berjalan bersama pemiliknya apabila dia berpatah balik dan menyalak ke arah semak.

"Mango dengan pemilik dia tengah jalan, lepas tu Mango patah balik dan menyalak, owner Mango pun tengok la apa yang dia salakkan tu sekali dia ternampak Loki jadi dia patah balik ke tiang lampu untuk ambil nombor telefon saya pada poster iklan.

"Kebetulan sehari sebelum tu mereka nampak poster kehilangan Loki.

"Mango jaga Loki sampai suami saya datang," ceritanya, terharu.



Mango duduk berhampiran Loki sehingga suami Zaheera tiba.

Loki, katanya kelihatan kepenatan serta berada dalam keadaan kelaparan ketika ditemui.

Menurut Zaheera, Mango menunjukkan kebesaran Allah dan tidak mustahil seekor anjing yang kebiasaannya bercakaran dengan kucing, sebaliknya boleh bantu melindunginya.



Mango menerima buah tangan daripada Zaheera selepas pemiliknya menolak untuk menerima ganjaran tunai yang ditawarkan.

Dia turut meluahkan rasa syukur kerana dipertemukan dengan jiran-jiran yang sangat baik, malah pemilik Mango juga enggan menerima ganjaran tunai seperti yang ditawarkan dalam poster.

"Mula-mula saya fikir mana mungkin baru pindah ada orang nak bantu saya, tapi jiran saya Pang dan Wawa tolong saya dengan ikhlas," katanya sambil menambah kedua beradik berbangsa Cina itu dikatakan bakal memeluk agama Islam tidak lama lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain