suria

Garang tapi gigih kirim asam keping, rambutan untuk anak cucu! 12 beradik kelu, menangis dengar permintaan hadiah birthday daripada bapa

Bapa Shafika menghantar asam keping dan rambutan untuk anak-anak, gambar kecil menunjukkan bapa Shafika bersama salah seorang cucu.

DI saat memendam rindu dari kejauhan akibat larangan rentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), buah tangan dari kampung mengubat kerinduan.

Satu video di aplikasi TikTok yang menunjukkan kegigihan seorang bapa membuat asam keping dengan memotong dan menyusunnya satu persatu serta menjemur bahan masakan itu nyata mengundang sebak.

Bukan sekadar itu, bapa berkenaan turut mengutip rambutan, menimbang dan membungkusnya untuk dihantar kepada anak-anak dan cucu-cucu.

ARTIKEL BERKAITAN: Mak ayah di kampung, anak di bandar... kalau boleh semua hasil tanaman nak dikirim! Satu beg durian 'diseludup' naik bas - "Pemandu tanya, adik tak mengaku"

ARTIKEL BERKAITAN: Susah-susah mak ayah pos 'balang berharga' dari jauh, doktor menangis lihat reaksi kawan jamah kuih dibuat ibunya - "Mula-mula tak nak bagi..."

Nur Shafika Abdul Razak yang memuat naik video tersebut berkata, bapanya berusia 67 tahun membuat persiapan itu untuk dihantar kepada anak-anak yang tinggal berjauhan.

Shafika yang menetap di Bangi, Selangor memberitahu, kali terakhir dia pulang ke kampung di Sik, Kedah pada Februari lalu berikutan aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan.

"Kat rumah ayah ada pokok rambutan dan sekarang pula musim buah. Biasanya anak-anak akan pulang ke kampung jumpa mak ayah, sekurang-kurangnya dua atau sekali sebulan.

"Jadi ayah kutip sendiri rambutan tu untuk bagi anak-anak rasa sebab dah lama tak balik. Begitu juga asam keping yang dijemur antara dua hingga tiga hari," katanya kepada mStar.

Wanita berusia 27 itu berkata, kegigihan bapanya yang dikenali sebagai Tok Ayah di Kampung Kota Aur di Sik itu amat dihargai anak-anaknya.

kiriman ayah dari kampung 1

Bapa (kanan) bersama ibu Shafika.

Jelas Shafika, bapanya sebelum ini seorang yang pendiam tetapi garang, membuatkan anak-anak takut dan lebih rapat dengan ibu yang juga berusia 67 tahun.

"Disebabkan ayah garang sangat apa-apa hal kami lebih selesa merujuk pada mak. Kalau berjumpa, kami adik-beradik salam, peluk dan cium mak. Dengan ayah, kami salam saja.

"Tapi suatu hari kakak berbincang dengan kami, sampai bila kami adik-beradik nak layan ayah macam tu walaupun ayah tak banyak cakap dan garang.

"Jadi, kami berpakat jumpa ayah, kami peluk dan cium ayah. Masa tu ayah peluk anak-anak begitu erat sampai tak nak lepas. Kami adik-beradik semua menangis masa tu," ujarnya yang mengimbas kembali peristiwa menyentuh emosi kira-kira sedekad lalu.

kiriman ayah dari kampung 2

Shafika (kiri) bersama sebahagian keluarga di kampung.

Menurut anak ke-11 daripada 12 beradik itu, kesemua adik-beradik memberikan perhatian kepada ibu bapa mereka, malah sentiasa berhubung menerusi panggilan video apabila berjauhan.

"Ayah tak lagi garang macam dulu. Sebenarnya ayah lebih suka pendam perasaan, tapi tak boleh simpan kalau ayah mengalirkan air mata. Kami tahu ayah sayang anak-anak.

"Bila difikirkan balik, kami tak sepatutnya buat macam tu kat ayah walaupun sebenarnya kami memang sayang ayah," katanya sambil menambah bapanya membesarkan anak-anak dengan melakukan kerja-kerja kampung dan kini berehat di usia emasnya.

Sebenarnya ayah lebih suka pendam perasaan, tapi tak boleh simpan kalau ayah mengalirkan air mata. Kami tahu ayah sayang anak-anak.

SHAFIKA

Shafika berkata, bapanya bukan sahaja disayangi anak-anak, malah turut disenangi oleh cucu-cucu yang menggelarkan datuk mereka sebagai Tok Wan.

"Semua cucu rapat dengan ayah, tapi ada seorang cucu ayah berusia dua tahun memang tak boleh berenggang sampaikan nak kain pelikat ayah buat peneman tidur," katanya mengenai bapanya yang mempunyai seramai 35 cucu.

kiriman ayah dari kampung 3

Salah seorang cucu tidur bersama kain pelikat datuknya.

Sehubungan itu, kata Shafika, perkongsiannya itu bagi memberitahu kepada masyarakat agar menghargai ibu bapa selagi ada kerana mereka tiada galang gantinya.

"Walaupun tak dapat balik kampung sebab PKP, kami sentiasa buat video call dengan mak ayah. Saya masih ingat masa adik-beradik buat video call waktu birthday ayah 20 April lalu.

"Kami adik-beradik tanya ayah nak hadiah apa walaupun kami tahu ayah bukan jenis meminta. Masa video call ramai-ramai tu ayah cakap dia nak anak-anak semua balik jumpa ayah bila boleh balik nanti... masa tu semua terdiam dan menangis," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain