suria

Siapa sudi jaga saya? Selepas selamatkan anak anjing comel, remaja ini sedia lepaskan kepada tuan baharu walau hubungan dah mesra

Video yang dikongsi Najmi tular menerusi aplikasi TikTok.

HATI remaja ini bagaikan luluh melihat seekor anak anjing yang lemah tak bermaya di kawasan rumahnya, dua minggu lalu.

Nuralif Najmi Norazmi, 18, berkata, timbul rasa kasihan memandangkan anak anjing itu ditemui bersendirian, seolah-olah sesat tanpa hala tuju.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Najmi mula memberi makan kepada haiwan comel itu sehingga ia mula rapat dengannya dalam tempoh singkat.

ARTIKEL BERKAITAN: Balik kerja jam 12 malam, 5 sekawan tak sangka dapat ‘ekstra penat’ selepas tolong anjing jatuh longkang - “Lega dapat selamatkan walau kena kejar”

ARTIKEL BERKAITAN: Apa saja demi haiwan! Dua gadis bergegas pergi kerja sanggup patah balik alih kucing mati, bangkai anjing pun pernah alihkan - “Kalau geli sekali pun, masih boleh tolong”

"Ketika mula-mula perasan kehadiran anjing tu di hadapan rumah, saya nampak ia sangat lemah. Saya bawa ke belakang rumah untuk bagi makan. Saya bagi roti, tapi anjing tu tak mahu.

"Esoknya saya tengok anjing tu dah OK, saya beri makanan dan tengok 'dia' mula main kejar-kejar macam nak bergurau. Saya pun belai pakai sarung tangan.

"Dah dua minggu anjing tu duduk belakang rumah saya. Tengok pun kesian sebab masih kecil lagi," ujarnya ketika dihubungi.

Kata Najmi yang kini sedang bekerja secara sambilan sebelum menyambung pengajian tidak lama lagi, jiran-jirannya turut memberi makan kepada anjing itu.

najmi3

Kata Najmi, anjing itu ditemui kira-kira dua minggu lalu.

Malah katanya, dia buntu memikirkan asal-usul anjing itu dan tertanya-tanya mengenai ibunya.

"Saya rasa tak boleh biarkan ia bersendirian, kena bagi makan. Saya sekarang kerja sebagai juruwang di pasar raya.

Saya tengok anjing tu pun makin kuat makan, ia dah cam dan kenal saya.

NAJMI

"Sebelum pergi kerja saya bagi makan, balik kerja pun bagi makan. Jiran-jiran pun membantu. Saya siap beli makanan anjing dan saya campur sedikit dengan nasi," ujarnya lagi.

Menurut Najmi lagi, dia terhibur dengan kehadiran anak anjing comel itu dan secara suka-suka berkongsi video di TikTok namun tak menyangka ia akan viral.

Kata Najmi, dia mahu mencari individu yang berhasrat membela anjing itu agar ia mendapat perlindungan dan kasih sayang sewajarnya.

najmi2

Anak anjing yang ditemui dalam keadaan lemah kini semakin ceria.

"Saya terkejut video jadi viral. Saya rakam sebab tengok comel anjing tu main sorok-sorok. Ramai orang komen, suruh saya bela.

"Tapi sekarang saya tengah cari adopter. Siapa nak boleh datang ambil. Kalau tidak, biarlah ia berada di kawasan rumah saya," ujarnya yang menetap di Tangkak, Johor.

Kata Najmi, dia sememangnya mudah simpati dengan apa jenis haiwan sekali pun dan turut mempunyai beberapa ekor kucing di rumahnya.

"Saya jenis cepat kesian dengan haiwan. Saya tak boleh tengok kalau ada haiwan yang terbiar. Di rumah pun ada dalam lima ekor kucing.

najmi1

Najmi mengakui dia seorang yang mudah kasihan dengan haiwan.

"Saya tengok anjing tu pun makin kuat makan, dah cam dan kenal saya, suka kejar nak bergurau. Tapi sehingga kini belum ada sesiapa nak ambil anjing tu untuk dibela," ujarnya lagi.

Sehingga kini, video anjing yang dikongsi menerusi TikTok Najmi meraih lebih 140,000 tontonan.

Mengenai dirinya, Najmi yang juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat pada Oktober ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain