suria

Jadi rakyat Malaysia pertama lahir di Visp, dibesarkan di Zurich... wanita ini akui nikmat pandai 7 bahasa, rakannya serata dunia - “Ayah tegas, hanya benar dua bahasa di rumah”

Dilahirkan di Switzerland dan berupaya untuk bertutur dalam tujuh bahasa tidak sedikit pun mengurangkan jati diri Saidah sebagai anak Malaysia.

MENJADI anak Malaysia pertama yang dilahirkan di Visp, Switzerland serta berkebolehan bertutur dalam dalam tujuh bahasa, namun semua ini tidak sedikit pun menghakis jati diri Nursaidah Salim.

Malah wanita berusia 23 tahun ini merasakan pengalaman hidupnya yang dilahirkan serta dibesarkan di sebuah negara yang mempunyai budaya bahkan bahasa yang berbeza ini langsung tidak membuatkan dirinya berlainan dengan rakyat Malaysia yang lain.

Berkongsi kisahnya dengan mStar, anak kedua daripada empat beradik ini berkata kedua ibu bapanya merantau ke Switzerland atas tujuan kerja.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu lori terjejas pendapatan dapat rezeki lain selepas gembirakan ibu buat ampaian berbumbung... menangis dapat order pertama!

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah PdPR! ‘Bapa B40’ menangis teresak-esak di radio, tak mampu beri pendidikan terbaik untuk 5 anak - “Mereka ketinggalan, saya nak ajar tak pandai”

Menurut Nursaidah atau mesra dipanggil Saidah, bapanya yang juga seorang cef eksekutif mahir menyediakan menu Jepun dan Eropah menerima tawaran pekerjaan di sebuah hotel di Zermatt, Switzerland pada tahun 1994.

“Ayah adalah cef Malaysia yang mahir dalam juadah teppanyaki di Zermatt pada tahun 1994.

“Ibu pula (Choong Sau Yoke) masa tu memilih untuk ikut ayah ke Switzerland dan dia mendapat peluang untuk bekerja sebagai pentadbir amanah (trust administrator) di salah sebuah bank terbesar di sini,” katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut Saidah mereka sekeluarga kemudiannya berpindah ke Winterthur, Zurich dan di situlah tempat dia menuntut ilmu serta membesar sebagai satu-satunya anak Malaysia di sekolah awam di negara yang terkenal dengan pemandangan gunung-ganangnya yang indah.



Bapa Saidah merupakan cef teppanyaki Malaysia yang pertama di daerah Zermatt pada tahun 1994.

Apa yang lebih membanggakan adalah kebolehan wanita ini untuk bertutur tujuh bahasa termasuk bahasa Malaysia dengan baik.

Katanya selain bahasa Malaysia dan Inggeris, dia juga boleh berbahasa Jerman (Hach-Deutsh), Swiss German, Perancis, Itali dan Mandarin.

“Saya tak fasih kesemuannya, bahasa pertama saya adalah bahasa Inggeris iaitu bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi dengan ibu saya, tapi memandangkan dia berbangsa Cina, dia pastikan juga saya belajar bahasa tersebut jadi saya dihantar ke kelas bahasa Cina di Switzerland.

“Saya belajar dan menggunakan bahasa Jerman (Hoch-Deutsch) iaitu bahasa kebangsaan semasa saya masuk tadika, dengan kawan-kawan dan guru, jadi saya memang fasih menggunakan bahasa ini.

“Bahasa Malaysia pula saya guna bila bercakap dengan ayah di rumah, dia memang sangat tegas, dia tak benarkan saya menggunakan bahasa lain semasa di rumah selain bahasa Malaysia dan Inggeris.

“Saya guna bahasa Swiss Jerman dengan abang saya sebab kami berdua je yang fasih bahasa tersebut, tapi selalunya saya akan guna bahasa Malaysia dan Inggeris dengan adik beradik, manakala mak dan ayah berkomunikasi sesama mereka menggunakan bahasa Jerman, senang cerita 'rojaklah',” katanya sambil menambah mereka sekeluarga berpindah semula ke Kuala Lumpur pada tahun 2012.



(Gambar kiri) Saidah memakai pakaian keselamatan ini sebagai makluman kepada orang ramai bahawa dia sedang berjalan ke tadika. (Gambar kanan) Saidah (kanan, paling bawah) bersama rakan tadikanya di Switzerland.

Menurut Saidah, bahasa Perancis pula dipelajarinya di sekolah manakala bahasa Itali dapat ditutur kerana faktor pergaulannya dengan rakan-rakan yang menggunakan bahasa tersebut.

“Memang susah terutama sekali bila jumpa dengan orang menggunakan bahasa berbeza, saya jadi macam robot sebab kena adapt secepat mungkin, tapi keupayaan saya untuk menggunakan pelbagai bahasa ini adalah disebabkan keadaan persekitaran,” katanya.

Berkongsi beberapa tip untuk mempelajari sesuatu bahasa, Saidah berkata walaupun ia bukanlah sesuatu yang mudah namun seseorang itu akan boleh menguasai sesuatu bahasa sekiranya dia mula belajar di usia muda dan sentiasa mempraktikan bahasa tersebut ketika berkomunikasi.

Bagi Saidah keupayaannya untuk menggunakan pelbagai bahasa ini adalah satu nikmat atau hadiah yang tak ternilai baginya.

“Sejujurnya saya rasa empowered, ia seperti satu nikmat yang saya dapat dalam kehidupan ini.

“Saya boleh gunakan nikmat ini dan bawa bersamanya ke mana sahaja. Saya boleh beri inspirasi kepada orang lain dan bakat yang saya ada ini juga membantu melindungi diri saya,” katanya yang juga seorang penyanyi dan pengasas produk kosmetik.



Saidah (depan dua dari kiri) dan rakan-rakannya sekolahnya sewaktu berusia 14 tahun.

Berkongsi kisah lucu sewaktu dia menaiki teksi bersama rakannya di Malaysia, Saidah berkata dia pada mulanya terkejut apabila melihat pemandu tersebut menetapkan bahasa Jerman sebagai bahasa pilihan pada GPSnya.

“Dia bercerita dia pernah tinggal di Jerman selama enam bulan dan fasih dengan bahasa itu dan ketika itu saya hanya berdiam diri.

“Bila hampir tiba pada destinasi saya beritahu padanya yang apa yang diceritakan dia tadi sangat menarik kemudian dia terkejut dan akhirnya mengakui tidak boleh berbahasa Jerman sebenarnya jadi kami pun ketawa, ” katanya.



Saidah (dua, kanan) bersama ibu bapa dan adik beradiknya.

Menurut Saidah kebolehannya untuk bertutur dalam pelbagai bahasa memberi peluang untuk dirinya menghargai serta memahami budaya dan tradisi masyarakat yang berbeza latar belakang.

“Kebolehan ini juga secara tak langsung membantu saya berfikir dengan lebih kritis serta membolehkan saya menyelesaikan masalah dengan melihatnya dari pelbagai perspektif.

“Saya juga menjadi seorang yang mempunyai minda yang terbuka dan optimis,” katanya.



Saidah dan keluarganya pulang ke Malaysia pada tahun 2012.

Dia juga menekankan bahawa didikan dan cara dibesarkan bagaimanapun sama sekali tidak membuatkan dia berbeza dengan rakyat Malaysia yang lain.

Saya boleh berhubung dengan orang lain dengan mudah di serata dunia dan mana pun saya pergi saya rasa macam dekat rumah sebab saya faham bahasa yang mereka gunakan.

NURSAIDAH SALIM

Malah katanya kebolehannya ini juga memberi peluang untuk dia berkongsi cerita-cerita menarik tentang Malaysia dengan rakan-rakan di Switzerland dan sebaliknya.

“Matlamat saya adalah untuk membawa perubahan kepada masyarakat di Malaysia, untuk membuktikan bahawa pengalaman hidup saya dilahirkan dan dibesarkan di negara yang mempunyai budaya yang berbeza tidak pernah mengurangkan nilai-nilai atau ciri-ciri warga Malaysia yang ada pada diri saya sebab saya masih boleh bertutur dalam bahasa Malaysia dengan fasih dan saya sangat bangga dengannya.

“Pengalaman saya sendiri kadang-kadang ada orang Malaysia sendiri yang kurang menyokong bakat yang saya ada. Sejujurnya Malaysia sebuah negara yang sangat menarik, kita ada tiga bangsa utama jadi bayangkan kalau kita boleh mempelajari lebih dari satu bahasa?

“Saya percaya kalau kita boleh menggalakkan lebih ramai orang Malaysia untuk mempelajari bahasa baru untuk melebarkan lagi serta memupuk pemikiran dan akhlak yang positif, kesannya pasti sangat baik terutama sekali kepada generasi muda akan datang,” katanya.



Saidah bersama kedua ibu bapanya.

Bahasa juga katanya membantu dia berasa seperti berada di rumah walaupun ketika di merantau ke negara lain.

“Saya boleh berhubung dengan orang lain dengan mudah di serata dunia dan mana pun saya pergi saya rasa macam dekat rumah sebab saya faham bahasa yang mereka gunakan.

“Rasa menakjubkan sangat bila boleh faham sesuatu itu dengan lebih mendalam walaupun kita berada di sesuatu tempat itu hanyalah sebagai seorang pelancong.

“Saya ada rakan-rakan merata tempat di Switzerland, Itali, Qatar, Tibet, Cambodia, Rusia, Poland, Coritan, Sepanyol... namakan sahaja, dan kami semua boleh bersatu hanya disebabkan kami boleh berkomunikasi antara satu sama lain,” katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain