suria

Satu demi satu petanda, nelayan penyayang dikenang... tambah pilu si bongsu tak jemu-jemu tunggu kepulangan 'abah' - “Umi sedapnya bau wangi”

Anak bongsu Azlina yang berusia empat tahun merindui arwah bapanya yang meninggal dunia lima hari lalu.

"ABAH, abah... mana abah? Abah dah balik?"

Demikian suara si kecil berusia empat tahun yang memanggil bapanya di luar rumah, sebelum si ibu memberitahu bahawa insan yang ditunggunya tidak pulang kerana 'sudah tiada'.

Video penuh meruntun hati yang dikongsikan di aplikasi TikTok itu sehingga kini meraih 1.1 juta tontonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sama-sama tak tahan rindu, isteri bawa ‘anak angkat’ ziarah kubur suami baru meninggal 4 hari - “Memang lain sangat gelagatnya malam tu”

ARTIKEL BERKAITAN: Soulmate beri pelukan terakhir di balkoni! Suami sukar percaya hilang isteri sekelip mata, tinggalkan dirinya bersama 6 anak - “Inhaler terjatuh, badan terus lembik”

Berkongsi cerita dengan mStar, Azlina Muhammad @ Yasin berkata kanak-kanak kecil dalam video tersebut adalah anak bongsunya yang merindui si bapa selepas beberapa hari suaminya, Mansor Sulong, meninggal dunia.

"Anak bongsu memang rapat sangat dengan arwah abah dia... hari ini masuk hari kelima suami meninggal dunia, dia kerap sangat mencari kelibat arwah.

"Arwah suami meninggal dunia kerana serangan jantung pada Ahad baru-baru ini ketika turun ke laut bersama rakan-rakannya," kata wanita berusia 42 tahun ini.

Mengimbas kembali insiden duka tersebut, Azlina yang juga ibu kepada empat cahaya mata berkata, arwah suaminya yang merupakan seorang nelayan turun ke laut pada pukul 3 pagi sebagaimana kelazimannya.



Anak bongsu Azlina sangat rapat dengan arwah bapanya.

"Rutinnya setiap kali sebelum turun ke laut, kami akan bersalam-salaman dan peluk cium seperti biasa. Kami saling bermaafan, minta halal makan minum dan semuanya. Arwah bekerja sebagai nelayan sejak bujang lagi.

"Jadi saya selalu pesan, kita tak tahu bila ajal menjemput... lebih-lebih lagi arwah ke laut selalu. Sebab itu saya tak rasa aneh pun ia rutin seperti biasa.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Menurut cerita rakan-rakannya, arwah banyak diam semasa di bot. Bila ditegur dapat ikan besar, dia senyum saja... tak bercakap. Tiba-tiba masa nak ambil sesuatu, arwah terus tersungkur macam bersujud. Selepas tarik nafas terakhir, dia kaku," ceritanya sambil sebak.

Cerita Azlina, sekitar pukul 9 pagi, isteri kepada tekong bot memaklumkan bahawa suaminya hanya pengsan, namun naluri sebagai seorang isteri dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena.



Allahyarham Mansor meninggal dunia ketika turun ke laut pada Ahad lalu.

"Sekitar pukul 1 petang, saya dapat panggilan daripada pihak maritim dan meminta saya ke Pengkalan Tanjung Sedili. Masa tu saya dah reda dengan suratan takdir.

"Bila sampai, memang tepat tekaan saya. Jenazah arwah tenang dan wajahnya seolah-olah tersenyum saja. Selepas selesai ujian calitan (swab), post mortem dibuat untuk mengetahui punca kematian, dan ia adalah kerana serangan jantung," ceritanya.

Bercerita lebih lanjut, Azlina berkata arwah merupakan seorang ayah yang penyayang dan suami yang sangat bertanggungjawab.

Tiba-tiba masa nak ambil sesuatu, arwah terus tersungkur macam bersujud. Selepas tarik nafas terakhir, dia kaku.

AZLINA MUHAMMAD

ISTERI

"Ingat lagi puasa baru-baru ni. Sebulan dia bercuti 'turun laut' dan bantu saya berniaga buat kuih akok dan ketupat palas. Alhamdulillah rezeki murah masa bulan puasa.

"Cuma saya ingat, masa raya baru-baru ni, kami tak ambil pun gambar sekeluarga... tak tahu kenapa. Padahal tahun-tahun sebelum ni ada bergambar.

"Kemudian, anak bongsu baru-baru ni tiba-tiba cakap 'umi sedapnya bau wangi'. Bau itu seolah-olah daripada pintu depan," ceritanya.

Tidak menyangka video yang dimuat naik oleh anak keduanya menjadi tular, Azlina berkata dia terharu dengan sokongan serta doa yang dititipkan oleh netizen buat arwah suami serta keluarganya.



Gambar kenangan Azlina (kanan) bersama arwah suami dan keluarganya.

"Masa baru-baru tu, memang saya rasa kosong sangat. Tapi bila lihat anak-anak, perlahan-lahan semangat saya jadi kuat. Begitu juga dengan sokongan netizen... saya terharu sangat.

"Bukan sahaja beri kata semangat, malah mereka mendoakan untuk arwah di sana. Tak lupa juga insan di sekeliling keluarga kami. Baik saudara, rakan mahupun jiran, semua tak lupakan kami. Syukur sangat-sangat," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain