suria

Lelaki hidup sebatang kara maut jatuh bangunan, kehadiran juruteknik tak berduit bantu urus pengebumiannya buat team urus jenazah kagum

Urusan pengebumian seorang lelaki yang dikatakan terjatuh daripada tingkat 17 sebuah pangsapuri. Foto Facebook Muhammad Rafieudin Zainal Rasid

MALANG tidak berbau dan sudah suratan takdir, maka seorang lelaki menemui ajalnya.

Dia meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat 17 di sebuah pangsapuri kos rendah di Batu Muda di Kuala Lumpur, beberapa hari lalu.

Menerusi satu perkongsian di halaman Facebook Muhammad Rafieudin Zainal Rasid, lelaki berusia 51 tahun itu meninggal dunia ketika melakukan kerja-kerja berkaitan perkhidmatan penyaman udara.

ARTIKEL BERKAITAN: Treler terbabas jam 4 pagi, skuad pengurusan jenazah kongsi kisah lelaki India cuak dibawa ke tepi keranda - "Van ni ada mayat ke?"

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki urus 3 jenazah, punca kematian berbeza tapi semuanya tersenyum! Ustaz tercari-cari jawapan wajah tenang berdepan maut

"Arwah dikatakan sedang menjalankan perkhidmatan di salah sebuah unit di tingkat berkenaan sebelum tergelincir dan jatuh ke bawah serta mati di tempat kejadian serta-merta.

"Jenazahnya dibawa oleh anggota polis ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat," katanya.



Persiapan sebelum mengkafankan jenazah.

Muhammad Rafieudin yang juga Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJ Malaysia) berkata, arwah juga dikatakan tidak mempunyai waris dan tinggal sebatang kara selama lebih 30 tahun sejak berpisah dengan bekas isterinya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie bagaimanapun berkata, arwah mempunyai seorang sahabat yang tampil untuk membantu menguruskan pengebumiannya.

Sahabat arwah ingin juga membayar sedikit daripada kos pengebumian kerana merasakan ia adalah satu tanggungjawab dirinya.

USTAZ RAFIE

"Mujur arwah mempunyai seorang sahabat yang menganggap dirinya sebagai ayah angkat yang sentiasa mengambil berat tentangnya.

"Sahabat arwah itulah yang bertungkus-lumus memastikan urusan jenazah diselesaikan dengan sempurna walaupun di antara mereka tiada pertalian darah," tambahnya.



Jenazah siap dikafankan untuk dikebumikan.

Menurut Ustaz Rafie, sahabat allahyarham bekerja sendiri sebagai juruteknik elektrik, namun pendapatannya terjejas kerana sukar mendapat pekerjaan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keadaan itu membuatkan sahabat arwah tidak mampu menyediakan bayaran sebanyak RM2,500 sebagaimana yang diminta oleh sebuah syarikat pengurusan jenazah swasta.

"Kami menawarkan perkhidmatan percuma dan kos tanah kubur juga akan ditanggung SPJ Malaysia kerana arwah bukan di bawah tanggungjawab sahabatnya.

"Namun sahabat arwah ingin juga membayar sedikit daripada kos pengebumian kerana merasakan ia adalah satu tanggungjawab dirinya kepada arwah ayah angkatnya itu. Subhanallah," katanya.



Pengebumian jenazah diuruskan oleh SPJ Malaysia.

Tambah Ustaz Rafie, sahabat arwah berjaya mendapatkan bantuan dengan membuat pinjaman darioada kawan-kawannya bagi menampung kos pengebumian arwah.

"Allahuakbar. Inilah satu bukti kesetiaan sahabat sejati. Sanggup berkorban apa saja demi sahabatnya yang dikasihi.

"Semoga Allah SWT merahmati pengorbanan sahabatnya ini dan semoga almarhum ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Amin," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain