suria

Cuba tepis kritikan kahwin muda, ada sesuatu berlaku buat rider terus rancang kejutan buat isteri... siapa sangka sampai menitis air mata!

Isteri Rauf (kanan) menitiskan air mata selepas menerima kejutan pada Khamis lalu.

NETIZEN ternyata sebak menyaksikan satu video memaparkan kejutan oleh seorang rider penghantar makanan buat isterinya.

Dalam video itu, Abdul Rauf Adzli Khalid menghadiahkan telefon bimbit baharu buat isterinya, Siti Hajar Mohd Noor pada Khamis lalu.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Rauf mengakui sudah lama merancang kejutan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dalam perjalanan hantar order, rider nak menitis air mata baca notifikasi di telefon... terus berhenti tepi

ARTIKEL BERKAITAN: Berlapar hantar makanan, pemberian pelanggan Cina buat rider GrabFood ini nak menangis

"Sebenarnya isteri guna telefon lama saya. Saya hadiahkan ketika kami bercinta dulu. Dah kahwin setahun lebih pun dia masih guna sampai sekarang.

"Saya kesian tengok telefon tu sudah hampir rosak, sampai dia pernah campak kerana stres. Dia guru taska, sukar dia nak guna untuk bekerja dari rumah.

"Saya dah lama plan dan kumpul wang. Akhirnya duit cukup saya beli dan buat kejutan untuknya," ujar Rauf.

Rauf dan isteri mendirikan rumah tangga pada Mac tahun lalu.

Ujar bapa kepada seorang cahaya mata berusia enam bulan itu, dia sebak apabila isterinya menitiskan air mata selepas menerima pemberian itu.

"Ya Allah, masa tu hanya Allah yang tahu bagaimana peraaan saya. Saya nampak dia sangat gembira.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Dia menitis air mata, saya sangat terharu. Saya kongsikan video di TikTok untuk simpan sebagai kenangan.

"Tak sangka viral. Saya sampai menitis air mata baca komen doa-doa netizen untuk kami," ujarnya yang menetap di Kajang.

Bagaimana nak tanggung anak? Saya percaya dengan rezeki Allah, Alhamdulillah kami sekeluarga cukup makan.

RAUF

Bercerita mengenai dirinya, Rauf dan isteri, masing-masing berusia 23 tahun merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Al-Quran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

Mereka berkenalan ketika sedang menjalani pengajian peringkat Asasi ketika berusia 18 tahun sebelum mendirikan rumah tangga pada 21 Mac tahun lepas.

Ujarnya, dia juga tidak terlepas menerima persepsi yang kurang enak mengenai perkahwinan usia muda.

"Ia benda normal, kami kahwin selepas tamatkan pengajian ijazah. Ramai yang tanya, bagaimana nak sara isteri.

Rauf sekeluarga menetap di Kajang.

"Masa isteri hamil pun saya ada dengar kata-kata kurang enak. Bagaimana nak tanggung anak? Saya percaya dengan rezeki Allah, Alhamdulillah kami sekeluarga cukup makan.

"Saya pun masih mencari kerja yang lebih baik. Cuma belum sampai rezeki. Nasihat saya kepada yang nak kahwin muda, kita kena banyak tawakal.

"Yang penting kena bijak urus kewangan dan ada simpanan," ujarnya mengakhiri bicara.

Untuk rekod, video kejutan telefon baharu itu meraih hampir 200,000 tontonan di TikTok.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain