suria

Hajat hati nak buat prank je, tak sangka mak ambil serius video tugasan anak - “Kau apasal cakap bohong, mama tak nak lah”

Video Ilham menyakat ibunya meraih melebihi 370,000 tontonan di TikTok.

BERPURA-PURA perlu menyiapkan tugasan (assignment) universiti, video gelagat seorang pemuda yang menyakat ibunya meraih perhatian ramai di aplikasi TikTok.

Menerusi video tersebut, pemuda itu memberitahu ibunya bahawa tugasan berkenaan mewajibkan setiap pelajar menceritakan rutin harian mereka sepanjang berada di rumah, dengan disaksikan ibu masing-masing.

Reaksi ibu pemuda tersebut yang geram kerana anaknya tidak berlaku jujur dan lebih banyak menipu ketika membuat 'tugasan' berkenaan, benar-benar mencuit hati netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Buat prank kena pukul tapi pemuda terkejut sendiri, ayah tak buang masa terus call selepas terima mesej ‘gurauan bodoh’ – “Tak sempat saya sambung”

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh! Prank tersandung ketika bawa kek hari jadi, ibu paling cuak gara-gara gelagat 3 anak teruna – “Ayah kata kek hancur boleh beli lagi”

"Kau apasal cakap bohong... mama tak nak lah. Konon memasak... Buat assignment kenapa nak kena tipu? Memang lawak lah bangun pagi kau masak. Semua kerja rumah kau buat, habis mama buat apa?," demikian antara kata-kata si ibu yang duduk bersebelahan dengan pemuda berkenaan.

Sehingga kini video berkenaan meraih lebih 330,000 jumlah tontonan selain dibanjiri dengan komen netizen yang rata-ratanya terhibur dengan gelagat dua beranak itu.

Menurut pemuda bernama Muhammad Ilham Ibrahim, idea untuk menyakat ibunya, Rosnah Ghazali, 50, tercetus selepas dia melihat satu video serupa di TikTok di mana seorang gadis mengenakan ibunya.



Muhammad Ilham menyifatkan ibunya sebagai seorang yang tegas namun penyayang.

"Saya terfikir menarik juga idea tu dan nak cuba. Masa tu dah pukul 11.30 malam, kami sekeluarga tengah bersantai tengok televisyen dan saya beritahu mama, saya kena buat tugasan itu dan dia kena ada sekali dalam video.

"Saya beritahu tugasan tu last minute dan perlu hantar sebelum pukul 12 tengah malam. Kelam kabut mama tanya nak pakai baju apa dan sebagainya. Itu yang dalam video tu mama sarung blazer saja. Mujur mama sporting dan tak syak apa-apa," cerita pemuda yang merupakan penuntut Diploma Muzik di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ini.

Menurut Muhammad Ilham atau senang disapa sebagai Alam, dia sendiri tidak dapat menahan rasa geli hati sebelum rakaman dimulakan, namun sedaya upaya mengawalnya bimbang rancangannya 'terkantoi'.

Bila dah last-last, tak sanggup tengok mama ditipu, saya beritahu itu prank je dan ia untuk video TikTok.... lagilah dia geram.

MUHAMMAD ILHAM

"Masa mama tengah siap-siap pakai blazer, saya dah tarik nafas panjang-panjang... dalam hati berkata 'janganlah tergelak'. Tapi sebaik sahaja mula bercakap, saya buat-buat macam biasa.

"Hinggalah bila part saya kata 'setiap pagi saya akan memasak sarapan untuk keluarga', muka mama dah berubah sebab sedar saya cakap bohong. Terus dia 'sound' time tu juga.

"Tapi rakaman diteruskan dan saya berbohong lagi kononnya saya kemas rumah, gosok baju, bersihkan sangkar kucing, tolong mama di butik. Memang mama geram je. Dia marah kenapa saya perlu menipu untuk siapkan tugasan.

"Bila dah last-last, tak sanggup tengok mama ditipu, saya beritahu itu prank je dan ia untuk video TikTok.... lagilah dia geram," cerita Alam mengimbas kembali detik lucu tersebut.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Bercerita mengenai perwatakan ibunya, Alam menyifatkan wanita tersebut sebagai seorang yang sangat tegas, berdikari, serba boleh dan sangat penyayang.



Muhammad Ilham dan keluarganya menetap di Seremban, Negeri Sembilan.

"Macam mana orang lihat mama dalam video tu, macam itulah perwatakannya di luar," cerita pemuda berusia 19 tahun ini sambil menambah, ibunya merupakan pemilik sebuah butik di Seremban, Negeri Sembilan.

Tambah Alam, dia sememangnya gemar merakam foto dan video terutamanya dengan keluarga dan rakan-rakan kerana mahu menyimpannya sebagai kenangan.

"Dalam galeri telefon saya ni, penuh dengan foto dan video keluarga dan kawan-kawan. Saya suka rakam untuk dijadikan kenangan.

"Untuk kawan-kawan dekat luar sana, rakamlah detik-detik dengan orang yang kita sayang for the sake of memories. Percayalah, ia akan bermanfaat pada masa depan. Masa inilah kita nak cipta memori selagi masih ada bersama-sama," katanya mengakhiri bicara.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain