suria

Butik sumber rezeki keluarga selama 20 tahun ‘bungkus’, owner berpurdah terkejut ada yang sudi beli lebihan stok pakaian muslimah - “Saya ingat orang tak suka pakai baju besar”

Cik Ains menerima rezeki tak disangka-sangka selepas lebihan stok pakaian muslimah yang tak terjual mula mendapat permintaan daripada warga TikTok.

PERJALANAN bisnes selama 20 tahun akhirnya menemui titik noktah.

Begitulah kisah sebuah butik pakaian di Angsana Johor Bahru Mall yang terkesan dek pandemik Covid-19 sehingga terpaksa dihentikan operasinya pada November tahun lalu.

Menurut Nurul Ain Rosni, 33, dia sudah melakukan yang terdaya, namun gagal mempertahankan butik yang diusahakan oleh ibunya, Rohayah Abdul Hamid, 63, yang menjadi sumber rezeki buat keluarga selama ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Selesa jadi ‘tukang jahit biasa’ walau hasil jahitan luar biasa! Lelaki ini kongsi kisah ditentang belajar fesyen, bawa mak ayah naik pentas selepas berjaya

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kalah’ dengan pandemik, wanita ini teringat segala kenangan ketika cabut wallpaper di butik kesayangan... mahu buat ‘u-turn’ jual semula kerabu Maggie

Mesra disapa Cik Ains, dia kemudiannya menyambung perniagaan itu dari rumahnya, namun ia seolah-olah menemui jalan buntu sehingga dia mengalami kerugian yang cukup besar.

"Saya sebenarnya dah lima tahun berniaga jus dalaman untuk wanita. Saya tak nak jual baju sebab dah ada bisnes sendiri. Tapi saya anak perempuan tunggal. Jadi saya perlu sambung warisan mak.

"Sebelum ini, hampir setahun butik ditutup sementara waktu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Walaupun tutup, sewa tetap kena bayar. Kemudian, kami juga ada sewa bazar untuk berniaga ketika raya.

"Namun duit hangus kerana bazar tak dibenar beroperasi. Sempat berniaga sekejap, kemudian tak boleh berniaga balik. Duit hangus dua kali dalam dua tahun.

cik ains 4

Cik Ains terharu dengan sokongan warga TikTok yang membeli lebihan stok pakaian dari butik tersebut selepas ia ditutup.

"Bulan November tahun lepas butik tutup. Kemudian berniaga dari rumah, tapi tak menjadi juga," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Menurut Cik Ains, dia kemudiannya berkongsi kisah penutupan butik itu menerusi bingkisan video di aplikasi TikTok dan cukup terkejut dengan respons yang diterimanya.

Dua tahun kita bertahan kerana pandemik, nak tutup pun kita tahan.

CIK AINS

Di sebalik keputusan duka itu, Cik Ains menerima rezeki tak disangka-sangka selepas lebihan stok pakaian muslimah yang tak terjual mula mendapat permintaan daripada warga TikTok, baru-baru ini.

"Sedih kena tutup sebab butik itu yang sara keluarga kami. Sedih tengok ibu terbeban dengan banyak hutang dan komitmen.

"Saya kongsi di TikTok mengenai kisah butik yang ditutup. Tak sangka ramai followers yang beri sokongan. Rupa-rupanya Allah nak bagi rezeki di TikTok.

"Saya ingat orang tak suka pakai baju besar, tak sangka ramai pula yang teringin. Saya nak ucapkan terima kasih kepada yang sokong kami," ujar Cik Ains yang juga ibu kepada tiga cahaya mata.

cik ains 2

Cik Ains sedih mengenangkan butik ini yang terpaksa ditutup pada November tahun lalu.

Dalam pada itu, Cik Ains yang dikenali dengan imejnya yang berpurdah turut menganggap ibunya sebagai 'iron lady' dan menjadikan wanita itu sebagai inspirasinya dalam perjuangan bisnes.

Menurut Cik Ains, dia kagum dengan kekuatan ibunya dalam mencari rezeki selama ini sehinggalah butik itu ditutup operasinya.

"Apa yang saya suka, mak sangat tegas, dia suka fikir mengenai masa depan. Mak juga bermula daripada zero.

"Mula dengan berniaga di tepi jalan sampai mampu ada aset, dia seorang yang sangat gigih bekerja. Mak merupakan 'iron lady' saya.

cik ains 3

Ibu bapa Cik Ains.

"Adik-beradik saya yang lain semua lelaki dan mereka buat bisnes makanan dan minuman. Hanya saya perempuan, kerana itu saya nak sambung apa yang mak usahakan," ujar Cik Ains lagi.

Tambah Cik Ains, segala rezeki dalam perniagaan bukanlah untuk dia sekeluarga semata-mata, malah dapat memberi manfaat buat pasukan dalam bisnesnya juga.

"Dua tahun kita bertahan kerana pandemik, nak tutup pun kita tahan. Kita dulu takut nak tutup sebab risau pelanggan cari.

"Sanggup berhutang sebab nak bertahan sehinggalah dah tak boleh cover. Kami juga ada pelanggan tetap dari Singapura.

"Namun Alhamdullillah, lepas butik tutup, ada rezeki di TikTok. Saya terharu dan sebak sangat. Rezeki ini bukan rezeki saya saja, tapi rezeki team saya juga," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain