suria

Jejaka sado nyanyi lagu Mariah Carey, ramai terpukau tonton video acapella secara solo - “Menyanyi, bina badan dua-dua saya minat”

Nyanyian dan bina badan merupakan dua minat Jaswan.

MEREMANG bulu roma! Melihatkan susuk tubuhnya yang tegap dan berotot, pasti ramai tidak menyangka bakat terpendam yang dimiliki seorang pemuda.

Ibarat paduan suara lima jejaka sasa, dia menyanyikan lagu genre acapella secara solo dengan lima bahagian berasingan yang kemudian digabungkan sebagai satu persembahan berkumpulan.

Susunan muzik dan gaya persembahannya yang tersendiri menyanyikan lagu My All yang dipopularkan oleh Mariah Carey nyata menusuk hati mereka yang mendengar.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai sangka Amelina, sehingga pemilik suara dalam van bergerak Jabatan Penerangan di kawasan PKPD munculkan diri... rupa-rupanya kakak penyanyi terkenal

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah buat kejutan show di majlis kahwin 2 tahun lalu, pemuda ‘rapper’ kini dah ada video muzik lagu sendiri – "Teringin duet dengan Yuna"

Jejaka sado itu, Jaswan Abdullah tidak menyangka video-videonya menyanyikan lagu-lagu genre acapella di sebalik himpunan rakaman melakukan senaman angkat berat menjadi perhatian.

Menurut pemuda berusia 31 tahun itu, dia minat menyanyi sejak sekolah rendah dengan sokongan ibu bapanya sehingga sanggup mempelajari alat muzik seperti gitar, keyboard dan dram.

"Saya baru ada akaun TikTok tahun ini dan kongsi video-video saya nyanyi. Masa mula kongsi video pertama lagu acapella secara solo pada April lalu, followers saya naik 60 orang.

"Ada beberapa video acapella selepas itu, tapi kurang sambutan. Sehingga satu video saya kongsi awal bulan lalu berjudul Wellerman (Sea Shanty) nyanyian penyanyi antarabangsa Nathan Evans raih lebih 730,000 tontonan, followers saya terus cecah 10,000!" katanya kepada mStar.

jejaka acapella 6

Jaswan mula bersenam di gim sejak di sekolah menengah.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini juga merupakan anggota kumpulan acapella, Colour of Voices yang ditubuhkan enam tahun lalu.

Jaswan berkata, kumpulan yang dianggotai enam anak muda itu sebelum ini membuat persembahan di majlis-majlis menerusi lagu-lagu versi cover penyanyi asal.

jejaka acapella 5

Jaswan minat menyanyi sejak kecil.

Dia yang berperanan sebagai 'bassist' dan 'music arranger' berkata, persembahan acapella secara solo tidak mudah jika dibandingkan dengan berkumpulan.

"Lebih-lebih lagi followers dah makin bertambah. Jadi mereka meletakkan jangkaan lebih tinggi terhadap setiap persembahan acapella saya.

“Nampak je video durasi 30 saat hingga 60 saat, tapi sebenarnya mengambil masa antara tiga hari hingga seminggu. Banyak proses yang perlu dilakukan sebelum membuat rakaman.

"Followers cuma nampak ada lima bahagian saya menyanyikan satu lagu, tapi sebenarnya secara keseluruhan ada enam bahagian iaitu satu penyanyi utama, tiga penyanyi latar dan dua lagi masing-masing melakukan bunyi alat muzik iaitu dram dan bass," ujarnya.

jejaka acapella 1

Jaswan (kiri) bersama kumpulan Colour of Voices.

Siapa sangka, bapa kepada dua cahaya mata lelaki ini juga rajin melakukan pelbagai kerja seperti membuat kerja-kerja di ladang kelapa sawit, menjadi ejen produk suplemen protein, jurulatih kecergasan dan membuat persembahan busking di hotel.

Malahan, Jaswan turut menjadi guru vokal berdasarkan pengalamannya dalam bidang seni.

jejaka acapella 7

Mengangkat berat merupakan senaman untuk Jaswan kekal cergas.

Mengenai pembabitannya dalam bina badan, pemuda berketinggian 173 sentimeter itu berkata, dia mula bersenam di gim ketika tingkatan empat.

"Dulu badan saya sangat kurus iaitu 50 kilogram (kg) dan sekarang 93kg. Sejujurnya, saya sendiri tak pernah menyanyi di gim.

Ada album sendiri adalah impian saya dalam bidang nyanyian sekiranya ada rezeki dan tawaran. Tak salah pun bermimpi kerana mimpi itu kan percuma

JASWAN ABDULLAH

"Mungkin orang ingat badan sado boleh menyanyi macam tak kena. Ada netizen komen 'abang nak badan sado ke nak menyanyi sedap?'.... saya tergelak dan anggap komen tu rare. Kalau tanya saya, menyanyi dan bina badan dua-dua saya minat.

"Jaga badan ni untuk pengaruh orang supaya menjaga kesihatan, dan nyanyian saya untuk menghiburkan orang dan sebahagian daripada hidup saya," kata Jaswan.

jejaka acapella 3

Jaswan mengimpikan untuk memiliki album sendiri.

Menjadikan kumpulan acapella dari Amerika Syarikat, Pentatonix serta penyanyi tempatan dan juga Juara program realiti AF Megastar 2021, Idayu serta penghibur legenda, Allahyarham Sudirman Haji Arshad sebagai idola, Jaswan mengimpikan untuk memiliki album sendiri.

"Ada album sendiri adalah impian saya dalam bidang nyanyian sekiranya ada rezeki dan tawaran. Tak salah pun bermimpi kerana mimpi itu kan percuma," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain