suria

Dapat mak ayah kaki hiking, bayi usia 2 tahun dah 5 kali sampai puncak gunung... perlu banyak persediaan termasuklah hafal lagu Itsy Bitsy Spider

Foto kiri Eskandar membawa anaknya ketika hiking. Foto kanan Eskandar (kanan) bersama isteri dan anak.

PERNAH dengar tentang mendaki atau hiking bukit dalam mimpi?

Menerusi satu video dapat dilihat seorang anak kecil sedang tidur ketika dibawa oleh bapanya mendaki sebuah bukit menggunakan harness atau abah-abah keselamatan untuk bayi.

Namun ia tidak mematahkan semangat si bapa menempuh pendakian yang mencabar sehingga tiba ke puncak dengan ketinggian 510 meter (1,673 kaki) dari paras laut.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 10 kali stop sebab 'pancit', maka terjadilah drama tarik tangan! Akauntan baru 2 kali hiking pasrah diseret abang prihatin

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri selimut hilang dari kondo terjawab! Guru 'kaki' hiking gigih masuk hutan cari comforter kesayangan - "Nak pergi malam, takut ada yang ikut balik"

Zuleskandar Rosli berkata, dia membawa anak lelakinya, Izz Darwish yang kini berusia dua tahun mendaki Gunung Lambak di Kluang, Johor.

Bagaimanapun katanya, video yang baru dikongsikan di aplikasi TikTok itu sebenarnya dirakamkan ketika hiking bersama anaknya yang ketika itu baru berumur setahun, tahun lalu.

"Masa tu saya dan isteri hiking bersama anak di Gunung Lambak. Ia merupakan kali pertama kami hiking bersama anak sampai ke puncak dengan jayanya.

"Pertama kali hiking dengan anak beberapa minggu sebelum itu. Tapi hanya separuh jalan saja belum ready nak ke puncak selain anak menangis," katanya kepada mStar.

hiking dengan anak 4

Bertiga melakukan aktiviti pendakian.

Setakat ini, bapa kepada seorang cahaya mata dari Kluang itu berjaya mendaki bersama anak kecil dan isterinya hingga ke puncak Gunung Lambak sebanyak lima kali.

Selain kaki hiking, Eskandar turut melakukan aktiviti kecergasan lain seperti bersenam dan mengangkat berat di gim, latihan crossfit dan berbasikal, sambil menambah ada di antaranya dilakukan bersama isteri, Nur Shahira Jafery yang merupakan peniaga dalam talian berusia 27 tahun.

hiking dengan anak 3

Eskandar (kiri) bersama isteri dan anak di puncak Gunung Lambak.

"Bila dapat anak lelaki pertama, saya rancang nak bawa dia untuk aktiviti outdoor. Sebelum ini, saya akan pakai weighted vest (jaket pemberat) yang mengandungi besi seberat 10 kilogram (kg) untuk ketahanan fizikal setiap kali melakukan aktiviti lasak seperti hiking.

"Bila hiking dengan anak, saya tak pakai weighted vest. Sebaliknya, saya pasang harness untuk letak anak sama ada di posisi belakang atau depan mengikut situasi dan keadaan.

"Berat anak saya masa umurnya setahun lebih pun dah 11kg, lagi berat dari weighted vest," ujarnya yang merupakan guru di sebuah sekolah antarabangsa di Kluang.

hiking dengan anak 5

Aktiviti kecergasan yang dilakukan bersama isteri dan anak.

Berkongsi pengalaman, Eskandar mengakui mendaki bersama anak menguji kesabaran selain fizikal dan mental serta ilmu keibubapaan.

"Kalau hiking tanpa anak, turun naik ambil masa antara 45 hingga 50 minit je. Kalau bawa anak ambil masa dua jam naik dan turun, paling lama pernah sampai tiga jam.

Nak hiking bawa anak kena banyak buat persediaan. Keadaan cuaca pun kami pantau, kalau nak mendung kami patah balik. Kami sentiasa berhati-hati, taklah main redah je

ZULESKANDAR ROSLI

"Di pertengahan jalan, anak nak menyusu badan dan kami ada bawa kain untuk tutup bahagian berkenaan ketika menyusu dan cari kawasan selesa dan terlindung di sebalik pokok.

"Nak hiking bawa anak kena banyak buat persediaan. Keadaan cuaca pun kami pantau, kalau nak mendung kami patah balik. Kami sentiasa berhati-hati, taklah main redah je," tambahnya.

hiking dengan anak 6

Anak Eskandar berusia dua tahun begitu lasak.

Bukan sekadar itu, kata Eskandar, dia dan isterinya juga memainkan peranan untuk menghiburkan anaknya sekiranya meragam ketika pendakian.

"Bila anak berak walaupun pakai lampin, dia akan rasa tak selesa dan menangis. Masa tu nak turun, dan kami suami isteri menyanyi lagu kesukaan dia bertajuk Itsy Bitsy Spider... kadang-kadang tu kami berjoget sambil menyanyi nak jaga mood dia.

"Anak memang lasak. Selepas ini saya nak latih anak untuk mendaki sendiri bila tiba masanya, termasuk mendedahkannya dengan sukan permotoran mini GP untuk kanak-kanak," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Messi menang anugerah Ballon d'Or