suria

Berat hati nak masuk kampus, si bongsu risau fikirkan siapa akan mandikan ayah... terkesan dek kata-kata ibu, jejaka ini terus panjatkan doa

Hasbi sebak ketika ibunya mahu berangkat pulang ke kampung selepas menghantarnya ke kampus pada minggu lalu.

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.

Begitulah kisahnya mengenai anak bongsu daripada 10 beradik ini yang berat hati untuk berpisah dengan orang tuanya.

Menurut Mohamad Hasbi, 20, ini merupakan kali pertama dia berjauhan daripada bapanya, Che Mat Ibrahim, 74, dan ibunya, Rafiah Md Yusoff, 62, yang menetap di Bera, Pahang.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak hilang kekuatan, ibu meninggal selepas 13 tahun tanggung 5 penyakit... hanya pusara pengubat rindu! - “Dari rumah boleh nampak kubur mak ayah”

ARTIKEL BERKAITAN: Bakal doktor sanggup ulang alik jaga mak walau sibuk belajar! Ibu hidap strok gagal tahan air mata lihat anak bongsunya nikahi jejaka Yaman

Senang disapa Hasbi, pelajar bidang Perancangan Bandar dan Wilayah itu baru sahaja memulakan kehidupan kampus di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada Jumaat lalu.

"Saya baru masuk kampus pada hari Jumaat. InsyaAllah kelas akan bermula Isnin depan. Sekarang saya tengah ikuti minggu orientasi.

"Seumur hidup saya tak pernah duduk asrama. Ini kali pertama berpisah. Adik-beradik saya yang lain semua dah kerja. Di rumah hanya ada saya, mak dan ayah.

"Biasanya saya yang akan keluar beli barang. Bila saya dah masuk belajar, saya terfikir macam mana nak tolong mereka? Kakak saya ada berdekatan dengan mak ayah, cuma dia tinggal berasingan," ujar Hasbi kepada mStar.

hasbi3

Hasbi seronok menjalani kehidupan asrama.

Menurut si bongsu itu, dia sebak untuk berjauhan dengan keluarga memandangkan bapanya sudah lima tahun terlantar akibat strok.

Malah kata Hasbi, dia juga sebak ketika ibunya mahu berangkat pulang ke kampung selepas menghantarnya ke kampus pada minggu lalu.

Memang rindu bila berjauhan. Tapi saya fikir, saya nak cari ilmu, nak banggakan mereka.

HASBI

"Memang rasa sebak. Selepas dapat tahu keputusan sambung belajar di USM, saya sedaya upaya luangkan masa dengan emak, tidur dengannya setiap malam sebab tahu kami akan berpisah.

"Ayah dah dekat lima tahun kena strok, ayah tak sihat. Selalunya saya yang akan mandikan ayah sebab dia dah tak boleh berjalan.

"Bila saya berjauhan dengan mereka, saya jadi susah hati fikir mengenai hal itu. Ayah pun tak boleh nak travel jauh. Masa saya daftar masuk kampus minggu lepas, hanya mak dan kakak yang datang hantar saya.

hasbi2

Keluarga Hasbi menetap di Bera, Pahang.

"Pada waktu itu, mak pun macam sebak tapi dia tak menangis. Kalau saya menangis, mesti mak pun akan menangis. Jadi saya tahan saja, lepas mak pulang baru saya nangis," ujarnya lagi.

Menurut Hasbi, dia cuba mencari semangat untuk meneruskan pengajian demi mencapai cita-cita dan menghadiahkan kejayaan buat keluarga.

Malah katanya, dia yang pertama kali menjalani kehidupan asrama mengakui seronok dapat bertemu kawan baharu dan belajar untuk berdikari.

"Setiap hari saya akan hubungi mereka. Memang rindu bila berjauhan. Tapi saya fikir, saya nak cari ilmu, nak banggakan mereka.

hasbi4

Video persiapan ke kampus yang dikongsi Hasbi tular di TikTok.

"Tapi mak ada cakap, sempat ke dia nak tengok saya konvo, sempat ke merasa gaji saya. Terus saya rasa sebak. InsyaAllah semoga mereka dipanjangkan umur.

"Sejujurnya seronok duduk asrama. Boleh borak dengan kawan-kawan, kena pandai berdikari. Kiranya semua buat sendiri tapi tak ada masalah. Senior pun baik," ujarnya.

Dalam pada itu, Hasbi juga tak sangka video persiapan dia untuk menempuhi alam pengajian meraih sehingga ratusan ribu tontonan di TikTok.

Malah, video Hasbi yang berpelukan dengan ibunya ketika mendaftar masuk ke asrama pada Jumaat lalu turut mengundang sebak netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain