suria

Pernah buat kejutan show di majlis kahwin 2 tahun lalu, pemuda ‘rapper’ kini dah ada video muzik lagu sendiri – “Teringin duet dengan Yuna”

Tangkap layar video muzik Elyas berjudul Duduk - Siyastu di laman YouTube, sementara gambar kecil Elyas membuat persembahan di majlis kahwin.

DUA tahun lalu, seorang pemuda menjadi tular di media sosial apabila berbaju Melayu dan bersamping, menyanyikan lagu rap yang ditulis sendiri di majlis perkahwinan sepupunya.

Pemuda 'rapper' itu menjadi tumpuan kerana menggunakan muzik instrumental lagu irama Melayu asli dendangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Gambus Jodoh.

Terbaharu, anak kelahiran Klang, Selangor itu kembali menunjukkan taring menerusi video muzik lagu rap yang diarahkannya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya hati tisu, kena menyampuk untuk kasi mood happy" - Nyanyi lagu rap gaya Spiderman, pemuda ini buat kejutan di majlis kahwin sepupu

ARTIKEL BERKAITAN: Disangka orang Malaysia, wanita ini cipta nama bergelar penyanyi rap berhijab di TikTok... buku nota kecil rahsia segala magis

Pemuda berkenaan, Elyas Naim Mazalan berkata, lagu berjudul ‘Duduk’ itu diperdengarkan kepada umum pada 14 Mei lalu, di mana lirik dan gubahan dihasilkannya sendiri.



Kisah Elyas pernah tular di media sosial pada 2019.

Menggunakan nama komersial Siyastu, katanya, ia merupakan 'single' kedua selepas lagu pertama berjudu; 'Kotak Panas' yang merupakan karya eksperimental pada akhir tahun lalu.

"Saya minat menyanyi dan membuat lirik lagu-lagu rap sejak 2018. Jika hendak diikutkan, minat dengan lagu-lagu rap ni sejak kecil... rap menjadi sebahagian daripada jiwa saya.

"Persembahan lagu rap pada majis perkahwinan sepupu tu selepas balik dari Sydney, Australia untuk cuti semester," katanya yang berusia 22 tahun kepada mStar.



Di sebalik pembikinan video muzik Duduk.

Elyas berkata, dia kembali untuk meneruskan pengajian di Universiti Wollongong, Sydney dan masih bergiat aktif menyanyikan lagu-lagu rap di negara kanggaru itu.

"Saya mendapati bila rap di Malaysia, ia dikira sebagai bakat yang bukan semua orang ada. Di Australia pula rap sesuatu yang normal. Budak-budak pun pandai nyanyi lagu rap.

"Rap ni sebenarnya skil komunikasi. Saya juga nak tunjuk kat orang kalau saya bukan dari latar belakang industri muzik dapat menyelami industri ini, maksudnya ramai lagi di luar sana dapat melakukan perkara sama," ujar pelajar jurusan perniagaan antarabangsa itu.



Elyas (kiri) ketika menjadi sebahagian wakil pelajar dalam satu perjumpaan di universiti.

Mengenai lagu baharu, Elyas yang pulang ke tanah air tahun lalu dan mengikuti pengajian secara dalam talian berkata, lagu 'Duduk' merupakan karya santai dan lirik mempunyai element Gentleman, Bad boy dan sedikit elemen flexing yang berlapis dan tidak ketara.

"Lagu 'Duduk' ini ditujukan kepada mereka yang suka bersikap riak supaya menjadi lebih merendah diri. Ia berdasarkan pengalaman lebih-lebih lagi saya dari keluarga sederhana.

Rap ni sebenarnya skil komunikasi. Kalau saya bukan dari latar belakang industri muzik dapat menyelami industri ini, maksudnya ramai lagi di luar sana dapat melakukan perkara sama

ELYAS

"Semasa di Australia, saya menyedari mereka yang berduit tidak pernah sesekali nak menunjuk-nunjuk. Sebaliknya, di Malaysia, mereka yang kononnya berduit pula suka sangat menunjuk dengan gaya hidup masing-masing.

"Tapi mereka sebenarnya hanya nak tunjuk kepada orang yang mereka ni berduit, tetapi hakikatnya lain. Maksudnya mereka berlagak kaya atau acah-acah kaya," katanya.



Elyas (duduk, kiri) pada minggu pertama di Australia dan pertama kali mencuba 'freestyle rap'.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, video muzik lagu 'Duduk' merupakan arahannya dan boleh didapati di laman YouTube.

"Saya nak tunjuk bakat serba-boleh dalam pembikinan lagu-lagu rap. Saya berhasrat untuk menjadi rapper atau penyanyi yang berjaya tanpa bantuan syarikat rakaman.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Jika diberi peluang, saya teringin berduet dengan penyanyi Yuna kerana kualiti seninya yang berbeza dan keunikan suaranya. Muzik video Yuna banyak memberi inspirasi kepada saya," katanya.



Elyas mahu menghasilkan lebih banyak karya seni.

Elyas yang berharap lagu baharu miliknya mendapat penerimaan baik orang ramai, dia akan terus menghasilkan lebih banyak karya seninya pada masa akan datang.

"Apapun saya masih boleh menyanyi di majlis kahwin jika dibenarkan dan keadaan kembali reda. Tapi hanya untuk saudara-mara saja lah, saya kasi eksklusif," ujarnya secara berseloroh.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain