suria

Buat prank kena pukul tapi pemuda terkejut sendiri, ayah tak buang masa terus call selepas terima mesej ‘gurauan bodoh’ – “Tak sempat saya sambung”

Nabiq (kiri) mendapat perhatian selepas membuat video mengenai prank terhadap keluarganya. Gambar tengah menunjukkan filter kesan lebam, sebelum menerima panggilan daripada bapanya (kanan).

NIAT seorang pemuda membuat guruauan atau prank dengan keluarganya, bertukar cemas apabila menerima panggilan mengejut daripadanya bapanya.

Semuanya gara-gara perkongsian sekeping foto wajahnya yang telah disunting menggunakan aplikasi filter, hingga menampakkan sebelah matanya mempunyai kesan lebam, menerusi aplikasi grup WhatsApp.

"Papa, mama.... Nabiq kena pukul," tulisnya menerusi grup WhatsApp tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: "Rupa-rupanya saya terkena balik" - Hasrat nak prank ayah tak menjadi, atlet terkedu dapat jawapan selepas luah hajat nak kahwin

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara 'gatal sangat', kakak gelabah saksi garfu tembus lidah adik - "Dah kena tegur dengan mak sebab bahaya"

Pemuda berkenaan, Wan Nabiq Nukman Wan Ahmad Amri berkata, dia membuat prank tersebut pada Sabtu lalu dengan niat sekadar untuk bergurau.



Foto yang dihantar oleh Nabiq di grup WhatsApp keluarga.

Anak muda berusia 20 tahun itu bagaimanapun tidak menyangka menerima panggilan daripada bapanya hanya beberapa saat selepas foto tersebut dihantar.

"Sebenarnya saya rancang untuk tulis banyak lagi di grup WhatsApp bagi nampak lebih kejutan dan saspens. Antaranya nak beritahu yang saya kena pukul dengan kawan.

"Tapi tak sempat saya sambung, ayah dah call dulu selepas beberapa saat. Saya yang buat prank, tapi saya yang terkejut. Ayah beri salam dan tanya apa dah jadi dengan saya," katanya kepada mStar.

Lebih mesra disapa Nabiq, katanya, suara bapanya yang berusia 50an itu kedengaran begitu serius sewaktu dia menjawab panggilan mengejut berkenaan.

"Saya beritahu ayah bahawa ia sekadar prank dan foto lebam tu hanyalah filter. Ayah macam tak percaya, siap tanya lagi muka tu nampak bengkak, dan saya jawablah itu sebab guna filter.

"Bila dah jelaskan kat ayah, barulah suara ayah kedengaran sedikit lega. Saya cepat-cepat minta maaf dan rasa bersalah pula," ujarnya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.



Nabiq (kanan) bersama rakan-rakan di Politeknik Dungun.

Ketika membuat gurauan itu, Nabiq berkata, dia berada di rumah sewa di Dungun, Terengganu bagi menyambung semester baharu di Politeknik Dungun.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, sejurus selepas itu, bapanya menghantar mesej di grup WhatsApp memaklumkan agar tidak mengulangi 'gurauan bodoh' itu.

"Terkejut bila ayah tegur, rasa nervous. Tapi memang salah saya, memang takkan buat gurauan macam tu lagi," katanya sambil menambah pertama kali membuat gurauan sedemikian terhadap keluarganya.

Reaksi spontan ayah selepas saya buat prank tu lagi menyerlahkan ayah seorang yang caring

WAN NABIQ NUKMAN WAN AHMAD AMRI

Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) itu menyifatkan bapanya yang bertugas sebagai guru itu sebagai seorang yang bertanggungjawab dan tegas.

"Ayah sebenarnya seorang yang penyayang walaupun kadang-kadang garang orangnya. Biasanya ayah garang bila anak-anak dia ada buat masalah.

"Tapi ayah suka 'back up' saya bila kena marah dengan mak. Reaksi spontan ayah selepas saya buat prank tu lagi menyerlahkan ayah seorang yang caring," katanya.



Reaksi bapa Nabiq sejurus menamatkan panggilan telefon.

Susulan kejadian itu, Nabiq menjadikannya sebagai pengajaran supaya lebih menghargai dan menghormati ibu bapanya.

"Syukur mak ayah saya mengambil berat tentang diri saya. Kepada mereka yang masih ada ibu bapa tu, hargailah mereka sebaik-baiknya.

"Mak ayah kita caring sebenarnya, tapi mereka mungkin tak tunjuk depan-depan kita," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain