suria

Enam bulan terpisah, cucu usia setahun asyik melekat dengan atuk... rupa-rupanya ayahtok dan mamatok pun ‘meroyan’ sebab dah lama tinggal berdua je!

Lisa tidak mahu melepaskan datuknya ketika kali pertama bertemu selepas enam bulan terpisah.

SEJAK kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula 11 Oktober lalu, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman bagi melepaskan rindu kepada ibu bapa dan keluarga.

Jika ditelusuri di media sosial, rata-rata warganet membuat perkongsian mengenai momen pertemuan bersama keluarga masing-masing.

Baru-baru ini, perkongsian satu video di aplikasi TikTok yang memaparkan gelagat seorang anak kecil 'melekat' dengan datuknya, benar-benar menyentuh jiwa netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Sabar ajelah! Selalu kacau si kembar baru tidur, ‘culik’ bawa balik rumah... anak layankan saja perangai atuk nakal suka sakat cucu

ARTIKEL BERKAITAN: Gigih layan cucu rakam video, nenek sporting tak sedar rupa-rupanya kena prank... siap suruh rakam semula sebab tak pakai tudung elok-elok

Sehingga kini video berkenaan meraih melebihi 39,500 jumlah tontonan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Shafikha Mohd Saari berkata anak keduanya, Lisa Sofea yang kini berusia setahun, sememangnya terlalu rapat dengan kedua ibu bapanya yang dipanggil mamatok dan ayahtok sejak masih bayi.

"Video yang dimuat naik itu adalah pertemuan pertama kami bersama ibu bapa selepas kira-kira enam bulan tak berjumpa. Kiranya sejak Lisa masih belum pandai berjalan dan hingga sekarang dia dah pandai berjalan pun.

"Saya, suami dan anak-anak menetap satu negeri dengan ibu bapa tapi lain daerah. Kami di Segamat manakala ibu bapa di Kulai... memandangkan Johor ada sekatan rentas daerah, kiranya enam bulan juga tak berjumpa.

"Walaupun terpisah, anak-anak saya sering buat videocall dengan ayahtok dan mamatok mereka. Waktu pertama kali jumpa selepas enam bulan, Lisa terus je melekat dengan ayahtok dia sepanjang dekat kedai makan tu.

cucu baru 2

Foto ketika Lisa enam bulan lalu bersama datuknya, Mohd Saari Abu Bakar.

"Seolah-olah melepaskan rindu yang terpendam. Orang lain nak dukung pun dia tak nak," cerita wanita berusia 31 tahun ini.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata ini, setiap kali membuat panggilan video, ibu dan bapanya sering meluahkan rasa rindu kepada anak-anak dan cucu-cucunya yang tinggal berjauhan.

"Ibu bapa tinggal berdua sahaja dekat Kulai... memang 'meroyan' rindukan anak cucu. Setiap kali call mesti cakap I love you, I miss you, lebih-lebih lagi dengan anak sulung saya yang dah pandai bercakap.

cucu baru 1

Shafikha bersama keluarga kecilnya.

"Sebenarnya, ramai adik beradik saya tinggal jauh seperti di Kuala Lumpur. InsyaAllah hujung minggu ni barulah ramai yang pulang dan dapat berkumpul bersama," katanya yang juga peniaga dalam talian.

Di sebalik sikap penyayang sebagaimana yang dapat dilihat di video berkenaan, Shafikha berkata bapanya, Mohd Saari Abu Bakar, 61, sebenarnya seorang yang tegas dan garang.

"Ingat lagi dulu waktu kecil-kecil, memang tak berani lebih-lebih lagi bila ayah marah. Dia tak pernah merotan tapi kalau dia menegur, memang garang.

"Ayah adalah pesara kastam. Tapi bila bab cucu ni, memang automatik jadi lembut," cerita Shafika yang merupakan anak keempat daripada enam adik beradik.

Seolah-olah melepaskan rindu yang terpendam. Orang lain nak dukung pun dia tak nak.

SHAFIKHA MOHD SAARI

Tambahnya, video tersebut dimuat naik di TikTok kerana mahu mengabadikan momen indah bersama keluarga dan dalam masa yang sama menunjukkan kasih sayang antara seorang datuk dengan cucunya.

"Ramai yang cakap mata masuk habuk, tersentuh dan sebagainya bila tonton video tu.

cucu baru 3

Keluarga besar Shafikha berkumpul ketika 2019.

"Paling saya terkesan bila baca komen yang beritahu mereka tak sempat nak jumpa ibu bapa atau datuk nenek kerana ada yang sudah meninggal dunia ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Memang saya tak sangka langsung video ini jadi perhatian. Apa yang boleh saya kongsikan, ambillah peluang dan masa yang ada ini untuk cipta kenangan dengan keluarga tersayang," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain