Jemput kahwin guna video memang rare!

Foto ihsan Shakirah.

PETALING JAYA: Kad undangan perkahwinan sememangnya penting bagi menghebahkan tarikh dan lokasi berlangsungnya majlis penyatuan dua hati yang baru melayari bahtera alam rumah tangga.

Terdapat pelbagai pilihan rekaan kad kahwin yang terkini dan unik pada era digital ketika ini.

Kad undangan konvensional sudah biasa kita dengar tetapi jemputan kahwin menerusi video adalah sesuatu yang rare!

Terbaharu, sebuah video undangan kahwin bakal pengantin berdurasi 59 saat tular di media sosial kerana disifatkan ada stail dan berkonsep segar.

Video itu memaparkan pasangan Shakirah Shaharuddin dan Syah Hamizan Mat Darus seakan-akan mengutip cebisan kad undangan kahwin tersebut yang berterbangan di udara.

Cebisan kad tersebut akhirnya dicantumkan sehingga membentuk sekeping kad undangan ke majlis perkahwinan pasangan tersebut yang akan diijab kabul pada pagi Sabtu.

Shakirah, 25, ketika dihubungi mStar Online tidak menduga video undangan kahwin tersebut menjadi perhatian netizen.

"Agak terkejut sebab tiba-tiba ramai kawan retweet dan sebut dekat Twitter. Saya juga tak sangka boleh sampai beratus-ratus orang retweet," katanya.

Menurut gadis yang bekerja sebagai pembantu cukai peribadi di sebuah syarikat multinasional itu, konsep asal video tersebut merupakan cetusan idea juruvideo untuk majlis perkahwinan mereka, Nasrullah Mohamad Napi.

Gambar di sebalik tabir proses penggambaran video tersebut. Foto ihsan Shakirah

"Semuanya idea juruvideo dan ia diberikan percuma kerana kami ambil pakej penuh videografi perkahwinan dengannya.

"Pada awalnya kami tak yakin dengan hasil video itu. Namun apabila dah siap, kami amat berpuas hati dan sejujurnya video tu memang kreatif," katanya.

Shakirah berkata video undangan kahwin itu sudah dihantar kepada beberapa teman rapat dan saudara mara terdekat.

"Mereka semua kata cantik, sesuatu yang baharu dan menarik. Mereka siap tengok ulang-ulang dan tanya macam mana proses video itu diambil.

"Saya juga akan memuat naik video itu di media sosial sekiranya ada yang saya terlepas pandang nak jemput untuk datang meraikan hari bahagia kami," katanya.

Shakirah berpendapat jemputan kahwin menerusi video adalah kaedah baharu yang mudah dan cepat digunakan pada zaman serba moden hari ini.

"Zaman sekarang memang orang dah pakai media sosial, jadi saya rasa tak jadi masalah kalau nak jemput tetamu menggunakan video.

"Saya fikir video mampu tarik perhatian, kita tengok pun seronok dan sesuatu yang lain daripada kebiasaannya," kata Shakirah.

Bagaimanapun Shakirah menganggap kad kahwin konvensional masih lagi relevan pada hari ini.

"Saya masih lagi hantar kad kahwin seperti biasa kerana ada yang prefer nak simpan hardcopy sebagai kenangan.

"Jemputan secara soft copy pun saya hantar. Semuanya pilihan masing-masing. Kalau ada orang jemput saya guna video macam tu pun saya suka," katanya.

Sementara itu, Nasrullah yang juga juruvideo @jumpermotion berkata dia mengambil masa selama empat hari untuk menyiapkan video jemputan kahwin itu.

"Proses penggambaran memakan masa selama sejam. Selalunya saya dapat yang susah nak mengarah tapi pasangan ini senang bagi kerjasama... mungkin mereka ada bakat semula jadi," katanya dalam nada berseloroh.

Penggambaran tersebut dilakukan di Wetland Island, Setia Alam pada 5 Ogos lalu.

Sejak dimuat naik pada 11 Ogos lalu, video tersebut mendapat lebih 10,000 tontonan di Twitter.

kahwin, video

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Semua saman AES dibatalkan

Artikel Berkaitan

Artikel Lain