suria

Koyaknya kecil je, gelabah macam buat salah besar! Tukang jahit dipuji sebab mengaku salah, gigih perah otak fikir cara tutup koyak baju pelanggan

Nurul tidak sengaja meninggalkan kesan koyak kecil pada baju pelanggannya.

TUKANG jahit mana yang tak gelabah apabila tak sengaja membuatkan baju baharu pelanggannya koyak?

Namun dengan sedikit kreativiti, kesabaran dan kemuliaan hati individu berkenaan, semua masalah dapat diselesaikan dengan baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Menjahit dari rumah je, wanita ini terkejut ‘minah salih’ dari Australia mesej nak tempah baju kahwin - "Dia nak design tak menjolok mata”

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah belajar menjahit, anak tukang jahit berjaya siapkan sendiri kaftan dalam masa 3 jam... esoknya melaram pergi kenduri

Berkongsi kisah 'tragedi seram' itu di laman TikTok, Nurul Azwa Arbain, 35 berkata, dia secara tidak sengaja telah menyebabkan baju baharu yang dihantar pelanggannya untuk dijahit zip, terkoyak.

Walaupun kesan koyak tersebut sangat kecil dan sukar untuk dilihat mata kasar, Nurul Azwa tetap memaklumkan kepada pemilik pakaian tersebut serta menawarkan solusi bagi menutup semula lubang itu.

Tangkap layar perbualan Nurul Azwa serta hasil jahitan selepas 'diperbetulkan' mendapat pujian warga maya terutama sekali atas kejujurannya mengaku salah.

Creative, terima kasih sebab jadi tailor yang jujur, rezeki awak berkat,” komen seorang pengguna.

Sementara itu bercakap kepada mStar, Nurul Azwa yang mesra dipanggil Nurul mengakui 'gelabah biawak' apabila ternampak kesan koyak dipercayai terkena mata pisau mesin jahit tepi.

“Pelanggan hantar untuk saya tambah zip sorok di lengan untuk mudahkan dia ambil suntikan vaksin, masa tu memang zip sorok ni tengah trending.

“Biasanya untuk baju blouse yang perlu saya tambah zip sorok di lengan saya kena tetas semula bahagian lengan dan pastikan luas lengan cukup selesa untuk pelanggan dan baki kainnya itu cukup untuk saya tambahkan zip sorok.

“Saya memang dah sehabis baik berhati-hati masa menjahit tapi entah macam mana boleh terkoyak sikit, masa lipat nak bagi pelanggan baru perasan,” katanya.

Untitled4

Tangkap layar perbualan Nurul dengan pelanggannya.

Menurut Nurul walaupun kesan koyak itu kecil dia berasa tidak selesa untuk membiarkannya begitu sahaja.

“Masa tu pening juga nak buat macam mana, tapi dulu saya suka jahit veil pengantin, tampal bunga 3D.

“Kebetulan poket baju blouse tu jenis poket tebuk, jadi, saya curi sikit kain kantung poket tu dan jadikan bunga 3D.

“Saya maklumkan dulu pada pelanggan tentang baju dia yang terkoyak dan idea saya, Alhamdulillah customer setuju, dia serah pada saya asalkan cantik dan simple,” katanya yang menetap di Pasir Gudang, Johor.



Nurul menambah bunga 3D untuk menutup kesan koyakan pada baju terbabit.

Katanya, pelanggan berkenaan pada mulanya ingin membuat bayaran tambahan namun ditolaknya.

“Saya tolak sebab memang salah kita kan terkoyakkan baju orang.

“Masa customer datang tu memang saya minta maaf dekat dia dan customer tu pun Alhamdullilah baik orangnya.

“Kita ni punyalah takut dan stres kalau kena marah tapi Alhamdullilah, customer yang baik-baik pun rezeki juga,” katanya.

Kejadian ini membuatkan dia akan bersikap lebih berhati-hati selepas ini.

Sementara itu, menceritakan detik permulaannya sebagai tukang jahit, Nurul berkata, minat telah mendorong dirinya untuk berusaha mempelajari sendiri seni jahitan dengan bantuan YouTube serta rakan-rakan di media sosial.

“Memang 100 peratus belajar sendiri, saya belajar dari YouTube, kemudian saya join group dekat Facebook, Geng Minat Menjahit, Geng Jahit, dua group ni 'otai tailor' bagi saya semua ilmu ada di sini selain Pinterest dan Instagram.

Keywordsnya minat dan praktis, suami saya pun sokong saya menjahit.

“Saya memang follower tegar Facebook Shikin Musa, Sanera Abd Rahman, Cikgu Jeffry Ibrahim, Cikgu Rozie Khan, cikgu Awie Manik, FB Sifu Kitaro, FB Azie D Closet, dan ramai lagi cikgu-cikgu jahit yang selalu share tutorial mudah dan sewing hack di Facebook,” katanya.

FotoJet (29)

Baju raya mereka sekeluarga dan pakaian sempena bulan kemerdekaan yang dijahit Nurul.

Katanya, dia pada mulanya bermula dengan menjahit pakaian untuk suami serta anak-anaknya.

“Akak mula sejak 2014, masa tu jahit sikit-sikit je, belajar tiru baju suami, buat baju Melayu, nasib jadi.

“Lepas tu buat baju anak pula, kemudian baju sempena bulan kemerdekaan, meleret-leret sampai sekarang akak dah buka kedai menjahit bulan Jun tahun lepas.

“Ingatkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dah habis jadi sewalah sebuah rumah teres untuk dijadikan kedai, adalah dua, tiga orang staf tapi disebabkan PKP bersambung sekarang saya kerja seorang diri,” katanya, sambil menambah dia juga terpaksa mengurangkan jumlah tempahan yang diterima akibat kekurangan tenaga kerja.



Antara hasil jahitan Nurul.

Katanya, selain blouse, dia juga menjahit baju kurung, jubah konvokesyen, skirt, alter jeans, dan kini dia bercadang untuk membuat sewaan meja banquet dan skirting meja.

“Kedai akak tu masih ada cuma tak pasti berapa lama boleh bertahan, tapi akak sayang kedai ni, mesin jahit pun ada sembilan buah so selagi ada kudrat akak usahakan juga supaya dapat bertahan.

“Itu akak cadang nak buat sewaan meja banquet dan skirting meja,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain