suria

Gigih layan cucu rakam video, nenek sporting tak sedar rupa-rupanya kena prank... siap suruh rakam semula sebab tak pakai tudung elok-elok

Gelagat nenek Aliff yang sporting melayan karenah cucunya mencuit hati netizen.

"COMELNYA nenek melayan... ini mesti cucu kesayangan"

Demikian antara komen netizen terhadap satu video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, memaparkan gelagat seorang nenek yang sabar melayan cucunya merakam video.

Menerusi video berkenaan, kelihatan nenek tersebut membantu memegang telefon bimbit ketika cucunya sedang menari, sedangkan hakikatnya warga tua berkenaan menjadi mangsa 'prank' remaja berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hajat hati nak buat prank je, tak sangka mak ambil serius video tugasan anak - “Kau apasal cakap bohong, mama tak nak lah”

ARTIKEL BERKAITAN: Giliran mak pula buat prank anak! Reaksi jujur si cilik mencebik kantoikan ibu, buat ramai pecah perut - “Kalau tidur je mulut dia diam”`

Tanpa disedari, video yang dirakam bukanlah aksi cucunya sebaliknya wajahnya sendiri!

Sehingga kini video berkenaan meraih lebih daripada 254,000 jumlah tontonan selain dibanjiri dengan ribuan komen netizen yang terhibur dengan gelagat 'comel' warga emas tersebut.

Berkongsi cerita dengan mStar, remaja bernama Aliff Aizuddin Edison berkata video bersama neneknya itu dirakam secara spontan kerana mahu meniru seperti video yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok.

"TikToker itu buat dengan ibu dia, tapi saya dah tiada ibu jadi buat dengan nenek sajalah. Nenek dah berusia 82 tahun dan dia memang tak tahu bab-bab media sosial atau gajet ni.

"Bila saya ajak nenek kononnya untuk bantu tolong pegangkan telefon bimbit, dia layankan saja. Saya pun muat naik tanpa niat apa-apa, sekadar santai-santai saja. Tak sangka video tu viral dan sampai beribu komen kebanyakannya puji nenek.

nenek baru 1

Aliff dipelihara oleh neneknya sejak dia berusia lima tahun.

"Bila saya tunjuk dekat dia video tersebut, dia hairan kenapa ada wajah dia dan bukannya saya yang sedang menari. Lepas tu terus dia suruh saya rakam semula wajah dia sebab tak pakai tudung elok-elok. Nenek segan bila ramai puji dia comel," kata remaja berusia 18 tahun ini.

Bercerita lebih lanjut, remaja yang senang disapa sebagai Aliff berkata dia sememangnya rapat dengan neneknya, Zaharah Zainuddin, kerana sejak kecil dipelihara oleh wanita berkenaan.

"Arwah ibu saya dulu menghidap kanser payudara. Sepanjang ibu sakit, neneklah yang jaga ibu dan juga jaga saya yang sangat kecil waktu tu... abang dan kakak pula di asrama.

"Ketika ibu dah kritikal, dia pesan minta nenek tolong jagakan saya sekiranya apa-apa berlaku kepadanya. Ibu menghembuskan nafas terakhir ketika saya berusia lima tahun.

nenek baru 2

Aliff bersama keluarga kecil kakaknya.

"Sejak itulah saya dijaga oleh nenek hinggalah saya berusia 15 tahun, kerana selepas itu saya dijaga pula oleh kakak yang dah berkahwin. Kami tinggal di rumah pusakan arwah ibu, manakala nenek pula tinggal di rumahnya yang terletak bertentangan.

"Tapi setiap pagi sebelum bekerja tolong ayah, saya mesti ke rumah nenek cari dia dulu. Mesti dia akan siapkan roti bakar atau roti telur serta air panas untuk bersarapan bersama," katanya yang menetap di Kampung Batu Kapur, Mentakab, Pahang.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Cerita anak bongsu daripada lima beradik ini lagi, dia bersyukur kerana neneknya dikurniakan kesihatan dan tubuh badannya masih bertenaga biarpun sudah melewati usia lapan dekad.

"Nenek boleh dikatakan orang kedua yang tertua di kampung kami. Alhamdulillah walaupun dah lebih 80 tahun usianya, kudratnya masih ada. Selain ingatannya masih baik, nenek masih mampu memasak dan buat kerja-kerja di sekeliling rumah. Pendek kata tak duduk diam," katanya.

Setiap pagi sebelum bekerja tolong ayah, saya mesti ke rumah nenek cari dia dulu.

ALIFF

Tidak menyangka perkongsiannya tular, Aliff berkata dia terharu kerana mendapat reaksi positif daripada netizen malah ramai yang turut mendoakan kesihatan neneknya.

"Saya tak ada niat apa-apa pun... sekadar nak kongsi video santai-santai. Alhamdulillah ramai yang terhibur dan suka pula. Tapi sedih pula bila ada yang kata saya beruntung kerana masih ada nenek.

nenek baru 3

Keluarga besar Aliff.

"Ada juga yang rindu sebab dah lama tak ziarah nenek mereka dekat kampung. Ada pula yang tak sempat rapat sebab nenek mereka dah meninggal dunia. Dan ada juga request saya buat lagi video dengan nenek.

"Terima kasih tak terhingga pada yang doakan nenek. InsyaAllah selepas ini saya cuba kongsi video-video dengan nenek di TikTok... mana tahu, sedikit sebanyak boleh ubati kerinduan masing-masing," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
prank nenek, nenek comel, video TikTok,

Artikel Lain