suria

Jurulatih pemandu lokomotif maut di Bangkok, sahabat setia sanggup tunggu berjam-jam di KLIA hanya ada satu permintaan - "Dapat pegang keranda pun jadilah”

Sahabat-sahabat Allahyarham memegang keranda di van jenazah. foto FB Skuad Pengurusan Jenazah - SPJ Malaysia

APABILA seseorang itu berbuat baik dengan orang, dirinya akan menjadi orang yang disenangi.

Pemergiannya bukan sahaja ditangisi keluarga dan sanak-saudara, malah sahabat handai kerana kebaikan arwah semasa hayatnya.

Begitulah yang berlaku terhadap seorang lelaki berusia 45 tahun yang dijemput Ilahi akibat sakit jantung.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah urus beratus jenazah, kali ini situasinya luar biasa! Anggota pengurusan terkejut lihat 'babak' isteri cium, bisik di kaki jenazah suami

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki hidup sebatang kara maut jatuh bangunan, kehadiran juruteknik tak berduit bantu urus pengebumiannya buat team urus jenazah kagum

Menerusi satu perkongsian di halaman Facebook Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Allahyarham yang berkhidmat sebagai pemandu lokomotif telah dihantar ke Bangkok, Thailand untuk menjadi jurulatih pemandu lokomotif, selama dua tahun.



Jenazah yang tiba di KLIA dari Bangkok, Thailand untuk dikebumikan.

Mengulas lanjut, Allahyarham meninggal dunia pada 5 Mac, namun jenazah baru dapat diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di ibu negara Thailand itu, pada Khamis lalu berikutan perlu melalui beberapa prosedur.

"Jenazah selamat tiba di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9 malam 11 Mac (Khamis).

"Alhamdulillah skuad kami selamat tiba di Masjid Tanah Merah, Kelantan pukul 9 pagi 12 Mac menghantar jenazah seorang lelaki yang meninggal dunia di Bangkok," katanya di Facebook SPJM.

SubhanAllah, sungguh akrab persahabatan mereka sehingga kami rasa terharu dengan pengorbanan mereka

SKUAD PENGURUSAN JENAZAH MALAYSIA (SPJM)

SPJM berkata, Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak, di mana anak sulungnya sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bongsu berusia enam tahun.

Menurutnya, suasana di pintu masuk MASkargo ternyata berbeza pada malam tersebut, apabila ramai yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir.

"Ramai sahabat arwah yang setia menunggu di pintu masuk MASkargo untuk melihat arwah buat kali terakhir.

"Kami tidak dapat memenuhi permintaan mereka kerana tiada tempat yang sesuai untuk kami membuka keranda yang masih berbungkus dan dipaku," katanya.



Pengurusan jenazah di Masjid Ismail Petra, Tanah Merah di Kelantan.

Bagaimanapun, kata SPJM, sahabat-sahabat Allahyarham memohon kebenaran kepada skuad untuk sekadar memegang keranda bagi memberi penghormatan terakhir.

"Boleh tak kami nak pegang keranda arwah pun jadilah," kata SPJM memetik kata-kata yang disampaikan oleh sahabat-sahabat arwah.

Kesediaan dan kesanggupan mereka menunggu ketibaan jenazah selama berjam-jam itu membuatkan anggota SPJM yang berada di lokasi kejadian terharu dengan situasi itu.

"SubhanAllah, sungguh akrab persahabatan mereka sehingga kami rasa terharu dengan pengorbanan mereka dari petang hingga tengah malam menunggu untuk memberi penghormatan terakhir walaupun hanya sekadar memegang keranda sahabatnya sahaja.

"Setelah urusan tuntutan jenazah di KLIA selesai kira-kira pukul 12 tengah malam, skuad kami terus menuju ke Tanah Merah, Kelantan menghantar jenazah untuk tatapan terakhir oleh ahli keluarga dan disemadikan.

"Semoga roh almarhum ditempatkan dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh. Amin," kata SPJM.

Jenazah yang diuruskan di Masjid Ismail Petra di Tanah Merah, selamat dikebumikan pada Jumaat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain