suria

Selamat pengantin baru! Edit kad kahwin sendiri konon nak prank kawan-kawan, tapi si gadis yang dapat kejutan - “Bagus juga idea tu sebenarnya”

Melisa tak sangka video prank kad undangan itu tular di TikTok.

HUBUNGAN persahabatan pastinya lebih manis apabila disulami dengan gurau senda dan gelak tawa.

Malah, ada yang bertindak ekstrem sehingga membuat prank kepada rakan-rakan sendiri.

Terbaharu, tular video di TikTok apabila seorang remaja perempuan membuat prank kad undangan perkahwinan kepada rakan-rakan baiknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jemput kahwin guna video memang rare!

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan pengantin Instafamous ‘jalan terus’, tak kisah cakap negatif kahwin muda - “Inilah jodoh saya, rezeki awal untuk halalkan dia”

Menurut Balqis Nurlisa Noor Adzrin, 16, idea itu datang dengan sendiri dan dia tidak menyangka bakal menerima reaksi berbeza-beza.

"Tiba-tiba je idea tu sampai. Saya sekadar edit menggunakan aplikasi dalam telefon. Kemudian saya hantar kepada kawan-kawan.

"Ada yang tak percaya, ada juga percaya yang kononnya saya akan berkahwin. Mereka kata ia nampak realistik. Yang gelak pun ramai.

Melisa tak sangka video itu meraih sehingga lebih 300,000 tontonan.

"Selain itu, saya turut kongsikan video tutorial edit kad kahwin tu ke TikTok," ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Melisa, pelajar yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan itu mengakui terkejut video berkenaan meraih lebih 300,000 tontonan dalam tempoh kurang 24 jam.

Tambah Melisa, dia yang sukar percaya dengan sambutan luar biasa netizen turut berkongsi dengan keluarganya mengenai hal itu.

Dia kata dia tengok video saya di TikTok dan dia mahu tempah kad kahwin dengan saya.

MELISA

"Saya terkejut sebab tak sangka. Dalam 20 minit dah 12,000 tontonan. Kemudian dah lebih 300,000 sekarang.

"Keluarga pun dah tahu, saya ada maklumkan kepada mereka. Semua OK je, masing-masing terhibur.

"Tapi saya pun tak terfikir andai kata kawan dah tak percaya gara-gara prank ini. OK je rasanya, semua terhibur," kata Melisa lagi.

Antara individu yang menghubungi Melisa untuk tempahan kad kahwin.

Malah katanya, dia juga tidak menerima sebarang komen negatif di platform video popular itu.

Di sebalik prank tular itu, siapa sangka ia turut membuka pintu rezeki buat gadis ini.

Namun katanya, dia bukalah menolak rezeki sebaliknya belum bersedia untuk menerima sebarang permintaan dan tempahan.

"Selepas viral, ada wanita-wanita yang juga bakal pengantin yang menghubungi saya.

Melisa belum bersedia menerima tempahan kerana suntingan kad itu dilakukan secara suka-suka sahaja.

"Mereka kata ternampak video saya di TikTok dan mahu tempah kad kahwin dengan saya. Nak minta saya design.

"Saya rasa gembira, kagum, bersyukur. Selepas dia mesej, saya terfikir... bagus juga idea tu sebenarnya.

"Ia bagaikan pembakar semangat untuk saya. Tapi saya tolak tempahan itu secara baik, saya belum bersedia.

"Mungkin suatu masa nanti saya boleh gunakan kemahiran ini sebagai sumber pendapatan. Sekarang saya belum yakin, masih baru lagi," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain