suria

Guru Sejarah berdebar setiap kali PdPR, ibarat tunggu jodoh... apa dah jadi sampai kena pasang lagu Korea?

Foto kiri tangkap layar video Hendry menunggu kehadiran pelajar dalam sesi PdPR, foto kanan Hendry sebagai guru Sejarah.

LUAHAN seorang guru di aplikasi TikTok mengenai pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) menimbulkan tanda tanya apabila ia dikaitkan dengan soal jodoh.

"Debaran menunggu berapa ramai anak-anak masuk GM (Google Meet) tu seumpama debaran menunggu jodoh cia cia," menurut keterangan video yang memaparkan dirinya sedang menongkat dagu di hadapan aplikasi itu menerusi skrin komputer riba.

Guru berkenaan, Hendry Sailabbi memberitahu, video yang dikongsikannya itu bagi menggambarkan situasinya menunggu kehadiran para pelajar untuk menyertai PdPR.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid minta panjangkan sesi PdPR, guru terpaksa buka ruang 'perbahasan' dengan rakan sekelas - "Saya ikut suara majoriti"

ARTIKEL BERKAITAN: Alahai murid! Guru akur ditegur 'masa dah habis' ketika sesi PdPR Matematik, kelas B.Inggeris lain pula ragamnya... kena tunggu semua 'bye-bye' dulu

Pemuda berusia 30 tahun itu berkata, kebiasaannya pautan atau link Google Meet diberikan lebih awal, namun tetap berdepan 'tempoh menunggu' sehingga 20 minit untuk kehadiran mereka.

"Sebagai guru, rasa berdebar menunggu pelajar-pelajar masuk kelas online. Sebab kehadiran akan turun naik terutama pada waktu tengah hari dan petang.

"Gambaran untuk mengadakan PdPR sama juga macam jodoh. Apa yang kita rancang, tapi lain pula yang jadi," katanya kepada mStar.

pdpr vs jodoh 1

Hendry (atas, kiri) bersama sebahagian pelajarnya ketika sesi PdPR.

Hendry yang merupakan guru di sebuah sekolah menengah di Lahad Datu berkata, dia sentiasa berfikiran positif, dan mengamalkan beberapa tip untuk menambah baik sesi PdPR.

"Saya kena sentiasa berfikiran positif. Tip pertama, saya ikut waktu yang mereka suka. Mungkin pelajar tak berminat masuk kelas online pagi, jadi saya memberikan kerja sekolah dan latihan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Saya tanya majoriti dalam kelas. Kebanyakan mereka memilih waktu malam, jadi saya ikut request mereka dengan mengajar sebelah malam," ujarnya yang berasal dari Tawau.

pdpr vs jodoh 3

Hendry bertugas di Lahad Datu.

Berpengalaman dalam bidang perguruan selama lima tahun, katanya, tip kedua adalah guru-guru tidak seharusnya bersikap terlalu serius ketika mengendalikan sedi PdPR.

"Jika guru hanya fokus mengajar, pelajar-pelajar dalam kelas online akan cepat bosan, Jadi interaksi jangan terlalu serius, mengajar kena kelakar dan sentiasa mood yang happy.

Mengadakan PdPR sama juga macam jodoh. Apa yang kita rancang, tapi lain pula yang jadi. Saya kena sentiasa berfikiran positif

HENDRY SAILABBI

"Tip ketiga adalah menggunakan alat rangsangan yang menarik perhatian, seperti aplikasi yang canggih dan menarik, serta diselitkan dengan elemen hiburan seperti berkongsi video-video lucu daripada YouTube dan TikTok ketika sesi rehat untuk bersantai sekejap.

"Tip keempat pula iaitu yang paling penting adalah menjadi bapa tiri yang baik untuk mereka walaupun hakikatnya masih stres menunggu jodoh," katanya sambil menambah dia turut memasang lagu-lagu Korea seperti daripada penyanyi dan bintang Running Man, Kim Jong Kook ketika menunggu kehadiran pelajar sebelum kelas dimulakan.

pdpr vs jodoh 4

Berkongsi tip untuk menarik perhatian pelajar mengikuti sesi PdPR.

Dalam pada itu, guru Sejarah itu turut mendedahkan dirinya juga masih bujang apabila hubungan yang terjalin selama empat tahun sebelum ini terputus di tengah jalan.

"Patutnya rancang kahwin pada 2018, tapi tak ada jodoh. Realitinya memang stres diajukan soalan sudah ada kerjaya tapi bila nak kahwin? Selagi belum bertemu jodoh, masih berdebar-debar.

"Paling stres bila pelajar sendiri tanya. Budak-budak ni mindset lain, bila kita tak kahwin dikata cikgu tak laku. Sampaikan ada pelajar-pelajar nak kenalkan saya dengan kakak mereka,” ujarnya.

pdpr vs jodoh 2

Hendry mahu calon isteri yang menerima dirinya seadanya.

Hendry berkata, empat tip yang diamalkan untuk sesi PdPR yang lebih baik juga menggunakan pendekatan yang sama untuk mengenali seseorang untuk dijadikan calon isteri.

"Sekarang ramai wanita berkerjaya, kita kena tahu bila masa yang dia suka dan selesa untuk mesej, call atau jumpa. Kebanyakan wanita tak suka lelaki yang serius, mereka suka yang kelakar.

"Tarik perhatian kena pandai mengambil hati, menggunakan ayat manis. Kalau PdPR kena jadi bapa tiri yang baik, untuk jodoh kena belajar jadi 'abang' yang baik untuk pasangan.

"Saya tak cerewet pasal calon isteri, apa yang penting adalah dia terima saya seadanya. Kalau boleh, dia kena suka makan sebab saya ni suka masak," ujarnya secara berseloroh.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain