suria

Sedar dompet hilang ketika kuarantin, 2 hari selongkar rumah... gadis diberi petunjuk selepas 30 minit baca doa - “Macam tergerak hati nak berpaling muka”

Pencarian beg duit itu menemui jalan buntu sehinggalah dia teringat akan kisah keajaiban doa yang pernah dibacanya

PASTI ada dalam kalangan kita yang pernah berdepan dengan kejadian hilang barang.

Lebih pilu, ada yang terpaksa reda apabila barang yang hilang tidak ditemui buat selama-lamanya.

Namun, lain pula kisahnya mengenai gadis ini apabila pencarian beg duit selama berhari-hari berakhir dengan kuasa sepotong doa yang dibacanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Benda yang saya sayang perlu dilepaskan” - Lelong cincin RM100,000 dalam Lamborghini untuk kebajikan, Cleopatra ada doa khas untuk haters

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar kongsi cara senang bangun tengah malam solat Tahajud, reaksi warga TikTok amat mengejutkan

Menurut Ezafazliana Mohd Zainuddin Bolek, 25, kehilangan dompet yang mengandungi maklumat penting itu berlaku ketika dia menjalani kuarantin kendiri di kediamannya pada September lalu.

"Ibu bapa saya positif Covid-19. Mereka berada di pusat kuarantin manakala saya kuarantin di rumah. Masa tu memang tak keluar ke mana-mana, saya hanya di rumah saja.

fazliana1

Doa yang dibaca Fazliana ketika dompetnya hilang baru-baru ini. (Foto: Darussyifa)

"Sepanjang tempoh dua minggu di rumah, saya pun tak pernah cari purse kerana tak terfikir untuk keluar pun. Namun, saya sedar ia hilang ketika tempoh kuarantin dah nak tamat.

"Pada waktu itu, saya baru teringat. Tak nampak purse tu di mana. Saya cari tapi tak jumpa-jumpa. Saya yakin, saya letak dalam bilik saja," imbasnya kepada mStar.

Mesra disapa Fazliana, katanya, proses pencarian itu berlanjutan sehingga dua hari yang mana dia terpaksa menyelongkar setiap sudut di dalam rumahnya.

Tak tahulah sekiranya mata saya tertutup sebelum ini, tapi saya yakin saya tak nampak.

FAZLIANA

Namun, pencarian itu menemui jalan buntu sehinggalah dia teringat akan kisah keajaiban doa yang pernah dibacanya menerusi Twitter, suatu masa lalu.

"Dalam purse tu ada kad pengenalan, kad bank dan semua benda penting. Saya memang cari sehari dua macam tu, cari seluruh sudut, bawah katil, bawah almari tapi tak jumpa.

"Rasa macam nak putus asa. Saya dah siap Google, berapa bayaran untuk buat semula kad yang hilang. Kemudian saya teringat, ada seseorang pernah berkongsi mengenai doa barang hilang di Twitter.

"Saya terus Google, kemudian saya baca dengan niat harapan barang saya juga dapat dijumpai. Selepas itu, saya bertenang dan fikir positif saja.

"Dalam 30 minit selepas saya baca, saya yang berada di atas katil macam tergerak hati nak berpaling muka ke arah belakang. Terus saya nampak purse itu di belakang sebuah rak kecil.

"Saya rasa mind blown sebab dah cari di tempat itu sebelum ini, tapi tak jumpa. Tak tahulah sekiranya mata saya tertutup tapi saya yakin saya tak nampak," ujarnya yang menetap di Samarahan, Sarawak.

553 (3)

Imbas Fazliana, kejadian itu berlaku ketika dia menjalani kuarantin di rumah. (Gambar Hiasan).

Bersyukur dengan penemuan itu, Fazliana yang juga graduan Pengurusan Pusat Sumber dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut berkongsi kisah tersebut menerusi Twitter sehingga ia menerima lebih 5,000 ulang kicau (Retweet).

Ujarnya, ramai netizen turut berkongsi kisah kehilangan barang masing-masing menerusi ruangan balas tweet berkenaan.

Namun paling penting katanya, dia berharap perkongsian kisah itu dapat memberi manfaat kepada insan senasib dengannya di luar sana.

"Saya tak sangka tweet itu viral. Saya berkongsi kisah itu sejurus dompet dijumpai sebab saya bersyukur sangat.

"Tak sangka, ramai juga yang lalui hal sama. Saya harap dengan perkongsian doa ini, ia dapat memberi manfaat kepada orang lain juga.

"Cuma selepas ini saya kena lebih berhati-hati. Bila jadi macam ni, susah kalau dokumen penting seperti lesen gagal dijumpai," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain