suria

Pemandu lori terjejas pendapatan dapat rezeki lain selepas gembirakan ibu buat ampaian berbumbung... menangis dapat order pertama!

Payed membuat ampaian dilengkapi rak bunga untuk memudahkan dan menggembirakan ibunya di kampung.

DI SAAT satu pintu tertutup, Allah bukakan satu lagi pintu buat hambanya yang tidak pernah berputus asa untuk berusaha.

Sama seperti ribuan rakyat Malaysia yang lain, Mohd Farid Ismail, 33, turut terkesan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini.

Namun pemandu lori ini enggan berputus asa, sebaliknya dia mencuba nasib sebagai tukang besi dan berkat kesungguhannya untuk belajar usahanya sudah mula membuahkan hasil.

ARTIKEL BERKAITAN: Beratnya ujian PKP! Pasangan suami isteri sukar tidur, bergelut teruskan hidup selepas hilang kerja... depresi sampai tahap jejas susu badan

ARTIKEL BERKAITAN: Minta kerja di McD selepas kejadian tak cukup duit bayar sundae cone, wanita ini tak sangka berjodoh dengan staf yang ‘selamatkan’ dirinya

Berkongsi kisah dengan mStar, Mohd Farid atau lebih mesra dipanggil Payed berkata pendapatannya sebagai penyewa lori kini terjejas teruk memandangkan pekerjaannya tidak tersenarai sebagai perkhidmatan penting.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, anak jati Kedah ini menggunakan sedikit ilmu mengimpal yang pernah dipelajari daripada bapanya untuk membuat perabot.

“Saya mula bawa lori sejak tahun 2016, memang kerja sendiri secara kecil-kecilan.

“Fokus saya lebih kepada angkut barang-barang untuk pindah rumah, cuma bila PKP ni saya tak boleh bergerak sebab hanya barang essential saja yang boleh, sebab tu saya buat kerja lain,” katanya.



Selain bagi tujuan pindah rumah, lori Fayed turut digunakan bagi tujuan memindahkan barangan serta haiwan ternakan.

Menurut Payed disebabkan kekangan yang dihadapi, dia membuat keputusan untuk mengeluarkan sedikit modal untuk membeli peralatan mengimpal serta mengasah kemahiran pertukangannya dengan bantuan video-video di YouTube.

“Sebelum ni saya cuma tolong ayah kadang-kadang saja untuk kerja-kerja welding dekat kampung, jadi saya ada sedikit pengetahuan.

“Masa PKP ni saya tambah pengetahuan dengan belajar dari YouTube,” katanya.



Lakaran sangkar kucing (kiri) dan meja kerja yang dihasilkan Payed.

Walaupun bermula dengan tujuan suka-suka, kesungguhannya untuk mencuba dan belajar benda baharu berhasil apabila hasil kerjanya kini mendapat perhatian ramai, terutama individu-individu terdekat dengannya yang mula membuat tempahan.

“Mula-mula saya buat meja dulu untuk memudahkan saya buat kerja, lepas tu saya buat ampaian berbumbung untuk mak saya, siap dengan rak bunga sebab dia memang minat pokok bunga.

“Masa tu saya fikir lepas ni kalau hujan dia tak perlu lagi nak lari angkat kain di ampaian.

“Kemudian saya cuba buat set meja kopi dan sekarang saya tengah buat rumah kucing,” katanya.



Apabila pendapatan sebagai pemandu lori terjejas Payed mula menceburi bidang pertukangan besi.

Menurut Payed walaupun pada mulanya niatnya hanya untuk suka-suka, dia tidak menyangka ada yang sudi menyokong dan membeli hasil kerjanya.

“Masa tu saya saja post di Facebook gambar set meja kopi, Alhamdulillah ada seorang kakak ni berkenan dia terus minta nak beli.

“Menangis saya masa tu sebab kerja saya tak sia-sia dan ada orang yang sudi support.

“Kawan-kawan pun ada order rumah kucing... ada seorang lagi pelanggan saya jual kasut bundle, dia minta saya buatkan rak kasut,” ujarnya terharu.



Set meja kopi ini dibeli seorang wanita dengan harga RM600.

Menurut Payed dia mengambil masa sekitar empat hari bagi menyiapkan satu-satu projek.

“Selalunya orang suruh saya tolong design sendiri sebab mereka tengok meja kopi tu lawa, saya pun tak sangka saya akan dapat banyak views bila saya kongsi video meja kopi tu dekat TikTok.

“Saya buat seorang je dari siang sampai ke malam, satu barang tu ambil masa dalam lebih kurang empat hari untuk siapkan, saya buat slow-slow,” katanya.

Menangis saya masa tu sebab kerja saya tak sia-sia dan ada orang yang sudi support.

MOHD FARID ISMAIL

Menurut Fayed dia mungkin akan terus melakukan dua kerjanya selepas PKP kelak tetapi dengan bantuan pekerja yang digaji.

Selain itu Fayed berkata buat mereka yang memerlukan pertolongan untuk mengangkut barang-barang, bolehlah menghubunginya.

"Alhamdullilah tercapai hajat saya untuk bantu mangsa-mangsa banjir yang lepas, ada tiga daerah saya hantar barang-barang bantuan Raub, Kemaman dan Kuala Lipis, .

"Upah saya cuma minyak dan tol sahaja," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain