suria

Video lelaki ini jadi perhatian, kekal ‘cool’ selepas insiden kejar penyamun sambil menangis - “Saya nak you insaf, bagi balik rantai tu”

Foto kiri tangkap layar video yang tular, foto kanan Buvan di bengkel motosikalnya.

SIAPA yang tidak sedih apabila kehilangan barang yang menjadi kenangan, apatah lagi ia merupakan pemberian insan tersayang yang sukar dicari ganti.

Begitulah yang dihadapi oleh seorang pemilik bengkel motosikal apabila rantai loket pemberian kakaknya disamun ketika dia menuju ke tempat kerja, sekali gus mengundang simpati netizen.

Video yang dikongsi di Facebook SG MOTOR SPORT Enterprise menjadi tumpuan ramai dan tular apabila mangsa menerangkan situasi kejadian dengan sikapnya yang profesional, tanpa mendedahkan identiti pelaku meskipun dakwanya terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah kedai berdekatan lokasi kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN: Nampak jelas! Youtuber tak sengaja rakam kes ragut depan mata, "Mangsa tak terkata apa, orang lain nampak jaket dan helmet sama"

ARTIKEL BERKAITAN: "Hanya dua saat... kalau tidak ayah kena tetak" - Anak menggigil, kongsi kisah bapa dikejar geng samun

Malah, pemuda itu turut menawarkan RM500 kepada pelaku sekiranya benar-benar terdesak memerlukan wang ketika pandemik, asalkan rantai loket kesayangan itu dipulangkan kepadanya.

Bercakap kepada mStar, Buvaneswaran Subramaniam berkata, dia tidak menyangka sikap tenangnya meraih perhatian kerana tujuan sebenar video tersebut dikongsi dengan harapan rantai loketnya itu dikembalikan dan pelaku benar-benar insaf dengan tindakannya.

"Saya ni memang jenis tak cepat marah. Selepas kejadian pada Sabtu tu, saya terpaksa sambung kerja sebab pekerja saya cuti. Jadi, sambil kerja saya fikir apa nak buat.

"Kemudian saya ambil keputusan untuk buat video selepas kerja. Esoknya Ahad saya buat laporan polis dengan harapan pelaku dikenal pasti dan ditangkap," katanya ketika dihubungi.

Lebih dikenali sebagai Buvan, pemuda berusia 30 tahun itu mengakui pandemik turut memberi kesan kepada bengkel motosikal yang diusahakannya sejak lebih enam tahun.

"Pendapatan saya dah banyak kurang. Ada ahli keluarga yang dijangkiti Covid-19. Mujur saya ada duit simpanan untuk digunakan buat keluarga.

"Isteri saya ada buka tuisyen di rumah sebagai pendapatan sampingan, Tapi terpaksa dihentikan sebab 'lockdown'.

"Bisnes saya masih berjalan kerana ada pelanggan masih tunggu saya buka bengkel dengan kelonggaran yang diberikan ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)," ujarnya yang membuka bengkel motosikal di Taman Setia Jaya di Rawang, Selangor.

buvan mangsa samun 3

Buvan (kiri) memakai loket yang diragut sambil mendukung anak sulungnya.

Mengimbas kembali kejadian samun yang berlaku di Rawang, anak kelahiran Perak itu menjelaskan insiden sebegitu pertama berlaku pada dirinya.

"Tapi ahli keluarga saya yang lain pernah disamun... mak saya, abang sulung, abang kedua, abang ipar pernah jadi mangsa.

"Bukan famili saya saja terkena, saya juga kasihan banyak orang awam dengan kebanyakannya adalah perempuan menjadi mangsa samun.

"Bila saya sendiri yang menjadi mangsa, memang sangat terasa. Saya kasihan pada budak-budak zaman sekarang senang pilih jalan yang salah dengan menyamun," tambahnya.

Saya kasihan pada budak-budak zaman sekarang senang pilih jalan yang salah dengan menyamun.

BUVAN

Justeru bapa kepada dua anak itu mahu kes samun diberikan perhatian serius dan ditangani kerana ia semakin berleluasa meskipun segelintir pelaku terpaksa melakukannya kerana kesempitan hidup.

"Saya mahu kejadian samun dihentikan. Saya berharap pelaku tersebut ditangkap. Saya berterima kepada rakyat Malaysia yang memberikan sokongan dan kata-kata semangat.

"Sekurang-kurangnya saya rasa bangga kerana dapat menyatukan semua bangsa dalam bulan kemerdekaan ini. Saya tahu sebenarnya ramai insan yang sangat baik," kata Buvan sambil menambah dia membuat keputusan untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda perpaduan pelbagai bangsa di negara ini sempena sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini.

buvan mangsa samun 2

Buvan mengusahakan bengkel motosikal di Rawang, Selangor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed ketika dihubungi mengesahkan laporan polis yang dibuat mangsa pada pagi Ahad, di mana kes masih dalam siasatan dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Terdahulu, menerusi video yang tular, Buvan mendakwa pelaku merupakan seorang penghantar makanan dan kes berlaku dekat persimpangan lampu isyarat di Rawang, pagi Sabtu.

"Saya kejar dia sambil menangis. Sebab rantai tu ada kenangan, kakak saya bagi. Dia berkahwin, dia keluar dari rumah saya dan bagi rantai tu.

"Kalau you memang susah, sebab anak you sakit ke, masalah keluarga ke, saya bayar you. Saya boleh tolong bayar you RM500 tapi tolong bagi balik rantai tu dekat kedai saya. You boleh letak nombor akaun (bank) you sekali.

"Apa pun situasi you, jangan samun... saya buat video ni, motif saya satu saja. Saya nak you insaf, you menyesal dan bagi balik rantai tu," jelas Buvan dalam video tersebut.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain